Benarkah Senggugut Boleh Mengurangkan Produktiviti Kerja Seseorang?

Benar
Benarkah Senggugut Boleh Mengurangkan Produktiviti Kerja Seseorang?

Malaysia sedang mengkaji cuti haid bagi pekerja wanita

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/01/2023 - Disunting : 06/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Senggugut Boleh Mengurangkan Produktiviti Kerja Seseorang?

Twitter BFM telah berkongsi sebuah bebenang berkenaan cuti haid di Malaysia. BFM mempersoalkan jika Malaysia patut mengikut jejak langkah beberapa negara lain dalam memberikan cuti haid, terutamanya kepada wanita yang mengalami masalah senggugut. Perkara ini menimbulkan persoalan jika masalah senggugut mengurangkan produktiviti seorang wanita.

Masalah senggugut

Senggugut atau dismenorea dialami oleh wanita yang masih didatangi haid. Ia merupakan kesakitan yang dirasakan di pelvis atau bahagian bawah perut, iaitu tempat di mana terletaknya rahim, ovari, saluran falopio dan pundi kencing, semasa datang haid. 

Senggugut boleh dibahagikan kepada dua iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut yang paling kerap dihadapi oleh wanita adalah senggugut primer. Senggugut primer tidak menunjukkan sebarang keluarbiasaan atau masalah di bahagian pelvis dan rahim. Kebiasaannya ia berlaku selepas 6 hingga 12 bulan dari akil baligh, tetapi boleh juga dihadapi oleh wanita yang masih subur. 

Sebaliknya, senggugut sekunder disebabkan oleh masalah di bahagian pelvis dan rahim yang banyak dihadapi oleh wanita yang berumur dan masih subur. Antara masalah yang menyebabkan senggugut sekunder adalah penyakit endometriosis, sista (cyst) dan tumor ovari, fibroid, penyakit radang pelvis, masalah kongenital rahim dan penggunaan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD).

 

Kesan senggugut terhadap wanita

Menurut laman web MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 60% perempuan remaja mengalami masalah senggugut primer. Malah, 10% wanita mengalami sakit yang teruk akibat senggugut sehingga mengganggu aktiviti harian mereka. 

Di dalam bebenangnya, BFM telah menyertakan sebuah soal selidik oleh YouGov pada 2017 bahawa sebenarnya seramai 86% wanita Malaysia mengalami masalah senggugut. Daripada jumlah ini, 81% setuju bahawa masalah tersebut mengganggu kebolehan mereka untuk bekerja. Sehubungan dengan itu, hanya 46% daripada mereka telah menyatakan masalah ini kepada majikan mereka.

23% memberitahu majikan bahawa produktiviti mereka berkurang kerana masalah lain dan bukan kerana sengugut. 32% lagi tidak mengaku berkenaan ini atau memberi alasan lain. YouGov berkata kebanyakan daripada mereka mungkin langsung tidak memaklumkan kepada majikan bahawa mereka berasa kurang sihat atau sakit. 

Salah satu soalan lain yang ditanya di dalam soal selidik YouGov adalah berkenaan apa yang menyebabkan wanita merasa sukar untuk bekerja ketika mengalami senggugut. 54% responden menyatakan bahawa senggugut mempengaruhi kebolehan mereka untuk fokus dan 32% perlu berehat seketika disebabkan kesakitan yang dialami. Malah, 4 daripada 10 wanita perlu balik awal (18%) atau mengambil cuti (22%) kerana sakit senggugut. 

Sebuah kaji selidik yang dijalankan di Belanda pada tahun 2017 sering dirujuk dalam isu senggugut dan produktiviti kerja. Kaji selidik tersebut mendapati hanya 13.8% wanita yang mengambil cuti atau berehat semasa mengalami senggugut. Daripada jumlah ini, 3.4% mengambil cuti hampir setiap kitaran haid. 80.7% responden masih hadir ke tempat kerja tetapi dengan purata pengurangan produktiviti sebanyak 23.2 hari setahun. Keadaan ini menyebabkan kehilangan produktiviti keseluruhan sebanyak 8.9 hari dalam masa setahun. Kaji selidik turut mendapati bahawa simptom berkaitan haid menyebabkan produktiviti berkurang dan sebenarnya kedatangan ke tempat kerja sewaktu senggugut lebih banyak merudumkan produktiviti kerja berbanding jika pekerja mengambil cuti.

 

Bekerja sewaktu mengalami senggugut mengurangkan produktiviti

Sudah tentu produktiviti tempat kerja berkurang apabila pekerja mengambil cuti. Namun begitu, jelas bahawa pekerja wanita yang masih hadir ke tempat kerja ketika mengalami senggugut menyebabkan pengurangan produktiviti dalam kadar yang lebih tinggi. Malaysia seharusnya mengikut jejak langkah beberapa negara lain seperti Jepun, Taiwan, malah Indonesia yang memberikan cuti haid kepada pekerja wanita. 

Setakat Julai 2022, cadangan cuti haid sedang dikaji oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Timbalan Menterinya ketika itu, Datuk Siti Zailah Yusoff, berkata kerajaan telah mendapatkan maklum balas daripada 57,000 wanita dari seluruh Malaysia. Dia berkata walaupun cuti haid membabitkan kebajikan pekerja wanita, ia juga boleh memberi kesan kepada produktiviti dan ekonomi negara.

 


Rujukan:

1. http://www.myhealth.gov.my/senggugut/
2. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/10/290253/period-pain-can-affect-work-performance-some-countries-allow-time-work
3. https://bmjopen.bmj.com/content/9/6/e026186
4. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/07/814954/period-leave-women-being-studied-says-deputy-minister

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago