Berita pergolakan antara Palestin dan penjajahnya sedang hangat diperkatakan apabila pihak Hamas melakukan satu serangan roket mengejut terhadap Israel pada 7 Oktober.
Sehubungan itu, tanah suci Palestin yang sedang dijajah menyebabkan ramai orang mempunyai tanggapan bahawa setiap individu beragama Yahudi merupakan musuh Islam. Mari kita semak jika perkara ini benar.
Hubungan Islam dengan Yahudi
Menurut Ustaz Ahmad Syukri Yusoff, sifat dan perjuangan Rasulullah SAW membuktikan Islam sebagai agama yang damai dan bertoleransi. Setibanya di Madinah, Baginda melakukan perjanjian dengan masyarakat Yahudi dan tidak menghalau mereka. Malah, antara intipati perjanjian tersebut adalah supaya negara Islam menghormati kepercayaan mereka.
Jika golongan ini wajib diperangi, sudah tentu Rasulullah SAW tidak akan merangkumkan mereka dalam negara Islam ketika itu. Di samping itu, Rasulullah SAW juga pernah berjiran dengan ahli kitab dan sering memberi hadiah serta menerima hadiah daripada mereka.
Umat Islam dianjurkan supaya berbuat baik dengan orang bukan Islam yang tidak melawan agama Islam. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surat Al-Mumtahanah:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Al-Mumtahanah 60:8
Dr. Phil. Syafiq Hasyim, Felo Pelawat di ISEAS Yusof Ishak Institute, turut berpendapat bahawa agama Islam yang damai dan tidak mengizinkan penganutnya melakukan kekerasan bermakna anjuran memerangi agama lain tidak betul sepenuhnya.
Katanya, petikan tentang memerangi kaum Yahudi dan Nasrani di dalam al-Quran adalah berdasarkan sejarah agama dan ayat-ayat sedemikian diturunkan ketika berlakunya peperangan dan serangan ke atas masyarakat Islam.
Penduduk Yahudi di Palestin
Israel telah ditubuhkan pada 14 Mei 1948, serta-merta mencetuskan Perang Arab-Israel. Akibat kejadian ini, wilayah itu telah terbahagi kepada tiga iaitu Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Israel. Pecahan itu menyebabkan sebanyak 750,000 masyarakat Palestin hilang tempat tinggal mereka.
Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi sebenarnya bukan kesemua penduduk di Palestin beragama Islam. Menurut Institute for Middle East Understanding (IMEU), kira-kira 93% penduduk adalah Islam dan 6% lagi beragama Kristian. Terdapat juga sebilangan kecil penganut Samarintan, satu kumpulan agama Yahudi awal, yang mendiami kawasan Nablus di Tebing Barat.
Selain itu, di Palestin juga terdapat penganut Yahudi Ultra-Orthodox atau Haredi. Salah satu kediaman yang didiami mereka adalah kejiranan Mea Shearim di Jerusalem.
Yahudi anti-Zionis
Zionism merupakan satu gerakan yang berusaha untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin yang dikenali sebagai Israel. Nama Zionism diambil sempena Zion, satu bukit di Jerusalem.
Sebenarnya, bukan semua golongan Yahudi bersetuju dengan gerakan Zionism. Kebanyakan mereka yang menentang Zionism biasanya adalah golongan Orthodox yang mempercayai bahawa Israel hanya boleh didapatkan secara ajaib. Sebaliknya, tindakan kerajaan Israel sekarang dilihat sebagai usaha manusia yang seolah-olah ingin mengambil alih tugas Tuhan.
Salah satu kumpulan yang amat terkenal dengan tentangan mereka terhadap Zionism adalah Neturei Karta yang melihat diri mereka sebagai penduduk Palestin. Kumpulan ini boleh ditemui di Mea Shearim, Jerusalem. Rabbi Meir Hirsh berkata tindakan pihak Zionis bertentangan dengan kitab Taurat kerana mendapatkan tanah Israel secara paksa.
Malah, kumpulan itu turut berdemonstrasi bersama-sama masyarakat Arab dalam solidariti bagi pembebasan Palestin. Hirsh telah menghantar tiga orang pengikutnya ke Jenin untuk menyokong bekas tahanan yang dituduh sebagai pengganas oleh Israel. Mereka telah ditahan oleh polis Israel selama beberapa hari sebelum dibebaskan.
Hirsh juga menekankan bahawa mereka merupakan pengkhianat kepada Zionis dan tidak menyembunyikan pemikiran mereka. Dia juga mendakwa bahawa terdapat 70,000 keluarga yang menentang penjajahan oleh Zionis di situ.
Selain daripada golongan anti-Zionis di Palestin sendiri, terdapat juga individu Yahudi yang menentang penjajahan Israel di negara lain. Salah seorang daripadanya adalah Rabbi Michael Lerner di Amerika Syarikat.
Dalam satu ucapannya ketika upacara pengebumian peninju Muhammad Ali, Lerner berkata masyarakat Yahudi di Amerika bersolidariti dengan umat Islam dan tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang merendahkan martabat Islam atau menyalahkan mereka atas sebab tertentu.
Malah, menerusi majalah Yahudi Liberal Progresif Tikkun Magazine, pihaknya telah menyeru kerajaan Amerika supaya mengambil tindakan terhadap Israel yang menindas rakyat Palestin. Menurutnya, penganut Yahudi mempercayai bahawa setiap individu dijadikan dengan serata oleh Tuhan dan ini termasuk rakyat Palestin yang harus dilindungi.
Bukan semua penganut Yahudi menyokong Israel
Ternyata bahawa individu yang menganuti agama Yahudi tidak semestinya menyokong pembentukan Israel. Malah, terdapat segolongan yang menentang pihak Israel itu sendiri dan memberi sokongan kepada kebebasan Palestin.
Dalam masa yang sama, umat Islam diingatkan supaya tidak memetik ayat al-Quran tanpa memahami konteks. Seperti yang disebutkan oleh Dr Syafiq, harus diingat bahawa sesetengah ayat al-Quran diturunkan berdasarkan keadaan ketika ia diturunkan.