Benarkah Minuman Bergula Merangsang Pertumbuhan Tumor? 

Benar
Benarkah Minuman Bergula Merangsang Pertumbuhan Tumor? 

Pengambilan minuman bergula pada kadar yang tinggi boleh menyebabkan berat badan meningkat seterusnya menyumbang kepada masalah kesihatan lain

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/09/2022 - Disunting : 26/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Minuman Bergula Merangsang Pertumbuhan Tumor? 

Menurut pengguna Twitter Farmacora, mengambil minuman bergula boleh merangsang pertumbuhan tumor. Ia adalah berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal yang mempunyai tumor usus peringkat awal atau polyps. Mari kita semak dakwaan ini dengan lebih lanjut.

 

Tumor boleh diklasifikasikan kepada tumor bukan barah atau tumor barah. Tumor barah terjadi akibat perubahan DNA di dalam sel, manakala tumor bukan barah boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor seperti umur, obesiti dan perubahan hormon. Menurut Cancer Council NSW, minuman bergula belum dibuktikan sebagai salah satu penyebab langsung kepada barah. Walaupun begitu, pengambilannya dalam kuantiti yang banyak boleh meningkatkan risiko barah kerana peningkatan berat badan. Berat badan berlebihan didapati meningkatkan risiko 13 jenis barah seperti barah usus, barah payudara dan barah buah pinggang.

Dr Jihye Yun, pembantu profesor dalam bidang molekular dan genetik manusia di Baylor College of Medicine, juga berkata gula dianggap boleh menyebabkan tumor dan barah melalui obesiti. Namun begitu, kajian yang dipetik oleh Farmacora mendapati bahawa gula boleh merangsang pertumbuhan tumor usus secara langsung tanpa menyebabkan obesiti terlebih dahulu. Menerusi kajian itu, sirap jagung yang diminum tikus didapati telah menyebabkan tumor membesar dan meningkatkan gred tumor, walaupun dengan ketiadaan obesiti dan sindrom metabolik lain

 

Kajian minuman bergula ke atas risiko barah

Sebuah kajian lain yang dijalankan ke atas kohort NutriNet-Santé Perancis menemui hubung kait antara minuman bergula dan risiko barah keseluruhan. Bagi setiap 100 mL peningkatan minuman bergula setiap hari, terdapat 18% peningkatan relatif risiko untuk sebarang jenis barah. Hubung kait secara langsung ditemui dengan peningkatan risiko barah payudara sebanyak 22% bagi setiap 100mL peningkatan minuman bergula setiap hari, tetapi tidak ditemui dengan barah rektum dan barah prostat. Minuman bergula turut termasuk minuman 100% jus buah yang mempunyai hubung kait dengan kadar barah, tetapi pada kadar peningkatan risiko yang sedikit rendah iaitu 12%.

Walau bagaimanapun, minuman manis menggunakan pemanis tiruan tidak terkait dengan mana-mana risiko barah. Perkara ini bermakna, gula merupakan bahan di dalam minuman manis yang mempunyai hubung kait dengan risiko barah. Penambahan sebanyak 10 gram gula sehari daripada minuman manis menyebabkan peningkatan risiko relatif barah sebanyak 16%. 

 

Minuman bergula boleh meningkatkan risiko tumor

Berdasarkan kedua-dua kajian yang dijalankan, jelas bahawa pengambilan minuman bergula pada kadar yang tinggi setiap hari mempunyai hubung kait dengan peningkatan risiko tumor serta barah. Walaupun causal relationship atau perhubungan penyebab antara minuman bergula dan barah masih belum dapat dibuktikan, dapatan kajian kohort NutriNet-Santé mengiyakan hipotesis bahawa minuman bergula meningkatkan risiko barah. Pengkaji kohort NutriNet-Santé berkata dapatan kajian sejajar dengan nasihat pengurangan minuman bergula serta dasar-dasar berkaitan minuman bergula.

 


Rujukan:

1. http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-kanser/
2. https://vispdocs.com/what-causes-tumors/
3. https://www.cancercouncil.com.au/cancer-prevention/diet-exercise/nutrition-and-diet/sugary-drinks/
4. https://www.science.org/doi/10.1126/science.aat8515
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31292122/
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8798166/
7. https://www.medicalnewstoday.com/articles/325716

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago