Benarkah Migrasi Wanita Malaysia Ke Negara Luar Kedua Tertinggi Di ASEAN?

Benar
Benarkah Migrasi Wanita Malaysia Ke Negara Luar Kedua Tertinggi Di ASEAN?

Lebih ramai rakyat Malaysia yang memilih untuk berhijrah ke negara lain

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/02/2023 - Disunting : 21/02/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Migrasi Wanita Malaysia Ke Negara Luar Kedua Tertinggi Di ASEAN?

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pernah membuat kenyataan bahawa fenomena brain drain yang dihadapi Malaysia sebagai sesuatu yang positif. 

Sehubungan dengan itu, sebuah ciapan Twitter oleh wartawan Tehmina Kaoosji menyatakan bahawa migrasi wanita Malaysia ke luar negara adalah yang kedua tertinggi antara negara-negara di bawah Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Mari kita semak lebih lanjut mengenai perkara ini.

 

Brain drain di Malaysia

Brain drain adalah fenomena yang mana penduduk sesebuah negara bermigrasi keluar, atau emigrasi, ke negara lain. Laporan oleh EMIR Research menunjukkan bahawa dianggarkan seramai 2 juta rakyat Malaysia telah bermigrasi keluar negara setakat tahun 2022, dengan separuh juta daripadanya adalah individu 25 tahun ke atas yang berkemahiran tinggi. Hampir separuh daripada mereka telah bermigrasi ke negara jiran, Singapura. Antara faktor yang menyebabkan migrasi ke luar negara adalah taraf hidup yang rendah, ketidakstabilan politik dan ketidakadilan sosial. 

Pada tahun 2010, Majlis Penasihat Ekonomi Negara telah memberi amaran kepada kerajaan bahawa fenomena brain drain yang melanda Malaysia berada di tahap yang bahaya. Emigrasi banyak bakat dan tenaga kerja dari Malaysia menyebabkan ketiadaan individu-individu berkemahiran tinggi yang mampu membangunkan bakat lain. Data menunjukkan kadar migrasi bersih menurun sejak 2019, dengan penurunan sebanyak 1.3% pada tahun 2022 berbanding 2021. Hal ini bermakna makin ramai individu yang telah bermigrasi keluar dari Malaysia.

Malah, menurut Professor Adeeba Kamarulzaman dari Universiti Malaya, universiti itu kehilangan sekurang-kurangnya 30 orang graduan perubatan terbaik yang berhijrah ke Singapura setiap tahun.

 

Migrasi keluar wanita Malaysia

Berdasarkan statistik terbaru dari Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), seramai 1.86 juta wanita Malaysia, iaitu lebih kurang 12% daripada jumlah keseluruhan wanita di Malaysia, menetap di negara lain. Hal ini bermakna majoriti individu yang bermigrasi keluar dari Malaysia adalah wanita. Malaysia mempunyai kadar migrasi wanita sebanyak 57%, iaitu kedua tertinggi di ASEAN selepas Thailand, dan lebih tinggi daripada purata global 48%. 

Farid Basir, naib presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), percaya bahawa terdapat wanita yang berhijrah keluar dari Malaysia kerana kemahiran mereka lebih dihargai di tempat lain. Hal ini adalah kerana Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan hanya sebanyak 55.3% wanita tempatan yang diambil bekerja di Malaysia, walaupun 61% daripada mereka adalah graduan universiti. Peratus ini adalah antara yang terendah dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara. 

 

Migrasi wanita Malaysia kedua tertinggi di ASEAN

Professor Noraida Endut dari Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA), Universiti Sains Malaysia, berkata tren migrasi wanita ke luar negara membimbangkan, terutamanya jika ia disebabkan oleh wanita tidak mendapat peluang yang secukupnya di Malaysia. Migrasi wanita Malaysia yang lebih ramai berbanding lelaki ini turut membingungkan penasihat Suriani Kempe dari Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). 

Di samping itu, laporan oleh Bank Dunia menyatakan bahawa jika kesemua halangan ekonomi terhadap wanita dihapuskan, pendapatan per kapita Malaysia akan meningkat sebanyak 26.2%. Penggalakan peluang ekonomi bagi wanita akan membuka lebih ruang bagi pembangunan Malaysia pada masa hadapan.


Rujukan:

1. https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2162920
2. https://www.emirresearch.com/malaysian-brain-drain-dont-go-chasing-waterfalls/
3. https://www.macrotrends.net/countries/MYS/malaysia/net-migration
4. https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/malaysia-faces-brain-drain-in-every-skilled-sector-officials-say
5. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/06/07/statistics-reveal-majority-of-malaysian-diaspora-are-women
6. https://www.worldbank.org/en/country/malaysia/publication/breaking-barriers-toward-better-economic-opportunities-for-women-in-malaysia

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago