Benarkah Pengguguran Bayi Dalam Kandungan Dibenarkan Di Malaysia?

Benar
Benarkah Pengguguran Bayi Dalam Kandungan Dibenarkan Di Malaysia?

Pengguguran anak dalam kandungan merupakan isu yang sensitif di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/02/2023 - Disunting : 15/02/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Pengguguran Bayi Dalam Kandungan Dibenarkan Di Malaysia?

Sebuah ciapan Twitter oleh Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia (RRAAM) menyatakan bahawa pengguguran kandungan dibenarkan di Malaysia dengan sebab-sebab tertentu. Mari kita semak lebih mendalam berkaitan isu ini.

 

Pengguguran kandungan

Pengguguran adalah sebuah prosedur untuk menamatkan kehamilan. Ia boleh dilakukan dengan mengambil ubat pengguguran atau melalui prosedur pembedahan. Menurut National Health Service (NHS) United Kingdom, pengguguran dibenarkan di England, Wales dan Scotland bagi usia kandungan kurang daripada 24 minggu. Bagi kandungan yang melebihi usia tersebut, pengguguran dibenarkan jika ibu menghadapi risiko kematian atau kandungan akan dilahirkan dengan kecacatan teruk. 

Pengguguran kandungan adalah prosedur yang selamat jika dilakukan mengikut kaedah yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Wanita yang menjalankan pengguguran masih boleh mengandung pada masa akan datang. Malah, ia lebih selamat dan kurang sakit jika ianya dilakukan pada awal usia kandungan. Walau bagaimanapun, terdapat juga risiko kecil komplikasi seperti pendarahan berlebihan, jangkitan kuman di dalam rahim dan kerosakan terhadap rahim. 

Walaupun ia adalah prosedur yang selamat, WHO mencatat 45% pengguguran tidak selamat bagi tahun 2010 hingga 2014, dengan 97% daripadanya berlaku di negara-negara membangun. Sebuah analisis yang dijalankan ke atas data bagi tahun 2003 hingga 2009 mendapati 4.7% hingga 13.2% kematian ibu mengandung berkait rapat dengan pengguguran tidak selamat. Di negara maju, 30 daripada 100,000 kematian wanita adalah akibat pengguguran tidak selamat, manakala di negara membangun kadar tersebut meningkat sehingga 220 bagi setiap 100,000 kematian.

 

Undang-undang pengguguran di Malaysia

Pengguguran kandungan di Malaysia secara umumnya adalah salah di sisi undang-undang. Seksyen 312 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa wanita yang sengaja menyebabkan pengguguran boleh dikenakan tindakan penjara sehingga tiga tahun, atau sehingga tujuh tahun jika kandungannya telah lengkap sifatnya. Namun begitu, wanita mempunyai pilihan untuk menggugurkan kandungannya sekiranya kehamilan tersebut melibatkan risiko kepada nyawa, atau kecederaan terhadap kesihatan fizikal atau mental. 

Sebuah kaji selidik oleh RRAAM mendapati hanya 47% daripada 120 orang pengamal perubatan peka mengenai pengguguran kandungan yang sah di sisi undang-undang. Menurut CodeBlue, pengguguran kandungan dengan sebab telah sah di sisi undang-undang Malaysia selama hampir setengah dekad. Perkara ini telah menyumbang kepada jumlah pengguguran tidak selamat yang rendah. Prof Dr Jamiyah Hassan, seorang pakar obstetrik dan ginekologi, berkata Seksyen 312 Kanun Keseksaan membolehkan seorang wanita mendapatkan khidmat pengguguran selamat untuk melindungi kesihatan fizikal dan mentalnya. 

Pengguguran di Malaysia hanya boleh dijalankan oleh pengamal perubatan yang berlesen. Seorang doktor boleh menjalankan prosedur pengguguran sekiranya dia merasakan dengan ikhlas hati bahawa kehamilan tersebut boleh menyebabkan trauma fizikal atau mental yang boleh menyebabkan kematian. Di samping itu, mangsa rogol yang hamil turut boleh digugurkan kandungannya sekiranya doktor mengesahkan ia akan memudaratkan kesihatan mental ibu.

 

Hukum pengguguran menurut Islam

Pengguguran kandungan berdasarkan undang-undang syariah tertakluk di dalam Seksyen 85 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Wanita bernikah ataupun tidak, yang  menggugurkan kandungan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membahagikan keadaan kandungan kepada dua iaitu kandungan berusia kurang 120 hari dan lebih daripada 120 hari. Kedua-dua keadaan mempunyai hukum yang berbeza dalam pengguguran. 

Bagi kandungan kurang 120 hari atau empat bulan, majoriti ulama menjatuhkan hukum haram untuk menggugurkannya. Terdapat juga ulama yang meletakkan hukum makruh atau harus sekiranya terdapat keuzuran. Ulama di Malaysia lebih cenderung dengan pendapat majoriti ulama yang mengharamkan pengguguran kandungan walaupun berusia kurang empat bulan. 

 

Di sebaliknya, ulama bersepakat mengharamkan penguguran kandungan berusia empat bulan ke atas. Hal ini adalah kerana menurut hadis Ibnu Mas’ud, kandungan berusia empat bulan telah ditiupkan ruh ke dalamnya. 

إن أحدكم يجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل الله إليه الملك ، فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات : بكتب رزقه وعمله وأجله وشقي أو سعيد

Maksudnya: “Seseorang dari kamu ditempatkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”

Hadis riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

 

Wanita yang menggugurkan kandungan berusia 120 hari ke atas dianggap melakukan jenayah terhadap makhluk bernyawa dan sempurna tanpa sebab munasabah. Sabda Nabi S.A.W:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri dan orang lain”.

Riwayat Ibnu Majah (1/313) dan Ahmad (2/784)

 

Walau bagaimanapun, majoriti ulama bersetuju bahawa pengguguran harus dilakukan tidak kira usia kandungan sekiranya terdapat kemudaratan yang boleh mengancam nyawa ibu. Antara keadaan yang berkaitan adalah kehamilan di luar rahim dan kehamilan oleh pesakit kronik. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada prinsip Usul Fiqh yang menyatakan:

إذا تعارضت مفسدتان رُوعي أعظمُهما ضررًا بارتكاب أخفهما

Maksudnya: “Jika terdapat dua jenis mudarat, maka hendaklah diraikan mudarat yang lebih besar dengan mengambil mudarat yang lebih ringan”

 

Bagi kes mangsa rogol yang hamil, pengguguran sebelum usia 120 hari adalah harus untuk mengelak fitnah, tetapi diharamkan bagi kandungan 120 hari ke atas kerana ia dianggap sebagai jenayah bunuh. Di samping kemudaratan terhadap nyawa ibu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis 2022 turut mengizinkan pengguguran kandungan cacat berusia 120 hari ke atas sekiranya ia disahkan tidak berupaya untuk hidup jika dilahirkan. Menurut Dr. Mohd. Asri Bin Zainul Abidin (Dr MAZA), mufti negeri Perlis, perbincangan di Sidang Fekah Antarabangsa  pada tahun 1990 memutuskan bahawa kandungan yang cacat turut boleh digugurkan sebelum usia menjejak 120 hari. 

 

Pengguguran anak dalam kandungan dibenarkan dengan sebab-sebab tertentu

Secara umumnya, Seksyen 312 Kanun Keseksaan menetapkan bahawa pengguguran kandungan adalah salah di sisi undang-undang. Namun begitu, kandungan boleh digugurkan untuk mengelakkan masalah terhadap kesihatan fizikal dan mental ibu atau sekiranya nyawa ibu dalam risiko. Islam juga mengizinkan pengguguran kandungan sekiranya ia memudaratkan nyawa ibu, tetapi dalam kes kehamilan oleh mangsa rogol, pengguguran janin berusia 120 hari ke atas diharamkan. 


Rujukan:

1. https://www.nhs.uk/conditions/abortion/
2. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/abortion
3. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25103301/
4. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf
5. https://asklegal.my/p/legal-women-get-abortions-malaysia-reasons-RRAAM
6. https://codeblue.galencentre.org/2022/10/12/doctor-clarifies-abortion-is-legal-in-malaysia/
7. http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Ori.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/4a3bd45b9f10ef77482570f10015d302?OpenDocument
8. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3958-al-kafi-1511-hukum-menggugurkan-janin-kerana-faktor-kesihatan
9. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15787
10. https://muftiperlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/690-hukum-menggugurkan-janin-yang-cacat
11. https://www.facebook.com/watch/?v=229194338796511

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago