Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sebuah Parti Pro-Komunis?

Salah
Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sebuah Parti Pro-Komunis?

Abdul Hadi Awang menyifatkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai pro-komunis

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/12/2022 - Disunting : 06/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sebuah Parti Pro-Komunis?

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggelar Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai sebuah parti pro-komunis. Akhbar melaporkan bahawa Hadi enggan menarik balik atau memohon maaf kepada pihak DAP atas dakwaan yang dilakukannya

 

Isu DAP yang kelihatan bersifat komunis

Hadi Awang berkata ketika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama-sama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, dia mengenali beberapa orang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Malah, sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ada ahli DAP yang meminta bawa balik abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng. 

DAP juga dipercayai telah menyertai sebuah perhimpunan bagi memperingati perjuangan komunis. Selain itu, seorang bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau, menerbitkan komik ‘Belt and Road’ yang mengandungi unsur-unsur komunisme. Komik tersebut kemudiannya telah diharamkan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Walaupun begitu, Hadi Awang turut berkata bahawa bukan semua ahli atau pimpinan DAP yang mempunyai ideologi komunis. 

Selain Hadi Awang, Ellie Suriaty Omar, selaku pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) GABUNG telah menggesa pihak polis untuk menyiasat hubungan antara PKM dan DAP. Menurutnya, DAP adalah satu parti yang menyokong ideologi komunis serta sosialis. Dia menyenaraikan beberapa isu yang mengaitkan DAP dengan PKM seperti Nga Kor Ming yang meletakkan gambar Chin Peng pada kulit sebuah buku dan pengakuan mempunyai pertalian darah dengan bekas ahli PKM oleh Nga dan Hannah Yeoh. 

Di samping itu, sebuah perhimpunan Memperingati Perjanjian Hatyai 1989 oleh bekas-bekas PKM telah diadakan di Universiti New Era Kajang dan dihadiri oleh orang berkepentingan DAP. Berdasarkan himpunan ini, Tan Sri Musa Hassan merasakan DAP berniat untuk menghidupkan semula ideologi komunis. Lim Kit Siang kemudiannya membidas dakwaan itu sebagai satu bentuk fitnah dan penipuan.

 

DAP bukan parti pro-komunis

Menurut perkongsian oleh bekas pengerusi PKM, Abdullah CD, penubuhan DAP diinspirasikan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan pengasasnya Lee Kuan Yew yang jelas melawan komunis. DAP didaftarkan di Malaysia ketika itu apabila pendaftaran PAP terbatal susulan perpisahan Singapura. Kedua-dua parti ini bersifat sosialis dan bukanlah komunis. 

Abdullah CD berkata Lee Kuan Yew berjaya menjadi Perdana Menteri hasil sokongan golongan kiri seperti PKM yang meminta rakyat untuk menyokong PAP. Namun begitu, Lee kemudiannya menghapuskan gerakan kiri di Singapura termasuk PKM. 

Berdasarkan laman web DAP, parti tersebut wujud atas ideologi sosialisme demokratik, iaitu sosialisme sederhana dengan menolak komunisme dan kapitalisme yang menyebabkan dunia terpisah kepada blok kuasa Barat (kapital) dan Timur (komunis) ketika zaman Perang Dingin

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata PAS dahulu pernah bekerjasama dengan DAP tetapi kini menuduh DAP sebagai sebuah parti komunis. DAP merupakan sebuah parti yang sah berdaftar di Malaysia dan ditubuhkan pada tahun 1966. 

 

Hubungkait pihak-pihak lain dengan komunisme

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata UMNO telah menghantar wakil dalam mesyuarat Parti Komunis China (CPC) serta menjemput CPC menghadiri perhimpunan mereka, namun tidak disebut oleh Hadi Awang sebagai pro-komunis. Malah, negara telah menjalinkan hubungan dengan pimpinan komunis di Vietnam dan duta khas ke China telah dilantik sewaktu pimpinan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Oleh yang demikian, Lim berkata dakwaan Hadi terhadap DAP adalah palsu dan PAS tidak patut menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana sifat parti tersebut yang rasis dan ekstrim. 

 

DAP bukan parti komunis, tetapi mungkin ada ahlinya yang bersifat pro-komunis

Fahmi Fadzil selaku Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya kenyataan dibuat untuk mengalih isu kepada pihak lain demi menutup kegagalan PAS berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah). Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menegaskan dakwaan Hadi Awang bahawa DAP menyokong komunis adalah tidak benar. Kelvin berkata jika terdapat bukti ahli DAP menyokong komunis, laporan polis patut dibuat oleh individu yang membuat dakwaan tersebut. 

Hadi Awang telah dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya dan dikatakan telah memberikan buktinya bahawa DAP merupakan parti pro-komunis kepada Bukit Aman. Sekali lagi, Hadi mengaku bahawa bukan semua ahli DAP bersifat pro-komunis, tetapi PAS tetap tidak akan bekerjasama dengan mereka kerana merasakan agenda politik DAP sangat bahaya. 


Rujukan:

1. https://harakahdaily.net/index.php/2022/11/10/presiden-pas-ada-bukti-dap-pro-komunis/
2. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/10/1014789/dulu-duduk-dengan-dap-sekarang-tuduh-dap-komunis
3. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/10/532956/home-ministry-storms-penang-museum-seizes-13-belt-and-road-comics
4. https://www.airtimes.my/2020/02/07/ngo-dap-ada-kaitan-dengan-komunis-cuba-tukar-agama-rasmi-persekutuan/
5. https://www.malaysiakini.com/news/505116
6. https://dapmalaysia.org/sejarah-perjuangan/
7. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/10/dap-bukan-parti-komunis/
8. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/20/pemimpin-ph-kecam-hadi-kaitkan-dap-dengan-komunis/
9. https://www.sinarharian.com.my/article/228753/khas/berani-semuka/sila-buat-laporan-polis-jika-ada-bukti-dap-sokong-komunis
10. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/11/10/saya-ada-bukti-dap-komunis-jumpa-di-mahkamah-hadi-enggan-mohon-maaf/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago