Bagi rata-rata rakyat Malaysia, mereka menganggap bahawa pihak polis perlu mendapatkan waran terlebih dahulu sebelum menyerbu dan menggeledah suatu lokasi, merampas barangan atau menahan seseorang dalam apa jua situasi.
Namun persoalannya, benarkah waran perlu didapatkan dahulu oleh pihak polis dalam semua situasi?
Tugas-tugas pegawai polis
Berdasarkan Seksyen 20 Akta Polis 1967, pegawai polis dipertanggungjawabkan oleh undang-undang dengan tugas-tugas yang perlu dilaksanakan dan perlu menjalankan kuasanya. Dia juga perlu mematuhi arahan yang sah yang mungkin diberi dari semasa ke semasa oleh pegawai atasan.
Subseksyen (3) akta sama menyenaraikan tugas-tugas yang berkaitan dengan seorang pegawai polis.
(3) Tanpa menjejaskan keluasan peruntukan-peruntukan yang tersebut di atas atau mana-mana undang-undang lain adalah menjadi tugas seorang pegawai polis melaksanakan maksud-maksud yang tersebut dalam subseksyen (3) seksyen 3; dan dia boleh mengambil langkah-langkah yang sah dan melakukan perbuatan-perbuatan yang sah yang perlu berkaitan dengannya, termasuk –
(a) menangkap semua orang yang dia diberi kuasa oleh undang-undang menangkap;
(b) memproses risikan keselamatan;
(c) menjalankan pendakwaan;
(d) memberi bantuan dalam melaksanakan mana-mana undang-undang berhubungan dengan hasil, eksais, kebersihan, kuarantin, imigresen dan pendaftaran;
(e) memberi bantuan dalam mengekalkan ketenteraman di pelabuhan dan lapangan terbang Malaysia, dan dalam menguatkuasakan peraturan-peraturan kelautan dan pelabuhan;
(f) melaksanakan saman, sepina, waran, perintah memenjara dan proses-proses lain yang dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana pihak berkuasa yang kompeten;
(g) mempamerkan maklumat;
(h) melindungi harta yang tidak dituntut dan yang hilang dan mencari pemunyanya;
(i) menyita binatang-binatang yang berkeliaran dan menempatkannya dalam kandang awam;
(j) memberi bantuan dalam melindungi nyawa dan harta;
(k) melindungi harta awam daripada hilang atau rosak;
(l) menghadiri mahkamah jenayah dan, jika diperintah dengan khas, mahkamah sivil, dan menjaga ketenteraman di dalamnya; dan
(m) mengiring dan menjaga banduan-banduan dan orang-orang lain yang ada dalam jagaan polis (disifatkan sebagai pegawai penjara).
Di samping itu, pegawai polis juga bertanggungjawab atas beberapa tugas di jalan awam seperti tertakluk di bawah Seksyen 21 Akta Polis, iaitu:
(a) mengatur, mengawal dan melencongkan mana-mana lalu lintas;
(b) menjaga ketenteraman di jalan awam, Iorong, jalan tembus dan tempat mendarat, dan tempat kunjungan awam yang lain dan tempat di mana orang awam ada akses; dan
(c) mencegah halangan pada waktu perhimpunan dan perarakan di jalan awam dan lorong, dan dalam mana-mana hal, bila mana-mana jalan, lorong, jalan tembus dan tempat mendarat atau feri mungkin penuh sesak atau menjadi terhalang.
Dalam menjalankan tugas-tugas di atas, terdapat situasi apabila seorang pegawai polis wajib mendapatkan waran bagi melakukan tangkapan apabila individu melakukan kesalahan, namun ada juga yang sebaliknya.
Waran dikeluarkan oleh pihak mahkamah
Menurut perkongsian di akaun Facebook Tanya Peguam Anda, waran boleh dibahagikan kepada waran tangkap dan waran geledah.
“Waran tangkap adalah perintah menahan seseorang bagi satu kesalahan dan mengemukakan individu tersebut ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan atau kesalahan. Waran geledah adalah perintah untuk memasuki, menggeledah dan merampas barangan yang dirasakan relevan dengan kes,” jelasnya.
Seksyen 38 Kanun Prosedur Jenayah menjelaskan lanjut tentang waran tangkap. Menurutnya, setiap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah perlulah secara bertulis dan ditandatangani mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 atau Akta Mahkamah Rendah 1948 dan perlu dimeterai mahkamah.
Waran yang dikeluarkan akan berkuatkuasa sehinggalah ia dibatalkan oleh mahkamah yang mengeluarkannya atau sehingga dilaksanakan.
Memetik laporan MStar, antara keadaan waran tangkap boleh dikeluarkan adalah sekiranya individu yang dituduh tidak dikenakan ikat jamin, saksi yang diminta hadir ke mahkamah tidak mahu berbuat demikian dan mereka yang mempunyai saman trafik tertunggak.
Ada kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran
Merujuk kepada ceramah yang diberikan oleh seorang Pensyarah Kanan Jenayah dari Maktab PDRM, kesalahan boleh dibahagikan kepada dua iaitu:
- Kesalahan boleh tangkap tanpa waran
- Kesalahan tidak boleh tangkap tanpa waran
Jenis kesalahan tersebut adalah sama ada seperti diperuntukan oleh Akta atau mengikut Jadual Pertama Kanun Prosedur Jenayah.
Sebagai contoh, di bawah Seksyen 21 Akta Polis (Tugas di jalan awam) sesiapa yang menghalang, membangkang atau ingkar adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap tanpa waran. Namun dia juga boleh memberikan nama dan alamatnya selain maklumat lain yang disetujui oleh pegawai polis.
Selain itu, Akta Polis menjelaskan bahawa tangkapan tanpa waran boleh dilakukan oleh pegawai polis bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 31(2), 86, 86, 89 dan 90 akta sama. Mana-mana individu yang dipercayai dengan munasabah telah atau cuba melakukan suatu kesalahan di bawah Akta boleh ditangkap tanpa waran.
Bagi tangkapan di bawah Jadual Pertama Kanun Prosedur Jenayah, keperluan waran secara amnya boleh ditentukan berdasarkan jenis dan tempoh hukuman penjara yang dikenakan di bawah sesuatu kesalahan.
Kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran merangkumi kesalahan dengan hukuman bunuh, penjara seumur hidup atau penjara tujuh tahun ke atas, serta hukuman penjara tiga tahun dan lebih tetapi kurang dari tujuh tahun.
Sebaliknya, kesalahan yang tidak boleh ditangkap tanpa waran adalah bagi hukuman penjara kurang tiga tahun dan hukuman yang dikenakan denda sahaja.
Selain itu, berdasarkan satu pembentangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Akta SPRM boleh ditangkap tanpa waran.
SPRM turut menyenaraikan enam individu yang boleh melaksanakan tangkapan tanpa waran iaitu:
- Pegawai Polis (Seksyen 23 KTJ)
- Penghulu (Seksyen 23 & 25 KTJ)
- Jaksa Pendamai (Seksyen 30 KTJ)
- Majistret (Seksyen 30 & 31 KTJ)
- Mana-mana orang yang diberi kuasa (contohnya Pegawai SPRM)
- Mana-mana orang persendirian(Seksyen 27 KTJ)
Hanya polis pangkat Inspektor ke atas boleh lakukan rampasan tanpa waran
Bagi tujuan rampasan, walaupun pihak polis boleh melakukannya tanpa waran, namun orang ramai harus tahu bahawa hanya mereka yang berpangkat tertentu boleh melakukan sedemikian.
Menurut laporan media, hanya polis sekurang-kurangnya berpangkat Inspektor yang boleh membuat rampasan tanpa waran. Ini adalah seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 62 Kanun Prosedur Jenayah yang mana hanya pegawai berkenaan dibenarkan untuk memasuki premis dan menjalankan rampasan tanpa waran.
Namun, rampasan sedemikian hanya dibenarkan sekiranya pihak polis mengesyaki terdapat barang yang menyalahi undang-undang. Malah sekiranya pihak polis menunggu untuk mendapatkan waran, suspek akan mengambil peluang untuk melarikan diri.
“Keadaan yang lain di mana rampasan berlaku pada waktu malam atau hujung minggu di mana mahkamah majistret tidak beroperasi. Jika jenayah sedang berlaku, pegawai yang membuat operasi turut boleh memasuki premis dan melakukan rampasan terhadap barangan curi tanpa waran,” jelas Pegawai Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (D5), Deputi Superitendan Razmi Mohd Gunnos.
Namun begitu, rampasan atau serbuan yang telah dirancang perlu didapatkan waran terlebih dahulu mengikut Seksyen 54 Kanun Prosedur Jenayah agar bukti yang diperoleh boleh digunakan ketika perbicaraan mahkamah.
“Pegawai yang bertugas biasanya akan menyenaraikan barangan yang dijangkakan akan dirampas semasa serbuan yang telah dirancang apabila memohon waran daripada majistret. Pegawai juga akan menyenaraikan barangan rampasan yang lain (bukan pada senarai) selepas serbuan dilakukan bagi memastikan kesemua bukti diterima,” katanya.
Halang polis masuk ke premis tanpa waran boleh jadi satu kesalahan
Dalam masa sama, harus diingat walaupun pegawai polis berhak memasuki suatu premis tanpa waran, namun ia bergantung kepada keadaan dan jenis kesalahan. Oleh itu, jika pihak polis hadir ke premis anda untuk melakukan penggeledahan atau rampasan tanpa waran, pastikan anda bertanya terlebih dahulu atas sebab apa ia dilakukan.
Anda diingatkan bahawa sekiranya pihak polis ingin menggeledah premis tanpa waran bagi kesalahan yang tidak memerlukan waran, mereka tidak boleh dihalang.
Usaha menghalang tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan boleh dihukum penjara tidak lebih dari dua tahun atau denda sehingga RM 10,000.00 atau keduanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Orang awam boleh tahan pelaku bawah kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran
Seperti yang disenaraikan oleh SPRM di atas, orang persendirian iaitu orang awam juga boleh melaksanakan tangkapan tanpa waran.
Menurut Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Daerah Ampang Deputi Superintendan Kee Hang Kee, Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah memperincikan hak orang awam untuk menahan individu yang melakukan jenayah di depan mata.
Penjenayah yang ditangkap bagaimanapun perlulah diserahkan kepada pihak polis dengan serta-merta. Antara kesalahan yang dibolehkan orang awam menangkap penjenayah tanpa waran tangkap ialah bunuh, rogol, culik, rompak, pecah masuk premis, samun dan ragut.
“Tangkap penjenayah seadanya mengikut kemampuan dan tidak mencederakan penjenayah berkenaan. Jika penjenayah menyerang, orang awam boleh mempertahankan diri termasuk menggunakan senjata tanpa memberikan kecederaan yang mudarat kepada penjenayah,” katanya dipetik Harian Metro.
Terdapat Kesalahan Yang Pihak Polis Tidak Perlukan Waran Untuk Lakukan Tangkapan
Jelas bahawa pihak polis tidak semestinya memerlukan waran untuk menangkap seseorang dalam kesemua situasi. Sebaliknya, ia tertakluk kepada keadaan dan jenis kesalahan. Malah, hanya pegawai polis berpangkat Inspektor dan ke atas sahaja yang boleh melakukan tangkapan tanpa waran.
Namun dalam masa sama, terdapat juga beberapa pihak lain yang boleh menangkap seseorang tanpa waran bagi kesalahan tertentu. Ini termasuk juga orang awam yang menyaksikan sesuatu jenayah.