Benarkah Pakaian Tidak Boleh Dijemur Di Balkoni Rumah Kondo?

Salah
Benarkah Pakaian Tidak Boleh Dijemur Di Balkoni Rumah Kondo?

Di Malaysia, ruang balkoni sering digunakan sebagai tempat menjemur pakaian

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/05/2023 - Disunting : 09/05/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Pakaian Tidak Boleh Dijemur Di Balkoni Rumah Kondo?

Baru-baru ini, Natasha, seorang perunding hartanah, telah membuat ciapan seperti di bawah.

Menurutnya, Akta Strata 2013 tidak mengizinkan penduduk untuk menjemur baju di kawasan balkoni rumah yang berada di bawah hak milik strata. Perkara ini dikatakan akan menyebabkan muka bangunan tidak kemas, seterusnya boleh mengurangkan nilai hartanah.

Ciapan oleh Natasha telah mendapat perhatian orang ramai yang turut memberikan pelbagai maklum dari sudut positif dan negatif. Persoalannya, adakah benar bahawa pakaian tidak boleh dijemur di balkoni kondo atau lain-lain rumah hak milik strata?

 

Hak milik strata

Sebelum mengupas lanjut mengenai undang-undang berkaitan strata, penting untuk kita fahami apa itu hak milik strata. Hak milik strata adalah hak milik berasingan bagi setiap unit atau petak dalam bangunan dua tingkat atau lebih yang dibina atas sebidang tanah yang sama dan mempunyai kemudahan bersama. 

Hak milik strata kebiasaannya merujuk kepada hak milik ke atas bangunan bertingkat yang berkongsi tanah, namun ia juga termasuk pembangunan strata bertanah seperti townhouse dan taman perumahan berpagar. Akta Hakmilik Strata (AHS) 1985 digubal untuk menjaga hak pemilik hartanah strata. 

Pihak yang menjadi pemilik pembangunan strata sudah tentu adalah pembeli hartanah atau suatu unit. Ia juga termasuk individu yang berhak menerima sewa daripada suatu unit, sama ada sebagai ejen hartanah, pemegang amanah atau penerima. Selain itu, pihak pemaju merupakan pemilik strata bagi unit belum dijual yang sedang dibangunkan.

 

Jadual Ketiga Akta Pengurusan Strata 2013

Diperkenalkan pada tahun 2013, Akta Pengurusan Strata bertujuan untuk menyediakan penyelenggaraan dan pengurusan yang sewajarnya untuk bangunan strata dan harta bersama serta perkara lain yang berkaitan. 

Undang-undang kecil berkaitan penyelenggaraan dan pengurusan strata telah diletakkan dalam Jadual Ketiga di bawah Akta Pengurusan Strata 2013. Jadual Ketiga menggariskan perkara berkaitan pengurusan perbadanan, pemilik, harta bersama, kenderaan, pelupusan sisa pepejal, pengubahsuaian, serta kecacatan kepada petak yang memberi kesan kepada sokongan dan perlindungan.

Sebenarnya, undang-undang berkenaan jemuran di balkoni tidak dinyatakan secara langsung di dalam Jadual Ketiga ini. Seksyen 15 di bawah Bahagian 3 (Pemilik) menjelaskan bahawa penduduk tidak boleh menggantung sebarang jemuran pada bahagian rumahnya (yang disebut petak) yang menyebabkan jemuran melunjur ke luar petak. Namun begitu, ia dibenarkan di kawasan yang diperuntukkan dan dengan syarat jemuran hanya ditinggalkan untuk satu tempoh yang munasabah.

 

Menggantung pakaian di balkoni tidak menjadi kesalahan 

Hal ini bermakna jemuran tidaklah dilarang untuk diletakkan di balkoni, tetapi tidak boleh diletakkan di atas railing atau pagar balkoni. Ini adalah kerana meletakkan jemuran di atas pagar balkoni akan menyebabkan jemuran terkeluar daripada kawasan rumah individu dan telah melanggar peraturan di bawah Jadual Ketiga.


Rujukan:

1. https://www.propertyguru.com.my/bm/panduan-hartanah/apa-yang-anda-perlu-tahu-tentang-hak-milik-strata-38103
2. https://www.iproperty.com.my/guides/know-your-rights-and-obligations-as-a-strata-property-owner-sed-35437
3. https://www.iproperty.com.my/bm/panduan-hartanah/apa-itu-akta-pengurusan-strata-2013-ms-39235
4. https://www.jmbpks7.com.my/wp-content/uploads/2017/10/undang-undaang-kecil-JMB.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago