Xavier Naxa telah berkongsi sebuah ciapan Twitter berkenaan seorang pengunjung yang melaungkan azan di sebuah surau di IOI City Mall dan menyebabkan pengunjung lain berbuka puasa awal 2 minit daripada waktu sebenar Maghrib.
Malang nasib pengunjung surau IOI City Mall berbuka puasa awal gara-gara seorang pengunjung secara tiba-tiba mengazankan solat Maghrib jam 7.22 malam.
Nasib baik saya dan rakan mengesahkan kembali di aplikasi Iman Pro. Terpaksalah yang berbuka itu ganti balik puasa😅
— Xavier Naxa (@XavierNaxa) April 1, 2023
Katanya, disebabkan oleh perkara itu, pengunjung yang telah berbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib perlu menggantikan puasa tersebut walaupun ia tidak disengajakan. Mari kita semak jika perkara ini benar.
Sebenarnya hal ini bukanlah pertama kali berlaku. Pada Ramadan 2022, stesen radio Tawau FM telah dengan tidak sengaja menyiarkan azan awal 4 minit daripada waktu sebenar. Perkara yang sama berlaku di Kampung Guchil 7, Kuala Krai apabila azan juga dilaungkan 4 minit lebih awal.
Maksud berpuasa
Puasa adalah rukun Islam yang ketiga dan wajib dijalankan oleh individu beragama Islam. Ia bermaksud meninggalkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan, minum dan bersetubuh. Puasa bermula dari terbit fajar sadiq, iaitu waktu Subuh, sehingga matahari terbenam pada waktu Maghrib.
Firman Allah SWT:
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ
Maksudnya: “…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…”
(Surah al-Baqarah: 187)
Berdasarkan firman ini, puasa bukanlah berakhir semata-mata kerana terdengar laungan azan, tetapi setelah memastikan matahari telah benar-benar tenggelam.
Hukum berbuka puasa awal
Secara umumnya, berbuka puasa awal dengan tidak sengaja adalah tidak berdosa. Terdapat dua pendapat mengenai permasalahan buka puasa awal iaitu sama ada puasa tersebut sah ataupun batal dan perlu digantikan (qada).
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ulama dari kesemua mazhab utama Islam menyatakan bahawa puasa tersebut telah batal dan wajib digantikan semula. Sebaliknya, sebahagian ulama mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri berpendapat puasa tadi sah dan tidak batal.
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya,Raudhah al-Talibin (2/363) telah menjelaskan berhubung perkara ini dari segi mazhab Syafie:
“Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.”
Rata-rata ulama di Malaysia bersandarkan kepada pendapat Imam al-Nawawi yang menyatakan puasa seseorang yang berbuka lebih awal adalah terbatal dan wajib digantikan kemudian.
Berkenaan kejadiaan di Tawau, Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar, berkata waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari, dan bukan semata-mata kepada laungan azan. Katanya lagi, mereka yang telah berbuka puasa awal wajib menggantikan puasa bagi hari tersebut.
Ia turut dipersetujui oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyatakan bahawa individu yang berbuka awal tidak bersalah atau berdosa tetapi tetap wajib ganti puasa kerana telah terbatal lebih awal. Hal ini adalah kerana apabila berbuka puasa, seseorang itu makan atau minum dalam keadaan yang sedar. Sebagai tambahan, Mohamad Shukri berkata keadaan ini berlainan dengan apabila seseorang tidak sengaja termakan atau terminum sewaktu berpuasa, yang mana puasanya tidak terbatal.
Tidak tahu terbuka puasa awal
Mantan Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda berkata puasa yang batal hanyalah bagi individu yang tahu kemudian bahawa mereka telah terbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib. Puasa masih sah sekiranya individu berbuka lebih awal daripada waktunya dan tidak tahu tentang perkara itu. Namun begitu, jika mereka tahu kemudian tentang perkara itu, puasa mereka dikira batal dan wajib digantikan.
Oleh yang demikian, orang sekelilingnya tidak wajib memberitahunya bahawa dia telah tersalah waktu berbuka puasa. Hukum ini diambil berdasarkan kisah Saidina Umar r.a. yang tidak mengizinkan memberitahu status air sama ada najis ataupun tidak kerana tidak mahu menyusahkan orang lain untuk membersihkan diri jika benar ia najis.
Puasa yang dibuka awal secara tidak sengaja perlu digantikan
Benarlah bahawa individu yang terbuka puasa lebih awal daripada waktu sebenar perlu mengganti puasa kerana puasanya telah terbatal. Namun begitu, jika individu tersebut tidak tahu kemudian bahawa dia telah terbuka puasa awal, puasanya masih sah dan tidak perlu digantikan. Mufti-mufti sering mengingatkan supaya benar-benar memastikan telah masuk waktu Maghrib sebelum berbuka puasa.