Benarkah Penduduk Asia Mempunyai Peratus Lemak Badan yang Lebih Tinggi?

Benar
Benarkah Penduduk Asia Mempunyai Peratus Lemak Badan yang Lebih Tinggi?

Indeks jisim tubuh (BMI) digunakan sebagai kriteria umum untuk mengukur masalah berat badan seseorang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 02/08/2022 - Disunting : 02/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Penduduk Asia Mempunyai Peratus Lemak Badan yang Lebih Tinggi?

Menurut Persatuan Kesihatan Dunia (WHO), lebih ramai manusia yang mengalami obesiti berbanding hanya mempunyai berat badan berlebihan di seluruh dunia, kecuali di sub-Sahara Afrika dan Asia. WHO menetapkan seseorang mempunyai berat badan berlebihan jika indeks jisim tubuh (BMI) adalah antara 25.0 hingga 29.9 kg/m2, manakala BMI 30.0 kg/m2 ke atas bermaksud seseorang itu mengalami obesiti. Seseorang dengan BMI yang tinggi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit berbahaya seperti diabetes jenis 2, sakit jantung dan darah tinggi.

Walau bagaimanapun, pengkaji mendapati bahawa penggunaan BMI mengikut standard WHO sebenarnya adalah eksklusif bagi orang Kaukasia. WHO kini telah menetapkan nilai baru bagi BMI orang Asia, iaitu antara 23 dan 24.9 kg/m2 bagi berat badan berlebihan, dan melebihi 25 kg/m2 bagi obesiti. Perkara ini bermakna, orang Asia mempunyai risiko mendapat penyakit berkaitan berat badan lebih tinggi pada kadar BMI rendah. Salah satu sebabnya mungkin adalah peratus lemak badan orang Asia yang dikatakan lebih tinggi. Persoalannya, adakah penduduk Asia secara umumnya mempunyai peratus lemak badan yang lebih tinggi?

 

Kajian BMI dan peratus lemak badan penduduk Asia

Banyak kajian telah dijalankan bagi mengkaji kadar BMI serta perbezaan peratus lemak badan antara orang Asia dan orang Kaukasia. Pengkaji dari Unit Komposisi Badan di Colombia University membuktikan bahawa secara amnya, orang Asia adalah lebih gemuk pada kadar BMI yang rendah. Orang Asia juga mempunyai lebih banyak lemak subkutaneus, iaitu lemak yang berada di bawah kulit, terutamanya di bahagia atas tubuh badan. Tambahan lagi, perbezaan adalah lebih ketara antara wanita berbanding lelaki. 

Sebuah kajian lain yang dilakukan ke atas penduduk di Indonesia, Singapura dan Hong Kong. Ia mendapati bahawa kesemua sampel mempunyai peratus lemak badan yang lebih tinggi pada kadar BMI rendah berbanding orang Kaukasia. Pada kadar BMI yang sama, peratus lemak badan mereka adalah 3-5% lebih tinggi. Pengkaji merumuskan bahawa ia mungkin disebabkan oleh binaan tubuh badan dan kadar otot berbeza, serta bahawa setiap hubung kait antara BMI dan peratus berat badan berbeza mengikut etnik.

Di Singapura, ukuran BMI menunjukkan risiko obesiti yang rendah. Namun, apabila pengkaji menggunakan peratus lemak badan sebagai ukuran, risiko obesiti mencecah sehingga 82% rakyat Singapura. Dapatan ini membuktikan bahawa rakyat Singapura mempunyai peratus lemak badan yang lebih tinggi pada BMI rendah berbanding orang Kaukasia. 

 

Peratus lemak badan tinggi dalam etnik lain

Peratus lemak badan lebih tinggi bukan sahaja ditemui dalam kalangan orang Asia, tetapi dalam etnik lain juga seperti orang kulit hitam dan Puerto Rico. Menurut National Center for Health Statistics (NCHS), orang kulit hitam mempunyai kadar berat badan berlebihan tertinggi antara populasi dewasa. Namun begitu, kajian yang dijalankan di New York ke atas orang Asia, orang kulit hitam, orang Puerto Rico dan orang Kaukasia menunjukkan dapatan yang berbeza. Orang Puerto Rico mempunyai BMI dan peratus lemak badan yang tertinggi antara semua etnik. Sekali lagi, walaupun orang Asia mempunyai BMI terendah, 63% daripada mereka mempunyai peratus lemak badan lebih tinggi berbanding nilai median orang Kaukasia. 

 

Orang Asia mempunyai peratus lemak badan lebih tinggi berbanding orang Kaukasia

Kajian-kajian yang dijalankan membuktikan bahawa peratus lemak badan bagi orang Asia adalah lebih tinggi berbanding orang Kaukasia. Keadaan ini bermaksud orang Asia lebih terdedah kepada penyakit berkaitan berat badan walaupun pada kadar BMI rendah.  Sesi Parlimen Malaysia pada 3 Mac 2022 telah membincangkan soal obesiti di sini. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, lebih separuh daripada rakyat dewasa Malaysia mempunyai masalah berat badan, dengan 30.4% mempunyai berat badan berlebihan dan 19.7% adalah obesiti. Data ini masih menggunakan standard BMI WHO yang dahulu. Jika data baru didapatkan menggunakan standard BMI baru dan menggunakan peratus berat badan berbanding BMI, mungkin rakyat Malaysia sebenarnya berhadapan dengan masalah berat badan yang lebih teruk berbanding apa yang diketahui sekarang. 


Rujukan:

1. https://www.who.int/health-topics/obesity#tab=tab_1
2. https://www.washingtonpost.com/lifestyle/wellness/healthy-bmi-obesity-race-/2021/05/04/655390f0-ad0d-11eb-acd3-24b44a57093a_story.html
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK541070/
4. https://www.hsph.harvard.edu/obesity-prevention-source/ethnic-differences-in-bmi-and-disease-risk/
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/8017333/
6. https://www.researchgate.net/publication/11223241_Asians_is_different_from_Caucasians_and_from_each_other_in_their_body_mass_indexbody_fat_percent_relationship
7. https://bmcpublichealth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12889-021-11070-7
8. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/8822762/
9. https://www.therakyatpost.com/news/2022/03/03/half-of-malaysian-adults-are-either-overweight-or-obese/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago