Benarkah Oat Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Salah
Benarkah Oat Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Oat merupakan makanan yang sering dimakan oleh individu berdiet

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/02/2023 - Disunting : 07/02/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Oat Tidak Elok Untuk Kesihatan?

Sebuah video TikTok oleh Dr Mani iaitu seorang pakar perubatan telah tular baru-baru ini apabila dia mengulaskan mengenai mitos oat. Dr Mani menerangkan bahawa oat tidak sesuai untuk menggantikan bahan makanan utama lain terutamanya bagi individu yang ingin diet. Dia berkata oat merupakan antara makanan yang paling tidak sihat serta memiliki kandungan indeks glisemik (GI) lebih 55% dan karbohidrat lebih 70%.

Oat

Avena sativa, atau oat, merupakan sejenis makanan bijiran penuh yang mengandungi 71% kandungan karbohidrat, 13% protein dan 15% lemak. Daripada kandungan karbohidratnya, 11% adalah serat, manakala 85% adalah kanji. Oat adalah antara makanan yang paling tinggi khasiat. Ia turut mengandungi kanji yang boleh melindungi jantung iaitu beta-glucan. Ia boleh menurunkan kolesterol dan mengurangkan risiko sesetengah jenis kanser. Oat juga mengandungi banyak nutrien lain seperti vitamin B, fosforus, magnesium dan zink. 

Terdapat pelbagai jenis oat berdasarkan cara ia diproses. Bijiran oat merupakan jenis oat yang paling sempurna dan memerlukan masa lebih lama untuk dimasak. Sebaliknya, terdapat juga oat lain yang lebih cepat dimasak seperti steel-cut oat dan rolled oat. Steel-cut oat adalah oat yang telah diproses menggunakan pemotong besi, manakala rolled oat bermakna oat telah dikukus kemudian ditekan menggunakan penggelek. Oat yang ditekan lebih nipis akan menjadi oat cepat masak dan oat yang diproses dengan paling tinggi adalah oat segera dengan tempoh memasak terpendek.

Kredit gambar: Andrea Tummons/ Unsplash

Menurut Candida Rebello, pengarah bagi sebuah program kajian nutrisi dan penyakit kritikal di Louisiana State University, tidak terdapat banyak perbezaan bagi kadar nutrisi antara steel-cut oat dan rolled oat. Sebaliknya, oat segera mempunyai indeks glikemik (GI) yang lebih tinggi dan boleh menaikkan kandungan gula dalam darah dengan pantas. 

Oat biasa mempunyai GI 55, tetapi oat segera mempunyai GI 66. Makanan GI tinggi mempunyai impak yang tinggi terhadap tahap gula dalam darah. Makanan yang mempunyai GI 55 dan ke bawah masih dikira sebagai makanan rendah GI. Oleh itu, oat biasa dengan GI 55 masih elok diambil dan tidak akan memberi kesan yang tinggi kepada tahap gula dalam darah seperti oat segera. 

 

Kebaikan oat

Walaupun oat merupakan makanan tinggi karbohidrat, namun ia boleh dimakan untuk mengurangkan berat badan. Hal ini adalah kerana beta-glucan yang terkandung di dalamnya boleh menyebabkan seseorang berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama. Berdasarkan sebuah kajian, pesakit diabetes jenis II yang memakan sebanyak 100g oat sehari kehilangan lebih banyak berat badan berbanding pesakit dengan diet tinggi serat dan rendah lemak. 

Di samping itu, beta-glucan juga boleh meningkatkan kesihatan jantung dan melindungi pemakan daripada serangan jantung. Beta-glucan dapat mengurangkan tahap kolesterol keseluruhan dan kolesterol low-density lipoprotein (LDP) atau kolesterol jahat yang bertanggungjawab bagi penyakit jantung. Beta-glucan mengawal tahap gula dalam darah dan mengurangkan penyerapan kolesterol bagi kesihatan jantung. 

Kredit gambar: JÉSHOOTS/ Pexels

Kajian ke atas pengambilan bijiran oat oleh Harvard School of Public Health mendapati bagi setiap pengambilan tambahan oat, risiko kematian akibat penyakit jantung menurun antara 5% dan 9% dan tidak bergantung kepada diet lain serta faktor gaya hidup. Food and Drug Administration (FDA) turut setuju bahawa beta-glucan yang terkandung di dalam bijiran oat boleh mengurangkan risiko masalah jantung.

Oat turut membantu dalam penghadaman kerana mengandungi kandungan serat yang tinggi. Serat bijiran di dalam oat dianggap lebih bagus berbanding serat yang ditemui di dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Beta-glucan juga dapat meningkatkan penghasilan pelbagai mikrobiota perut yang boleh mengurangkan masalah diarea, sembelit dan masalah usus. 

 

Oat elok dimakan secara berpatutan

Ternyata oat mempunyai khasiat yang tinggi dan boleh membantu mengurangkan berat badan serta menurunkan risiko serangan jantung. Namun begitu, seperti mana-mana makanan lain, ia harus dimakan dalam kuantiti yang sederhana. Pengambilan oat secara berlebihan boleh meningkatkan berat badan. Bertentangan dengan Dr Mani, Roxana Ehsani, Registered Dietitian Nutritionist and Media Spokesperson for the Academy of Nutrition and Dietetics, mencadangkan supaya oat diambil dengan susu lemak rendah untuk mengekalkan kebaikan oat bagi jantung


Rujukan:

1. https://www.healthline.com/nutrition/9-benefits-oats-oatmeal#What-are-oats-and-oatmeal
2. https://www.healthline.com/nutrition/foods/oats#nutrients
3. https://www.heart.org/en/news/2022/09/01/take-a-fresh-look-at-oatmeal-its-not-as-simple-as-you-think
4. https://healthyeating.sfgate.com/oatmeal-vs-quick-oatmeal-2047.html
5. https://www.medicalnewstoday.com/articles/324871
6. https://www.everydayhealth.com/diet-nutrition/diet/oatmeal-benefits-risks-recipes-more/
7. https://www.healthline.com/health/beta-glucan-heart-healthy#benefits
8. https://jamanetwork.com/journals/jamainternalmedicine/fullarticle/2087877
9. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32728751/
10. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/food-features/oats/
11. https://www.eatthis.com/reason-shouldnt-eat-oatmeal/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago