Benarkah Pembentukan Malaysia Mendapat Tentangan?

Benar
Benarkah Pembentukan Malaysia Mendapat Tentangan?

Malaysia telah terbentuk hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/09/2022 - Disunting : 15/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Pembentukan Malaysia Mendapat Tentangan?

Pembentukan Malaysia telah dicadangkan dengan gabungan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak, Singapura dan Brunei. Idea gabungan ini yang digelarkan sebagai Grand Design telah diperjuangkan oleh Sir Malcolm MacDonald, Gabenor Jeneral British di Asia Tenggara, sejak tahun 1951. Pada tahun 1960, Perdana Menteri Britain, Sir Harold Macmillan telah memberikan idea kepada pembentukan Persekutuan Malaysia di dalam ucapannya mengenai Greater Malaysia, yang bertujuan untuk memberi kemerdekaan kepada jajahan-jajahan British di rantau Asia Tenggara

Perdana Menteri Pertama Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman kemudiannya telah menyatakan hasrat untuk mewujudkan persefahaman antara negara-negara yang terbabit pada 27 Mei 1961. Pembentukan Malaysia sebenarnya dicadangkan untuk berlaku pada 31 Ogos 1963, namun ia ditangguh kepada 16 September 1963 akibat tentangan yang diterima.

Ketika sesi menandatangani Perjanjian Malaysia 1963. Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri

 

Faktor-faktor pembentukan Malaysia 

Sebelum kita melihat mengapa pembentukan Malaysia ditentang, penting untuk kita fahami beberapa faktor yang mendorong pembentukan Malaysia. Faktor utama pembentukan adalah bagi memberikan kemerdekaan kepada Borneo Utara, Sarawak, Singapura dan Brunei. Perkara ini adalah selaras dengan usul yang diberikan ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1960 supaya tanah-tanah jajahan British diberi kemerdekaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengekang ancaman komunis yang semakin berkembang di Asia Tenggara, sekaligus menjamin keselamatan dan kestabilan politik. Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew, telah mendesak British untuk membenarkan penggabungan Singapura dengan Tanah Melayu kerana yakin dengan kejayaan Tanah Melayu membanteras pengaruh Parti Komunis Malaya

 

Tentangan dalaman ke atas pembentukan Malaysia

Pembentukan Malaysia pada mulanya mendapat tentangan sesetengah pihak seperti Parti Rakyat Brunei (PRB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO). Tunku kemudiannya mengadakan lawatan ke ketiga-tiga wilayah itu dan memberi jaminan bahawa beliau terbuka untuk memberikan autonomi kepada mereka. Pada 23 Julai 1961, Malaysia Solidarity Consultative Committee (MSCC) telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Donald Stephens bagi membincangkan cadangan pembentukan Malaysia. Selepas empat kali mesyuarat, Memorandum of Malaysia telah dipersetujui oleh ahli MSCC yang menyokong cadangan pembentukan Malaysia. 

Di samping itu, Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan pada 17 Januari 1962 untuk membuat tinjauan ke atas rakyat Borneo Utara dan Sarawak mengenai cadangan pembentukan Malaysia. Menurut dapatan oleh Suruhanjaya Cobbold, satu pertiga rakyat menyokong penubuhan Malaysia, satu pertiga menyokong dengan pelbagai syarat, dan satu pertiga lagi merasakan Borneo Utara dan Sarawak patut diberikan kemerdekaan dahulu.

Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Di Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin telah menunjukkan minat untuk menyertai persekutuan itu. Walau bagaimanapun, pada 8 Disember 1962, tercetusnya Pemberontakan Brunei yang diketuai oleh A. M. Azahari selaku ketua PRB. Disebabkan oleh pemberontakan ini, sultan Brunei akhirnya membuat keputusan pada Julai 1963 untuk tidak menyertai Malaysia. Pemberontakan ini juga menjadi titik permulaan tentangan ke atas pembentukan Malaysia oleh Filipina dan Indonesia. 

 

Konfrontasi Indonesia-Malaysia

Tidak lama selepas Pemberontakan Brunei, pada Januari 1963, Menteri Luar Indonesia Dr Subandrio mengumumkan polisi konfrontasi ke atas Persekutuan Tanah Melayu dalam hubungan ekonomi dan sosial. Indonesia merasakan pembentukan Malaysia akan mengukuhkan kedudukan British di Asia Tenggara melalui neokolonialisme atau fahaman kolonial baru, yang akan menguasai ekonomi di negeri-negeri yang terlibat. Konfrontasi Indonesia-Malaysia menjadi lebih teruk apabila tentera Indonesia mula melakukan serangan ke atas Sabah dan Sarawak, sebelum membuat serbuan di Singapura dan Tanah Melayu. Konfrontasi berakhir pada 11 Ogos 1966 apabila Presiden Suharto yang menggulingkan Presiden Sukarno menandatangani sebuah perjanjian damai dengan Malaysia. 

 

Filipina menuntut Borneo Utara

Walaupun pembentukan Malaysia telah dicadangkan lebih awal, pada Julai 1952, Presiden Diosdado Macapagal, Perdana Menteri Filipina ketika itu telah mencadangkan untuk membentuk Malayan Confederation atau MAPHILINDO yang akan menggabungkan negeri-negeri Malaysia, Filipina dan Indonesia. Pada tempoh ini, Filipina telah menuntut Borneo Utara dengan alasan bahawa ia milik Kesultanan Sulu walaupun telah dimiliki oleh British North Borneo Company dari 1878 hingga 1946. Filipina yang enggan mengiktiraf kedaulatan Malaysia mendapat kritikan hebat daripada negara-negara lain serta Britain dan Amerika Syarikat. Dasar luar Filipina terhadap Malaysia ketika itu telah hebat dipengaruhi oleh dasar konfrontasi Presiden Sukarno. Presiden Macapagal akhirnya cuba membuat isu tuntutan Borneo Utara kepada International Court of Justice (ICJ) dan PBB apabila Malaysia tidak mempertimbangkan tuntutan itu. 

 

Pembentukan Malaysia menghadapi banyak tentangan

Jelas bahawa pembentukan Malaysia menghadapi banyak tentangan bukan sahaja daripada negeri-negeri yang terbabit, tetapi juga dari negara-negara jiran. Namun begitu, pembentukan Malaysia tetap berjaya ditubuhkan atas kecekalan pihak-pihak yang terlibat. Suruhanjaya Cobbold juga membuktikan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak turut menyokong pembentukan tersebut. Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 akibat perbezaan politik dan ekonomi yang ketara antara parti-parti di kedua negara

Kredit gambar: Histourism – History & Tourism/ Facebook


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-sabah-dan-sarawak-merdeka-pada-tanggal-31-ogos/
2. https://www.academia.edu/37139993/Faktor_pembentukan_malaysia
3. https://solidaritas.my/bagaimana-malaysia-dibentuk-bahagian-i/
4. https://solidaritas.my/bagaimana-malaysia-dibentuk-bahagian-ii/
5. https://eresources.nlb.gov.sg/history/events/521bbca2-d44c-47bc-ba06-c3e1763e5a10
6. https://eresources.nlb.gov.sg/infopedia/articles/SIP_1072_2010-03-25.html
7. https://www.coursehero.com/file/47366405/FAKTOR-PENENTANGAN-FILIPINA-DAN-INDONESIA-TERHADAP-GAGASAN-MALAYSIA-1963docx/
8. https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/9312
9. https://eresources.nlb.gov.sg/history/events/dc1efe7a-8159-40b2-9244-cdb078755013

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago