Benarkah Suami Wajib Beri Upah Kepada Isteri Kerana Menyusukan Anak?

Benar
Benarkah Suami Wajib Beri Upah Kepada Isteri Kerana Menyusukan Anak?

Terdapat para ibu yang memilih untuk menyusukan anak dengan susu badan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/01/2023 - Disunting : 31/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Suami Wajib Beri Upah Kepada Isteri Kerana Menyusukan Anak?

Terdapat wanita yang baru melahirkan anak memilih untuk menyusukan anak mereka dan juga yang sebaliknya. Walaupun menyusukan anak dengan susu badan kelihatan lebih murah berbanding membeli susu formula, blogger RinggitOhRinggit.com, Suraya berkata kos ibu menyusukan anak patut diambil kira. 

Rentetan daripada ciapan ini, ada individu mendakwa yang para suami perlu memberikan upah kepada isteri yang telah menyusukan anak. Mari kita semak lebih lanjut mengenai perkara ini.

 

Hukum ibu menyusukan anak

Ibu mempunyai pilihan sama ada untuk menyusukan anaknya ataupun tidak. Dalam Islam, penyusuan bayi tidak menjadi kewajipan buat ibu, tetapi menjadi hak ibu dan sangat digalakkan.

Memandangkan penyusuan anak adalah dituntut dalam Islam, para ulama menetapkan hukum sunat bagi perkara tersebut. Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini adalah kerana “susu ibu adalah yang paling terbaik untuk anaknya dan kasih sayang ibu terhadap anaknya adalah lebih tulus”. 

Menurut firman Allah S.W.T. di dalam Surah al-Baqarah, penyusuan yang sempurna terjadi apabila ibu menyusukan anaknya selama dua tahun genap. 

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu (Surah al-Baqarah, 2:233)

Walaupun terdapat banyak kebaikan dalam memberikan susu badan, ibu masih boleh membuat pilihan dan tidak boleh dipaksa oleh sesiapa, yakni suami sekalipun. Isteri yang menolak suruhan suami untuk menyusukan anak tidak jatuh derhaka kepada suami. 

 

Di samping itu, ibu bapa juga mempunyai hak untuk mencari wanita lain sebagai ibu susuan bagi menyusukan bayi mereka. Allah S.W.T. telah berfirman:

وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya (anak) (Surah at-Talaq 65:6)

وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu (Surah al-Baqarah 2:233)

Sebagai tambahan, wanita bukan beragama Islam boleh menjadi ibu susuan kepada bayi Islam dan begitu juga sebaliknya. Hal ini adalah kerana tiada sebarang dalil yang melarangnya.

 

Kewajipan menyusukan anak

Walaupun ibu secara umumnya tidak wajib menyusukan anak, namun menurut mazhab Syafie, seorang ibu wajib memberikan sekurang-kurangnya susu awal atau al-liba’, iaitu kolostrum, kepada bayinya. Hal ini telah diperjelaskan oleh Shaikh Zakariyya al-Ansari:

“Diwajibkan ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan susu awal (susu kolostrum) sekalipun dia menjumpai ibu susuan yang lain (untuk anaknya). Hal demikian kerana kebiasaannya seorang bayi tidak mampu hidup dan tidak cukup khasiat tanpa susu tersebut iaitu susu yang keluar ketika awal kelahiran.” (Rujuk Zakariyya al-Ansari, Asna al-Mathalib, 3/445)

Pada masa yang sama, penyusuan ibu kepada anak boleh menjadi wajib atas sebab-sebab tertentu. Ibu wajib menyusukan anaknya sekiranya bayi tersebut enggan menyusu dari sumber selain susu badan ibunya. Jika susu formula yang diberikan kepada bayi tidak serasi dengannya, ibunya juga wajib menyusukannya. Boleh diringkaskan bahawa penyusuan ibu ke atas anaknya wajib sekiranya boleh menyebabkan masalah kesihatan dan bahaya kepada nyawa anak jika tidak disusukan dengan susu badan.

 

Upah menyusukan anak

Hal berkenaan upah penyusuan bagi isteri ada tertera di dalam al-Quran. Allah S.W.T. berfirman:

“Jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik” (Surah al-Talaq, 65:6)

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, suami wajib memberi upah penyusuan kepada isteri atau bekas isteri yang menyusukan anaknya jika diminta. Perkara ini adalah berdasarkan pendapat di dalam mazhab Syafie. Malah, walaupun ibu tidak menyusukan anaknya dengan sempurna, dia masih boleh meminta upah atas usahanya untuk menyusukan anaknya jika telah memberikan kolostrum kepada anaknya. 

 

Berlainan dengan mazhab Syafie, mazhab Hanafi menetapkan bahawa ibu tidak boleh meminta upah penyusuan jika masih berkahwin atau dalam tempoh iddah raj’ie. Hal ini kerana sewaktu tempoh itu, suami atau bekas suami wajib telahpun memberikan nafkah kepadanya. Jika isteri masih meminta upah, hal ini akan membebankan suami.

Mazhab Maliki pula hanya memakai ketetapan seperti mazhab Hanafi bagi wanita yang berstatus orang kebiasaan. Sebaliknya, wanita dengan taraf sosial tinggi berhak menuntut upah bagi usaha penyusuan anak. 

 

Di samping itu, upah bagi isteri yang telah bercerai hanya dibayar bagi tempoh dua tahun pertama penyusuan. Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahulah menyebut dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7288), “jika berterusan penyusuan selepas dua tahun kerana lemahnya bayi maka tiada halangan untuk itu kerana keperluan. Akan tetapi tidak sabit lagi hukum mahram kerana penyusuan atau tidak boleh lagi bagi ibunya yang ditalak meminta upah”.

 

Bagi mazhab Syafie, suami wajib memberi isteri upah penyusuan jika diminta

Memandangkan Malaysia mengikut mazhab Syafie, suami wajib memberi upah penyusuan jika dituntut oleh isteri. Upah tersebut adalah berdasarkan rundingan oleh suami isteri, atau mengikut kadar semasa setempat. Menurut Ustazah Asma Harun, upah harus diberikan kepada isteri yang menyusukan anaknnya memandangkan seorang anak merupakan tanggungjawab bapanya untuk memberi nafkah termasuk makanan dan minuman. Ia bukanlah untuk membebankan suami, tetapi sebagai tanda berterima kasih kepada isteri yang telah memberikan masanya dalam menyusukan anak.


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5083-al-kafi-1851-hukum-ibu-sengaja-tidak-menyusukan-anaknya-tanpa-sebab-munasabah
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/797-al-kafi-630-hukum-penyusuan-badan-selepas-umur-2-tahun
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1138-bayan-linnas-siri-70-isu-berkenaan-ibu-susuan-pelbagai-hukum-kad-atau-sijil-susuan
4. http://www.addeen.my/index.php/munakahat/perkahwinan/item/534-menyusukan-anak-antara-tanggungjawab-suami-dan-hak-isteri
5. https://www.academia.edu/50998432/Breastfeeding_Wages_According_to_Al_Quran_and_Al_Sunnah
6. http://spait2.whatta.org/?cat=27

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago