Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Promosi Islamofobia?

Salah
Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Promosi Islamofobia?

Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang mendakwa DAP mempromosi Islamofobia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/12/2022 - Disunting : 01/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Promosi Islamofobia?

Dalam sebuah hantaran oleh MalaysiaKini, Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong kenyataan presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mendakwa bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempromosi Islamofobia. Islamofobia adalah ketakutan atau kebencian melampau terhadap Islam dan penganutnya. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan ungkapan dan jenayah kebencian serta diskriminasi sosial dan politik, malah boleh digunakan untuk membenarkan polisi-polisi seperti pengawasan dan pemenjaraan beramai-ramai. Hanafi Zulkapli selaku Naib Ketua Dewan Pemuda PAS telah menyenaraikan lima kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil dari DAP yang dilihat sebagai tingkah laku Islamofobia.

 

Deklarasi Setapak

DAP mempunyai beberapa deklarasi di bawah matlamat partinya. Salah satu daripadanya adalah Deklarasi Setapak yang berhasrat untuk mengubah status Bumiputera di Malaysia. Di dalam deklarasi tersebut, DAP berpandangan bahawa “kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan di atas prinsip inilah pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘Bumiputera’ dan ‘bukan Bumiputera’ ditentang.”

Dalam masa yang sama, DAP setuju untuk menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan dalam konteks budaya dan pendidikan, iaitu dengan menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan mempertahankan hak penggunaan bahasa lain. Meskipun isu hak sama rata antara kaum dilihat boleh mengganggu gugat hak keistimewaan Bumiputera, namun tiada sebarang kenyataan mengenai agama disebut di dalam Deklarasi Setapak.

 

Gugurkan status kaum dan Islam pada MyKAD

Hanafi berkata, Senator Nga Hock Cheh dari DAP telah meminta supaya status kaum dan Islam disingkirkan dari Kad Pengenalan (MyKAD). Apabila menyemak perkara ini, Nga telah menyatakan bahawa kenyataannya telah disalah faham. Berdasarkan Penyata Rasmi Dewan Negara pada 24 April 2019 (halaman 44) di bawah, Nga tidak meminta supaya status agama atau bangsa digugurkan, tetapi hanya menekankan mengenai kepentingan identiti nasional. 

“Tuan Yang di-Pertua, untuk memperkukuhkan perpaduan kita mesti faham sebab-sebab yang menghalang perpaduan di negara kita. Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. Isu perkauman tidak akan timbul”.

Menteri Dalam Negeri (KDN) ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan Nga supaya identiti kaum dibuang dari MyKad akan dikaji dan diperhalusi. Jelas bahawa Nga sama sekali tidak menyentuh isu agama ketika itu, apatah lagi untuk menggunakan kenyataannya sebagai bukti DAP bersikap Islamofobia. 

 

Hak murtad orang Islam

Satu lagi isu lain yang menyebabkan PAS berkata DAP anti-Islam adalah pendirian Ngeh Koo Ham yang menyatakan hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam. Kenyataannya boleh dilihat dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat pada 11 Jun 2014 (halaman 42) seperti berikut:

“Akan tetapi saya berharap juga orang-orang Islam juga boleh terima peruntukan 11(1) ini yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama itu oleh orang perseorangan dan kalau seseorang itu memang nak meninggalkan agama itu dan beliau lebih daripada 18 tahun, kita mesti menghormati hak yang telah Tuhan berikan kepada seseorang itu dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kita ini”

Kredit gambar: Ngeh Koo Ham/ Facebook

Sebagai tindak balas kepada kenyataan tersebut, Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hassan Ali berkata ia sebenarnya adalah bertentangan dengan peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Selain daripada Artikel 11(1) yang diguna pakai oleh Ngeh dalam menyokong kenyataannya, ia harus dibaca bersama Fasal (4) dan (5) “di mana kebebasan memilih dan menganut mana-mana agama bagi orang Islam sebenarnya sudah dilindungi oleh peruntukan tersebut.” 

Dr Hassan berkata bukan sahaja penukaran agama atau murtad dari Islam salah mengikut undang-undang syariah, malah pendedahan kepada mereka dalam hal yang boleh menyebabkan mereka ingin melakukan sedemikian merupakan kesalahan undang-undang juga. Sehingga kini, Ngeh masih belum memohon maaf di atas kenyataan yang dilakukannya. Walau bagaimanapun, untuk mengatakan tindakannya adalah satu bentuk Islamofobia juga adalah tidak benar. 

 

Gabungan PN kerajaan Taliban

Ketika kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Nga Kor Ming, kini Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata gabungan Perikatan Nasional (PN) yang merangkumi PAS bakal mewujudkan ‘kerajaan Taliban’ yang tegas mengawal aktiviti maksiat. Dakwaan ini dibuat berdasarkan ketegasan PAS dalam melawan judi, arak dan konsert, serta ingin mengasingkan antara lelaki dan wanita, yang dilihat bertentangan dengan kepelbagaian budaya negara dan nilai sekular

PAS Perak telah membuat laporan polis sebagai tindak balas terhadap kenyataan Nga yang merupakan fitnah dan hasutan, serta mempersendakan agama Islam. Kenyataan Nga yang dibuat supaya pengundi tidak mengundi calon PN dengan cara menakut-nakutkan mereka mungkin kelihatan seperti satu contoh Islamofobia, namun sebenarnya ia cumalah kenyataan yang berbaur anti-PAS. Ini bukanlah pertama kali Nga mengeluarkan kenyataan sedemikian apabila pernah melakukannya pada tahun 2019 ketika PAS dan UMNO ingin bergabung

Jika dilihat pada perkongsian oleh pengguna Twitter Afiq Hanif yang bertugas sebagai pegawai komunikasi strategiknya, Nga tidak pun bersikap anti-Islam. Dia sering menggunakan perkataan Arab yang sinonim dengan Islam dalam ucapannya, seperti Insyallah dan Alhamdulillah. Malah, Nga juga menyuruh Afiq menjalankan solat terlebih dahulu sebaik sahaja masuk waktu. 

 

 

Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu

Pada 1 November 2022, Mentor DAP Lim Kit Siang ketika pengumuman calon Pakatan Harapan di Papar, Sabah, membuat kenyataan bahawa Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia. Perkara ini adalah bagi menggantikan konsep Ketuanan Melayu untuk menjadikan negara majmuk bertaraf dunia. Lim berkata, konsep Ketuanan Melayu digunakan oleh UMNO untuk menjadi kaya raya sementara membiarkan orang Melayu dan Bumiputera lain miskin dan ketinggalan. 

Kredit gambar: Lim Kit Siang/ Twitter

Menyokong kenyataannya, Lim turut mendakwa konsep Ketuanan Melayu “bertentangan dengan prinsip asal pembinaan Malaysia bahawa Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak, adalah rakyat Malaysia yang sama rata dan tiada golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga”. Jelas bahawa kenyataan oleh pemimpin DAP ini berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu, tetapi ia tidaklah sehingga menyentuh isu agama yang menjurus kepada Islamofobia.

 

DAP tidak promosi Islamofobia, tetapi ada ahli-ahli yang berkelakuan sedemikian

Sebagai sebuah parti politik, DAP tidak mempunyai agenda untuk mempromosikan Islamofobia dalam kalangan masyarakat Malaysia. Namun begitu, mungkin terdapat beberapa ahli DAP seperti Nga Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan yang disalah sangka sebagai anti-Islam. 

Menurut Anthony Loke Siew Fook selaku Setiausaha Agong DAP, dakwaan oleh Hadi Awang merupakan satu bentuk cubaan untuk memecah-belahkan pemimpin-pemimpin di bawah kerajaan perpaduan. Anthony berkata pihaknya akan menjelaskan atau menyangkal dakwaan-dakwaan DAP sebuah parti Islamofobia, dan sebuah laporan polis akan dilakukan jika didapati dakwaan tersebut adalah fitnah.


Rujukan:

1. https://www.malaysiakini.com/news/646157
2. https://bridge.georgetown.edu/about-us/what-is-islamophobia/
3. https://www.malaysiakini.com/news/474382
4. https://malaysiadateline.com/status-bangsa-agama-dalam-mykad-kekal-tapi-syor-gugur-diperhalusi/
5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jati-selar-kenyataan-ngeh-umat-islam-perlu-diberi-laluan-tukar-agama-37652
6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/13/nga-ulangi-amaran-malaysia-jadi-negara-taliban-afghanistan-jika-pn-menang/
7. https://www.sinarharian.com.my/article/231968/berita/semasa/pas-perak-lapor-polis-terhadap-kor-ming
8. https://www.buzzkini.com/trending/2022/11/14/pru15-malaysia-jadi-negara-taliban-jika-pn-menang-kata-nga-kor-ming/
9. https://www.malaysiakini.com/news/641918
10. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/909516/dakwaan-islamofobia-cubaan-lagakan-dap

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago