Benarkah Pengambilan Suplemen Akan Buatkan Susu Ibu Lebih Pekat?

Salah
Benarkah Pengambilan Suplemen Akan Buatkan Susu Ibu Lebih Pekat?

Sebuah syarikat mendakwa bahawa susu yang dipam setelah mengambil produk suplemennya adalah lebih pekat berbanding yang tidak menggunakannya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/02/2024 - Disunting : 09/02/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Pengambilan Suplemen Akan Buatkan Susu Ibu Lebih Pekat?

Suplemen yang didakwa dapat meningkatkan penghasilan susu badan banyak dijual dalam pasaran negara. Baru-baru ini, tular satu perkongsian di laman X yang menunjukkan satu gambar oleh syarikat suplemen penyusuan. Gambar menunjukkan bahawa ibu yang mengambil produk syarikat tersebut akan menghasilkan susu yang lebih pekat berbanding yang tidak mengambilnya.

Namun begitu, seorang pengguna X berkata perbezaan kepekatan susu tersebut bukanlah disebabkan oleh pengambilan suplemen, tetapi perkara yang berlaku secara semula jadi. Mari kita semak adakah pengambilan suplemen atau makanan lain boleh membuatkan susu ibu menjadi pekat.

 

Susu ibu dan kandungannya

Menurut laman web WebMD, susu badan atau susu ibu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu susu awal (foremilk) dan susu akhir (hindmilk). Susu awal ibu selalunya mengandungi banyak air dengan beberapa khasiat lain dan kelihatan lebih cair, manakala susu akhir tinggi dengan lemak yang menjadikan ia lebih pekat. 

Kedua-duanya mengandungi gula laktosa yang diperlukan untuk bayi bagi perkembangannya serta membantu penghasilan bakteria baik di dalam sistem penghadaman yang melawan bakteria jahat, virus dan parasit. Laktosa juga penting bagi perkembangan otak dan tisu saraf, serta menyokong tumbesaran bayi dan membekalkan bayi dengan tenaga.

Susu awal dan susu akhir perlu diberikan kepada bayi dengan secukupnya. Ketidak seimbangan susu awal dan susu akhir, atau digelar laktosa berlebihan, boleh terjadi apabila bayi tidak dapat menghadam gula itu dengan baik.

Perkara ini disebabkan kerana bayi terlebih minum atau hanya minum susu rendah lemak yang dikeluarkan pada awal penyusuan. Antara simptom laktosa berlebihan adalah perut berangin, air besar berwarna hijau, berbuih dan cair, sakit perut, sukar tidur dan bayi kelihatan lebih berselera dari biasa.

Susu badan mula dihasilkan sekitar minggu ke-12 hingga ke-18 mengandung. Kredit gambar: Ana Tablas/ Unsplash

Khasiat dalam susu ibu berbeza dan bergantung kepada diet yang diamalkan oleh ibu atau rizab nutrien dalam badan. Akan tetapi, susu ibu mempunyai kandungan yang agak serupa, dan hanya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh diet ibu.

Kandungan karbohidrat, protein, lemak, kalsium dan zat besi dalam susu badan tidak banyak berubah walaupun ibu tidak mengambil nutrien tersebut dengan secukupnya. Sebaliknya, pengambilan nutrien tiamina, vitamin A dan vitamin D yang tidak mencukupi oleh ibu akan menyebabkan kekurangannya di dalam susu badan.

Menurut La Leche League GB, kandungan lemak di dalam susu ibu secara umumnya pada tahap yang sama memandangkan ia dihasilkan di dalam payudara. Faktor utama yang mempengaruhi kandungan lemak ini adalah kepenuhan payudara sewaktu penyusuan dijalankan. Apabila semakin banyak susu telah dikeluarkan, kadar lemak akan meningkat kerana globul lemak susu yang semakin banyak ‘dipaksa’ keluar dari payudara.

 

Kesan galaktagog terhadap penghasilan susu badan

Galaktagog adalah bahan yang dipercayai pengambilannya dapat membantu meningkatkan penghasilan atau aliran susu badan. Antara bahan tersebut termasuk herba, teh, ubat-ubatan atau suplemen, dan biskut. Majoriti ibu menyusu tidak perlu mengambil sebarang bahan tambahan bagi meningkatkan penghasilan susu, sebaliknya hanya mempraktikkan diet seimbang.

Menurut Healthline, tiada bukti perubatan yang mencukupi bahawa galaktagog benar-benar berkesan dalam meningkatkan penghasilan susu ibu. Walaupun begitu, ramai wanita berkata pengambilan sesetengah makanan menunjukkan perbezaan yang ketara bagi mereka. 

Satu kajian telah dijalankan ke atas 176 individu yang menyusukan bayi berusia dua bulan bagi menguji keberhasilan galaktagog. Satu kumpulan ibu diberikan biskut pengeluaran susu (lactation cookies) setiap hari bagi tempoh satu bulan, manakala satu lagi diberikan biskut biasa. Analisis data tidak menemui sebarang perubahan signifikan ke atas penghasilan susu badan akibat pengambilan biskut tersebut.

Terdapat galaktagog yang dihasilkan dalam bentuk makanan seperti biskut. Kredit gambar: No Revisions/ Unsplash

Dalam masa yang sama, terdapat juga kajian yang menemui kesan positif galaktagog ke atas penghasilan susu badan. Empat daripada lima kajian ke atas 122 peserta mendapati halba, salah satu galaktagog, meningkatkan penghasilan susu badan. Namun begitu, kesan halba tidak sekuat herba Coleus amboinicus Lour dan kurma palma.

Berdasarkan kepada beberapa penyelidikan yang mengkaji kesan dua galaktagog farmaseutikal iaitu domperidone dan metoclopramide, serta lima herba shatavari, halba, silymarin, bawang putih dan remunggai, mendapati domperidone sebagai galaktagog yang paling berkesan dalam meningkatkan penghasilan susu. Bagi galaktagog jenis herba pula, kajian menunjukkan dapatan yang berbeza.

Di samping itu, pengambilan makanan tambahan didapati dapat meningkatkan penghasilan susu dalam kalangan ibu kurang khasiat. Perkara ini adalah berdasarkan kepada satu kajian ke atas 102 orang wanita Guatemala yang mempunyai bayi bersaiz kecil sewaktu dilahirkan. Pengambilan makanan tambahan mengelakkan para ibu yang terlibat daripada berkurangan berat badan serta menghasilkan lebih banyak susu badan, sekaligus melanjutkan tempoh penyusuan badan.

 

Pengambilan suplemen hanya mempengaruhi jumlah penghasilan susu ibu berbanding kepekatannya

Banyak kajian yang dijalankan mendapati pengambilan suplemen dalam bentuk galaktagog sedikit sebanyak meningkatkan penghasilan susu badan, namun tidak mempengaruhi kepekatannya. Walau bagaimanapun, menurut Medical News Today, tidak cukup kajian yang dijalankan untuk mengenal pasti keberkesanan suplemen penyusuan dan keselamatan menggunakannya. Sesetengah kajian mencadangkan bahawa kesan positif yang dirasai adalah bersifat psikologi berbanding fizikal.

Walaupun faktor utama kepekatan susu ibu bergantung kepada kepenuhan payudara, akan tetapi terdapat beberapa cara untuk meningkatkan penghasilan susu badan. Memberi susu badan secara terus (direct feeding) akan memperbanyakkan susu kerana ia menghasilkan hormon yang mendorong penghasilan susu. Lebih banyak bayi menyusu, lebih banyak susu yang dihasilkan badan. Bayi seharusnya diberi susu menerusi kedua-dua belah payudara dalam satu masa penyusuan agar dapat meningkatkan penghasilan susu badan.

Selain itu, ibu juga boleh mengepam susu di antara waktu menyusu bayi. Satu kajian mendapati mengepam kedua-dua belah payudara pada satu sesi akan merangsangkan lebih banyak pengeluaran susu dan lebih berkesan dalam menghasilkan susu dengan kandungan tenaga lebih tinggi.


Rujukan:

1. https://www.webmd.com/parenting/baby/what-to-know-about-foremilk-and-hindmilk
2. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/26383056/
3. https://laleche.org.uk/health-professionals/fat-content-breastmilk-faqs/
4. https://internationalbreastfeedingjournal.biomedcentral.com/articles/10.1186/1746-4358-4-7
5. https://www.medela.us/breastfeeding/articles/lactation-supplements-and-how-they-work
6. https://www.healthline.com/health/galactagogues
7. https://news.georgiasouthern.edu/2023/03/30/but-do-they-work-researchers-investigate-effectiveness-of-lactation-cookies-on-human-milk-production/
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5158159/
9. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0022316623018527
10. https://www.medicalnewstoday.com/articles/breastfeeding-supplements-to-increase-milk-supply
11. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3698671/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago