Benarkah Roti Wholegrain Lebih Berkhasiat Berbanding Roti Putih?

Benar
Benarkah Roti Wholegrain Lebih Berkhasiat Berbanding Roti Putih?

Roti wholegrain dikatakan sebagai roti yang lebih berkhasiat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/07/2022 - Disunting : 19/07/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Roti Wholegrain Lebih Berkhasiat Berbanding Roti Putih?

Roti wholegrain atau roti bijiran penuh sering dikatakan lebih berkhasiat berbanding roti putih. Roti wholegrain diperbuat daripada bijian gandum sempurna, iaitu bijian yang masih mempunyai bahagian bran, germa dan endosperma. Ia berbeza dengan roti putih yang hanya diperbuat menggunakan bahagian endosperma bijian yang berkanji. Adakah perbezaan bahan roti wholegrain dan roti putih menghasilkan kadar nutrien yang berbeza antara kedua-duanya?

 

Kandungan roti wholegrain

Endosperma, bahagian tengah bijian, penting dalam menghasilkan tenaga dalam bentuk karbohidrat dan protein. Bran adalah bahagian luar bijian yang melindungi bijinya dan mengandungi serat, vitamin B dan mineral. Germa pula adalah bahagian dalam bijian yang mengandungi banyak nutrien dan menghasilkan khasiat untuk bijian dalam bentuk antioksida, vitamin E dan B, protein, mineral dan minyak. Roti wholegrain juga mempunyai tiga jenis serat iaitu serat larut, serat tidak larut dan kanji tahan, serta mempunyai 4 kali kandungan serat berbanding roti putih. Jumlah serat yang banyak dapat membantu sistem pencernaan berfungsi dengan baik.

Indeks glisemik (GI) mengukur kesan oleh makanan yang mengandungi karbohidrat terhadap tahap gula di dalam darah. GI yang rendah bermakna makanan akan dihadam dengan perlahan, mengelakkan tahap gula daripada meningkat dengan cepat. Roti wholegrain adalah antara roti yang mempunyai GI terendah dan baik untuk kesihatan. Pengambilan makanan dengan GI rendah membantu mengawal kadar gula di dalam darah dan mengekalkan rasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama. 

Satu lagi jenis roti yang sering dikaitkan sebagai makanan sihat adalah roti wholemeal. Roti wholemeal diperbuat daripada bijian gandum sempurna yang telah dikisar halus. Walaupun kedua-duanya mempunyai kandungan nutrien yang sama, tekstur halus roti wholemeal menyebabkan ia mempunyai GI lebih tinggi berbanding roti wholegrain

Pengambilan wholegrain atau bijiran penuh dalam kuantiti yang banyak boleh mengurangkan risiko diabetes jenis 2, penyakit jantung dan kenaikan berat badan. Kajian mendapati wholegrain menjadi sumber makanan bakteria baik dan penting untuk kesihatan usus. Perkara ini juga dikaitkan dengan risiko rendah untuk menghidapi kanser usus

 

Roti wholegrain adalah antara roti yang paling berkhasiat

Ternyata bahawa bukan sahaja roti wholegrain lebih berkhasiat berbanding roti putih, tetapi ia antara roti yang mempunyai khasiat tertinggi. Disebabkan roti putih hanya dihasilkan menggunakan endosperma, ia tidak mengandungi nutrien yang terkandung di dalam bran dan germa gandum. Penting untuk pengguna memastikan roti wholegrain yang dibeli mengandungi 100% wholegrain, atau bijiran penuh sebagai bahan utamanya. Terdapat pelbagai jenis roti lain seperti roti sourdough dan roti multigrain yang berkhasiat dan bagus untuk diet seimbang.

 


Rujukan:

1. https://cotswoldflour.com/blogs/news/wholemeal-whole-grain-whole-wheat-whole-what
2. https://www.taste.com.au/healthy/articles/which-bread-type-is-best/qlqhlauz
3. https://www.sishawa.com/2019/08/jenis-roti-wholemeal-dan-cara-pilih-roti-untuk-diet.html
4. https://theconversation.com/multigrain-wholegrain-wholemeal-whats-the-difference-and-which-bread-is-best-89538
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22649266/
6. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1002/ijc.31198
7. https://www.healthline.com/nutrition/healthiest-bread#TOC_TITLE_HDR_4

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago