Benarkah Pemilik Perniagaan Perlu Memaparkan Nombor Pendaftaran Syarikat SSM Di Laman Web Atau Media Sosial?

Benar
Benarkah Pemilik Perniagaan Perlu Memaparkan Nombor Pendaftaran Syarikat SSM Di Laman Web Atau Media Sosial?

Segala perniagaan di dalam negara perlu didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/09/2023 - Disunting : 27/09/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Pemilik Perniagaan Perlu Memaparkan Nombor Pendaftaran Syarikat SSM Di Laman Web Atau Media Sosial?

Baru-baru ini tular mesej di WhatsApp yang mendakwa seseorang disaman akibat tidak memaparkan nama penuh dan nombor pendaftaran SSM di premis perniagaan. Selain itu, dia mendapati bahawa nama penuh dan nombor pendaftaran SSM juga perlu dipaparkan di laman web dan laman media sosial.

Tangkap layar WhatsApp

Menurut tangkap layar mesej berkenaan, seorang individu mendakwa bahawa dia dikenakan saman RM2,000 akibat gagal memaparkan nama dan nombor pendaftaran syarikat. Mesej itu turut merangkumi contoh bagaimana nama penuh syarikat dan nombor pendaftaran perlu dipaparkan di laman media sosial. Mari kita semak lebih lanjut mengenai perkara ini.

 

Daftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Seperti yang semua sedia maklum, setiap syarikat yang beroperasi dalam negara wajib mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perkara ini telah dimaklumkan di bawah Akta Syarikat 2016, Seksyen 14, iaitu mana-mana pihak yang ingin membentuk syarikat perlu memohon kepada pihak Pendaftar supaya syarikat dibentuk menjadi perbadanan.

Menurut SSM, perniagaan perlu didaftar dalam tempoh 30 hari selepas ia bermula dan diperbaharui setiap tahun dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh luput. Individu yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftar syarikat dalam tempoh yang ditetapkan akan berhadapan dengan denda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Syarikat yang berdaftar akan diperakukan dengan Sijil Pendaftaran Perniagaan yang perlu dipamerkan di premis perniagaan. Jika perkara ini gagal dilakukan, pemilik akan disabit kesalahan dan akan dikenakan dengan RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

 

Pamer nama dan nombor pendaftaran syarikat

Berdasarkan penerangan di atas, jelas bahawa syarikat wajib mempamerkan Sijil Pendaftaran Perniagaan di premis perniagaan. Sijil ini mengandungi nama penuh syarikat dan nombor pendaftaran yang boleh menjadi rujukan buat pelanggan. Jadi, bagaimana pula dengan perniagaan atas talian?

Di bawah Seksyen 30, Akta Syarikat 2016, syarikat perlu mempamerkan nama dan nombor pendaftaran bukan sahaja di premis berdaftar, tetapi di tiap-tiap tempat perniagaan dijalankan dan rekod maklumat serta perakaunan disimpan.

Sebagai info tambahan, syarikat yang menukar nama perlu memaparkan nama terdahulu di bawah nama baharu bagi tempoh tidak kurang 12 bulan selepas penukaran dilakukan.

Selain itu, nama syarikat dan nombor pendaftaran perlu tertulis di surat perniagaan, notis dan penerbitan rasmi dalam bentuk fizikal mahupun elektronik. SSM juga menetapkan supaya kedua-dua maklumat penting ini dimasukkan ke dalam laman sesawang syarikat, tetapi tidak dinyatakan sama ada ketetapan ini termasuk laman media sosial.

 

Merujuk kepada laman web Exabytes yang dikongsikan bersama-sama mesej di WhatsApp tersebut, SSM telah mengeluarkan satu notis bahawa pemeriksaan telah dijalankan oleh pihaknya ke atas platform dalam talian syarikat yang merangkumi Facebook, Instagram, YouTube dan Twitter.

Menerusi notis tersebut, pihak peniaga diminta supaya mengemukakan paparan imej pada kesemua platform tersebut yang dapat membuktikan ia merupakan sebuah syarikat berdaftar. Kegagalan peniaga membuktikan perkara tersebut akan menyebabkannya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(2), Akta Syarikat 2016 iaitu kegagalan mempamerkan nama dan nombor pendaftaran syarikat.

Sumber: Laman web Exabytes

Sehubungan dengan itu, pihak kami telah menghubungi talian info SSM dan dimaklumkan bahawa walaupun Akta hanya merujuk kepada ‘laman sesawang’, tetapi pihaknya memilih untuk merangkumkan media sosial juga di bawah terma tersebut. Oleh itu, mereka menasihati peniaga untuk memaparkan nombor pendaftaran SSM di media sosial juga demi melindungi keselamatan peniaga. 

Sementara itu, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini pernah memaklumkan bahawa peniaga dalam talian perlu memaparkan lapan maklumat termasuk nama dan nombor pendaftaran syarikat. Perkara ini adalah berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

 

Perniagaan wajib memaparkan nama dan nombor pendaftaran syarikat di laman web serta digalakkan supaya berbuat sedemikian di platform media sosial

Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, dapat disimpulkan bahawa nama dan nombor pendaftaran syarikat wajib dipamerkan di laman web syarikat. Dalam masa yang sama, peniaga digalakkan mempamerkan nama dan nombor pendaftaran di platform media sosial.

Namun begitu, mesej yang tular menunjukkan bahawa individu tersebut telah dikenakan denda RM2,000 berbanding RM50,000 yang dinyatakan di dalam notis dari pihak SSM. Denda RM2,000 adalah bertepatan dengan kesalahan pemilik syarikat yang gagal memaparkan Sijil Pendaftaran Perniagaan di premis perniagaan.

Oleh itu, demi langkah berjaga-jaga, pastikan supaya nama dan nombor pendaftaran syarikat dipamerkan. Perkara ini bukan sahaja bagi memastikan peniaga tidak melanggar sebarang ketetapan undang-undang, tetapi sekaligus dapat meningkatkan kredibiliti syarikat terhadap pelanggan yang melayari laman web atau media sosialnya.


Rujukan:

1. https://www.ssm.com.my/bm/Pages/Services/Registration-of-Business-(ROB)/Forms/tanggungjawab_pemilik_perniagaan_-_versi_bm.pdf
2. https://www.ssm.com.my/acts/aktaBM_20160915_AktaSyarikat2016Akta777.pdf
3. https://www.exabytes.my/blog/display-your-registered-company-name-number/
4. https://aseanconsumer.org/file/post_image/Consumer%20Protection%20(Electronic%20Trade%20Transactions)%20Regulations%202012.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago