Benarkah Ramai Kanak-Kanak di Malaysia Mengalami Masalah Bantut?

Benar
Benarkah Ramai Kanak-Kanak di Malaysia Mengalami Masalah Bantut?

Ada pihak turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu kanak-kanak terbantut yang kronik

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/07/2022 - Disunting : 21/07/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Ramai Kanak-Kanak di Malaysia Mengalami Masalah Bantut?

Baru-baru ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan kebimbangan terhadap isu kanak-kanak bantut akibat kekurangan makanan yang kronik. Presidennya, Mohideen Abdul Kader merasakan perkara ini mungkin lebih teruk setelah COVID-19 yang menjejaskan kemampuan keluarga berpendapatan rendah untuk menyediakan makanan berkhasiat bagi anak-anak. Namun begitu, adakah ramai kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut?

Menurut Persatuan Kesihatan Dunia (WHO), masalah bantut kanak-kanak adalah tumbesaran dan perkembangan yang terjejas akibat khasiat pemakanan tidak mencukupi, jangkitan berulang kali, dan rangsangan psikososial tidak mencukupi. Seorang kanak-kanak dikenal pasti sebagai terbantut jika ketinggian mengikut umurnya adalah melebihi dua sisihan piawai kurang daripada nilai median yang ditetapkan oleh WHO.

 

Kadar bantut kanak-kanak di Malaysia

Situasi kadar bantut kanak-kanak di Malaysia berbeza dengan situasi global yang menunjukkan penurunan sejak 20 tahun lalu. Menurut Global Nutrition Report 2020, usaha Malaysia dalam mengurangkan kadar bantut kanak-kanak bawah 5 tahun semakin merosot. Kadar bantut kanak-kanak di Malaysia telah meningkat dari 17.2% pada 2006 kepada 20.7% pada 2016. Kini, Malaysia makin menghampiri purata kadar bantut negara membangun iaitu 25% apabila jumlah ini meningkat kepada 21.8%, atau 560,000 kanak-kanak, pada tahun 2019. Perkara ini bermakna, satu daripada setiap lima kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah bantut. Sebuah laporan oleh United Nations Childrens’ Fund (UNICEF) menyatakan walaupun KDNK per kapita Malaysia adalah enam kali ganda lebih, Malaysia mempunyai kadar bantut kanak-kanak yang lebih teruk berbanding Ghana pada 2018. 

Tahap peratusan kanak-kanak terbantut mengikut negeri, 2016. Sumber: UNICEF

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2016 menunjukkan Kelantan sebagai negeri dengan kadar bantut tertinggi, manakala Kuala Lumpur mempunyai kadar bantut terendah. Dengan kadar bantut 34%, masalah bantut di Kelantan adalah lebih teruk berbanding negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe dan Swaziland. Putrajaya yang merupakan wilayah terkaya telah mencatatkan kadar bantut sebanyak 24%. Jumlah tersebut sekaligus merekodkan satu daripada empat kanak-kanak di wilayah berkenaan adalah terbantut.

 

Perkara yang mempengaruhi kadar bantut

Peratusan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah yang terbantut di antara Malaysia, Kuala Lumpur dan rumah pangsa (sampel). Sumber: UNICEF

UNICEF mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa menerima kekurangan zat makanan lebih tinggi daripada purata kebangsaan dan Kuala Lumpur. Namun begitu, data oleh Institut Kesihatan Umum (NHMS) menunjukkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan isi rumah melebihi RM10,000 mempunyai kadar bantut 9.1% pada tahun 2019. Hal ini menjelaskan bahawa masalah bantut merentasi tahap pendapatan. 

 

Di samping itu, UNICEF turut mengkaji hubung kait antara status pekerjaan ibu dan kadar bantut anak-anak. Walaupun kanak-kanak kepada ibu tidak bekerja mengalami kadar bantut sebanyak 38.3%, jumlah ini tetap tinggi dalam kalangan kanak-kanak kepada ibu bekerja di kedua-dua sektor swasta (19.4%) dan sektor awam (21.7%). UNICEF juga mendapati bahawa kadar bantut semakin meningkat seiring dengan umur kanak-kanak. Hanya 15% kanak-kanak berusia 2 tahun terbantut berbanding 23% kanak-kanak 4 tahun. 

 

1 per 5 daripada kanak-kanak di Malaysia terbantut

Pakar perunding pediatrik dan pediatrik endokrinologi, Profesor Madya Dr Azriyanti Anuar Zaini, berkata bantut di kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan tahap sistem imun badan yang rendah, penyakit kronik, masalah kognitif dan kebantutan di usia remaja dan dewasa kelak. Kanak-kanak bantut juga berisiko mempunyai fungsi kognitif lemah dan mengalami kelewatan perkembangan. Derek Kok berkata mereka kebiasannya mengalami masalah pembelajaran, terutamanya dalam bidang matematik, pembacaan dan pembangunan kosa kata reseptif. 

Kementerian Kesihatan Malaysia turut menyenaraikan masalah-masalah lain yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak bantut. 

 

Pakar Diet Klinikal dan ahli panel pakar IMFeD For Growth, Siti Hawa Mohd Taib berkata masalah bantut bagi kanak-kanak lima tahun dan ke bawah masih boleh diperbaiki melalui pemakanan yang lengkap dan seimbang.  Menurut Mohideen, Malaysia bertanggungjawab dalam menjamin keselamatan makanan dan kesihatan kanak-kanak setelah meratifikasi konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).


Rujukan:

1. https://malaysiagazette.com/2022/07/18/masalah-kanak-kanak-terbantut-semakin-membimbangkan-cap/
2. https://globalnutritionreport.org/reports/2020-global-nutrition-report/
3. https://www.sinarharian.com.my/article/189645/BERITA/Nasional/Kanak-kanak-bantut-Mereka-bukan-sekadar-pendek
4. https://www.unicef.org/malaysia/sites/unicef.org.malaysia/files/2019-04/UNICEF-Kanak-kanak-Pinggiran-MalayVersion-Final%2026.2.18.pdf
5. https://iku.moh.gov.my/images/IKU/Document/REPORT/2016/NHMS2016ReportVolumeII-MaternalChildHealthFindingsv2.pdf
6. https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=216688
7. http://jci.edu.my/wp-content/uploads/2019/05/JCI-JSC-WP-2019-01-Stunting-in-Malaysia.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago