Benarkah Penggunaan Air Fryer Membahayakan Kesihatan?

Salah
Benarkah Penggunaan Air Fryer Membahayakan Kesihatan?

Terdapat pihak yang mendakwa penggunaan air fryer memudaratkan kesihatan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 29/05/2023 - Disunting : 29/05/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Penggunaan Air Fryer Membahayakan Kesihatan?

Telah tular sebuah video TikTok oleh Dr Mani, seorang pakar perubatan, mengenai keburukan menggunakan penggoreng kering atau air fryer. Menurutnya, penggunaan air fryer akan menghasilkan bahan kimia akrilamid yang dikaitkan dengan kanser serta produk pengoksidaan kolestrol atau cholesterol oxidation products (COPs) yang meningkatkan risiko penyakit jantung. 

Sehubungan dengan itu, terdapat pihak yang bersetuju bahawa air fryer tidak bagus digunakan dan boleh menyebabkan kanser. Hantaran kali ini akan melihat sama ada dakwaan-dakwaan tersebut benar.

 

Penggoreng kering atau air fryer

Penggoreng kering sebenarnya adalah sejenis ketuhar perolakan (convection oven) kerana ia tidak menggoreng makanan. Menggunakan udara panas, makanan yang dimasak oleh air fryer menyerupai makanan yang digoreng. Udara panas ditiupkan di sekeliling makanan secara laju, menyebabkan makanan menjadi ranggup seperti digoreng. 

Phillips syarikat pertama yang mempatenkan teknologi air fryer. Sumber: Phillips

Penggunaan udara panas ini menyebabkan reaksi kimia yang dikenali sebagai reaksi Maillard. Reaksi Maillard terjadi apabila asid amino dan gula penurun dipanaskan, seterusnya mengubah warna dan rasa makanan. 

Makanan yang dimasak menggunakan air fryer mengandungi tahap lemak yang kurang berbanding makanan digoreng. Sebagai contoh, dada ayam yang digoreng mempunyai tahap lemak seperti seekor ayam panggang. 

 

Keburukan menggoreng makanan

Makanan bergoreng terbukti menyumbang kepada peningkatan berat badan, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan beberapa jenis kanser. Secara umumnya, menggunakan air fryer untuk menggoreng makanan lebih berkhasiat berbanding menggoreng di dalam minyak. 

Menurut Amber Trejo, seorang pakar pemakanan, penggunaan air fryer boleh mengurangkan risiko penyakit jantung kerana makanan tidak digoreng di dalam minyak yang banyak. Minyak yang dipanaskan pada suhu tinggi akan menghasilkan lemak trans yang tidak bagus untuk kesihatan jantung kerana ia meningkatkan kolekstrol LDL. 

 

Di samping itu, makanan bergoreng juga boleh mengandungi bahan kimia akrilamid. Akrilamid terhasil daripada reaksi Maillard apabila makanan tinggi kandungan karbohidrat, contohnya kentang, dimasak dengan suhu tinggi seperti ketika menggoreng. Hal ini bermakna akrilamid bukan dihasilkan semata-mata ketika menggunakan air fryer, tetapi sebarang proses masakan yang menggunakan suhu tinggi. 

Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan mengenai Kanser (IARC) mengklasifikasikan akrilamid sebagai kumpulan 2A karsinogen terhadap manusia kerana mungkin mempunyai kaitan dengan pembentukan kanser. Namun begitu, kebanyakan kajian yang dijalankan tidak dapat membuktikan kaitan antara akrilamid dan kanser, kecuali bagi kanser buah pinggang, rahim dan ovari. 

 

Memandangkan air fryer menggunakan masa yang lebih lama untuk memasak makanan, ramai yang menganggap ia akan menghasilkan kadar akrilamid lebih tinggi. Namun begitu, para pengkaji dari Korea Selatan mendapati penggunaan air fryer untuk menggoreng ayam menghasilkan akrilamid pada kadar lebih rendah berbanding menggoreng di dalam minyak. 

Sebuah kajian lain mendapati kadar akrilamid dalam makanan berkurang sebanyak 90% apabila menggunakan air fryer berbanding menggoreng. Centre for Food Safety Hong Kong mencadangkan supaya makanan tidak dimasak dengan suhu tinggi terlalu lama untuk mengurangkan kadar akrilamid. 

 

Kekurangan menggunakan air fryer

Walaupun penggunaan air fryer didapati lebih elok berbanding menggoreng di dalam minyak, ia juga mempunyai kekurangannya. Memasak ikan berlemak seperti sardin di dalam air fryer didapati mengurangkan kandungan lemak sihat dan meningkatkan cholesterol oxidation products (COPs) yang mempengaruhi kadar kolestrol. 

Kredit gambar: CA Creative// Unsplash

COPs adalah berbagai jenis kompaun yang terhasil ketika pemprosesan dan penyimpanan makanan tinggi kandungan kolestrol. COPs boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit radang, penyakit neurodegeneratif dan penyakit keradangan usus.

Ikan yang dimasak dengan suhu tinggi di dalam air fryer akan menghasilkan COPs. Walaupun begitu, menambahkan campuran rempah-ratus atau herba seperti kunyit, pasli dan kucai, pada ikan yang dimasak di dalam air fryer menunjukkan pengurangan COPs secara signifikan. 

 

Air fryer tidak berbahaya untuk kesihatan jika digunakan dengan betul 

Ternyata bahawa air fryer tidaklah berbahaya seperti dakwaan dan sangkaan sesetengah pihak. Penggunaannya dalam kadar yang berpatutan dan dengan cara yang betul akan menghasilkan makanan yang lebih sihat berbanding makanan bergoreng. 

Antara langkah berjaga-jaga yang boleh diambil apabila menggunakan air fryer adalah membaca arahan resepi dan buku panduan dengan teliti serta menggunakan air fryer yang berkualiti dan menggunakan keluli tahan karat atau plastik tanpa kandungan BPA.

Di samping itu, menurut Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Mohd Rushdan Md Noor, tiada kajian yang membuktikan penggunaan air fryer boleh menyebabkan kanser.


Rujukan:

1. https://www.tasteofhome.com/article/what-is-an-air-fryer/
2. https://www.healthline.com/nutrition/air-fryer
3. https://www.bbcgoodfood.com/howto/guide/air-frying-healthy
4. https://www.livestrong.com/article/13776569-is-air-frying-healthy-every-day/
5. https://www.poison.org/articles/do-air-fryers-cause-cancer
6. https://www.mdpi.com/2304-8158/9/5/573
7. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25872656/
8. https://www.cfs.gov.hk/english/multimedia/multimedia_pub/multimedia_pub_fsf_164_03.html
9. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/29125626/
10. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/34953101/
11. https://www.verywellhealth.com/can-air-fryers-cause-cancer-5082537
12. https://www.evolvingtable.com/are-air-fryers-healthy/
13. https://sinarplus.sinarharian.com.my/lifestyle/penggoreng-udara-dikatakan-boleh-sebabkan-kanser-ini-penjelasan-pakar/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago