Seorang pengguna Twitter, Zafirah Hanis, mendakwa bahawa apabila kita tidur dengan seseorang yang disayangi, badan akan melepaskan hormon seperti oksitosin dan serotonin seterusnya membuatkan kita lebih mengantuk. Mari kita semak jika dakwaannya benar.
When you sleep next to someone you love, the body releases hormones like oxytocin and serotonin, making you even more sleepy. Meaning you’re chemically bonded when together, which allows u to get that quality sleep 😊 https://t.co/WyXyYkUjmd
— ZafirahHanis (@ZafirahHans) May 17, 2023
Zafirah melakukan ciapannya sebagai respon kepada seorang pengguna Twitter lain yang berkata dia lebih mudah tidur dan tidurnya lebih berkualiti setelah berkahwin.
Hormon oksitosin dan serotonin
Pertama sekali, penting untuk memahami serba sedikit tentang hormon oksitosin dan serotonin yang disebut oleh Zafirah. Kedua-dua hormon ini boleh terhasil apabila seseorang berasa gembira dan turut berfungsi sebagai neurotransmiter.Â
Sebuah kajian pada tahun 2012 mendapati pasangan dalam tahap pertama hubungan romantik mempunyai kadar oksitosin lebih tinggi berbanding mereka yang tidak berpasangan. Kekurangan oksitosin dalam badan dikaitkan dengan kemurungan, termasuk kemurungan selepas bersalin.Â
Hubungan romantik mempengaruhi tahap serotonin secara berbeza antara lelaki dan wanita. Lelaki menunjukkan pengurangan dalam kadar serotonin, manakala wanita mengalami peningkatan serotonin signifikan apabila berada dalam hubungan romantik. Pada masa yang sama, tahap serotonin yang tinggi dalam wanita juga dikaitkan dengan perasaan obsesif terhadap pasangan. Seperti oksitosin, kekurangan serotonin juga dianggap boleh menyebabkan kemurungan, kegelisahan, mania dan masalah kesihatan lain.
Kesan tidur bersama pasangan
Oksitosin yang digelar sebagai ‘hormon cinta’ boleh berfungsi untuk menggalakkan tidur, dan boleh terhasil apabila seseorang tidur bersama pasangannya. Menurut Penn Medicine, tahap oksitosin yang tinggi membantu individu untuk lebih mudah tidur dan tidur lebih nyenyak.Â
Serotonin pula, apabila bersama-sama dengan dopamin, berperanan dalam kualiti tidur dan tidur yang lama. Hormon dopamin boleh dihasilkan melalui sentuhan kulit dan ia akan membuatkan seseorang berasa gembira. Serotonin juga membantu dalam penghasilan melatonin, sebuah hormon lain yang mengawal kitaran tidur-jaga.
Wendy Troxel, saintis tingkah laku di RAND Corporation berkata, berada dengan pasangan sebelum tidur akan merangsangkan penghasilan hormon oksitosin yang menyebabkan pasangan berasa selasa dan rileks. Kajian mendapati wanita dalam perkahwinan yang bahagia tidur lebih nyenyak berbanding mereka yang tidak berkahwin atau tidak bahagia dengan perkahwinannya.
Kata Troxel, oksitosin boleh dihasilkan oleh sebarang interaksi mesra antara pasangan. Tidur bersama pasangan yang dipercayai juga boleh mengawal dan mengurangkan penghasilan isyarat tekanan.
Menurut Tim Gray, pakar psikologi di United Kingdom, tidur bersebelahan seseorang yang disayangi membantu individu untuk tidur lebih cepat. Jika seseorang individu berseorangan, ia akan menyebabkan mindanya sering berfikir dan menjadi lebih aktif. Perkara ini menyebabkan seseorang itu sukar untuk tidur jika bersendirian.
Sebuah kajian oleh University of North California ke atas 59 orang wanita mendapati wanita dengan kadar oksitosin tinggi mempunyai kadar tekanan darah terendah. Sentuhan kulit juga menghasilkan isyarat yang dihantar kepada kelenjar adrenal untuk berhenti menghasilkan kortisol. Kortisol yang rendah akan mengurangkan tekanan dan menyumbang kepada tidur lebih selesa.
Di samping itu, kajian lain mendapati individu yang tidur bersama pasangan mempunyai tidur gerak-mata cepat atau rapid-eye movement (REM) lebih 10%, kurang tidur REM yang terpisah-pisah, dan fragmen REM yang tidak terganggu. Tidur REM penting kerana ia membantu dalam penghasilan mimpi, memori, proses emosi dan perkembangan otak sihat.Â
Seseorang akan mendapat kualiti tidur jika bersama pasangan yang disayangi
Pelbagai kajian yang telah dilakukan membuktikan bahawa seseorang akan lebih senang tidur jika bersama pasangannya. Malah, tidur juga akan menjadi lebih nyenyak dan berkualiti. Keadaan ini terjadi kerana pelepasan pelbagai hormon seperti oksitosin dan serotonin apabila bersama-sama orang yang disayangi.
Namun begitu, Henning Johannes Drews, seorang pakar sakit jiwa dan terapi jiwa di Christian-Albrechts University Kiel in Germany, memberi saranan untuk tidur sendirian jika tindak-tanduk pasangan, seperti berdengkur atau bergerak-gerak, boleh menghalang atau mengganggu tidur seseorang.Â