Benarkah Minum Kopi Dapat Panjangkan Umur?

Benar
Benarkah Minum Kopi Dapat Panjangkan Umur?

Kopi merupakan minuman yang dipercayai dapat menambahkan tenaga dan mempunyai banyak khasiat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/09/2022 - Disunting : 27/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Minum Kopi Dapat Panjangkan Umur?

Akaun Twitter Sky News melaporkan bahawa individu yang meminum dua ke tiga cawan kopi sehari dikaitkan dengan jangka hidup yang lebih panjang. Mari kita semak jika dakwaan ini benar.

Sky News memetik pemerhatian yang dijalankan oleh Peter Kistler dari Baker Heart and Diabetes Research Institute, Australia ke atas kohort UK Biobank. Kajian tersebut mendapati bahawa kopi yang diperbuat daripada serbuk kopi, kopi segera dan kopi tanpa kafein didapati mempunyai hubung kait dengan pengurangan penyakit jantung dan kematian kerana penyakit jantung atau lain-lain sebab. Antara ketiga-tiga jenis, kopi dari serbuk kopi didapati mengurangkan kematian paling tinggi iaitu sebanyak 27%. Pada masa yang sama, risiko kematian terendah dilihat bagi individu yang meminum tiga cawan kopi sehari.

 

Kajian lain ke atas hubung kait kopi dan jangka hidup

Sebuah kajian lain telah dijalankan oleh penyelidik di Southern Medical University di Guangzhou, China. Juga menggunakan data UK Biobank, kajian mendapati bahawa meminum kopi dengan gula menunjukkan 31% kurang berkemungkinan untuk mati berbanding mereka yang tidak menambah gula iaitu 21%. Namun begitu, harus difahamkan bahawa hanya purata satu sudu teh gula yang ditambah ke dalam kopi oleh peserta. Malah, kajian juga mendapati pengambilan kopi dalam jumlah yang sederhana iaitu antara 1.5 hingga 3.5 cawan sehari adalah lebih bagus.

Turut menggunakan data UK Biobank, sebuah lagi kajian melihat kepada hubung kait antara pengambilan kopi dan kematian. Pengambilan kopi 1 hingga 8 cawan sehari atau lebih didapati mempunyai hubungan yang bertentangan dengan kematian. Malah, kajian turut mendapati kesan pengambilan kopi menurunkan kebarangkalian kematian dalam individu yang mempunyai kadar metabolisme kafein rendah mahupun tinggi.

Kredit gambar: Philipp Cordts/ Unsplash

Sebuah kajian lain ke atas Multiethnic Cohort, iaitu kumpulan populasi minoriti Afrika, Jepun, Latina, orang asal Hawaii dan orang Kaukasia yang dijalankan penting untuk melihat kesan kopi di dalam bangsa dan etnik berbeza. Sekali lagi terbukti bahawa pengambilan kopi dapat menurunkan kadar kematian sebanyak 12% bagi individu yang minum secawan kopi sehari berbanding yang tidak meminum kopi. Individu yang minum 2 hingga 3 cawan kopi pula mempunyai 18% kurang kebarangkalian mati. Walaupun begitu, dapatan kajian tidak benar untuk orang asal Hawaii. 

 

Kebaikan kopi terhadap kesihatan

Antara sebab yang mungkin menjelaskan pengambilan kopi dengan penurunan risiko kematian awal adalah kewujudan lebih 1,000 kompaun aktif di dalam kopi. Kopi dapat meningkatkan metabolisme glukosa dan sensitiviti terhadap insulin yang membantu tubuh badan untuk memproses gula lebih efektif. Secara tidak langsung, pengambilan lebih enam cawan kopi sehari mengurangkan risiko diabetes jenis 2. Kopi juga mempunyai kompaun antioksidan yang dapat melindungi dan memanjangkan jangka hayat sel. Menurut Progress on Cardiovascular Diseases, pengambilan kopi yang lazim turut merendahkan risiko masalah kardiovaskular dan kematian akibatnya. 

 

Kopi dapat mengurangkan risiko kematian

Berdasarkan kajian pemerhatian yang dilakukan, jelas bahawa pengambilan kopi dalam jumlah yang berpatutan dapat mengurangkan risiko kematian awal sekaligus memanjangkan jangka hayat. Penyelidik berpendapat pengambilan kopi boleh diuji sebagai bahan rawatan tanpa risiko mudarat yang signifikan. Walau bagaimanapun, wanita dengan risiko tulang rapuh patut elak daripada mengambil kopi. 

 


Rujukan:

1. https://news.sky.com/story/drinking-two-to-three-cups-of-coffee-a-day-linked-to-a-longer-life-12706071
2. https://www.acpjournals.org/doi/10.7326/M21-2977
3. https://www.healthline.com/health-news/drinking-coffee-even-with-sugar-may-increase-your-lifespan
4. https://jamanetwork.com/journals/jamainternalmedicine/article-abstract/2686145
5. https://www.livescience.com/59759-drinking-coffee-linked-to-living-longer.html
6. https://www.livescience.com/does-drinking-coffee-help-live-longer
7. https://www.bmj.com/content/359/bmj.j5024.long

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago