Benarkah Telur Buaya Dan Telur Haiwan Lain Yang Haram Dimakan Dagingnya Dihalalkan?

Benar
Benarkah Telur Buaya Dan Telur Haiwan Lain Yang Haram Dimakan Dagingnya Dihalalkan?

Telah tular satu video sebelum ini yang menunjukkan seorang individu memakan telur buaya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/07/2023 - Disunting : 12/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Telur Buaya Dan Telur Haiwan Lain Yang Haram Dimakan Dagingnya Dihalalkan?

Baru-baru ini, tular video oleh seorang pengguna TikTok yang memakan telur buaya peliharaannya. Dapat dilihat daripada video tersebut bahawa telur buaya itu digoreng menjadi telur mata.

Pasti ramai yang menyaksikan video tersebut tertanya-tanya sama ada telur buaya halal dimakan atau diharamkan. Mari kita semak berkenaan perkara ini. 

Allah SWT telah berfirman:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

Surah al-A‘raf: 157

 

Hukum makan buaya

Sebenarnya terdapat dua pendapat mengenai hukum makan buaya. Pendapat pertama yang diguna pakai oleh mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi adalah mengharamkan daging buaya. 

Buaya diharamkan kerana ia adalah jenis haiwan yang mempunyai taring seperti hadis diriwayatkan oleh Abu Tha’labah.

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”

Riwayat Muslim (1932)

Menurut Imam al-Syafie, haiwan bertaring yang haram dimakan ialah haiwan yang menggunakan taringnya untuk memburu haiwan lain. 

Muhibuddin al-Tabari al-Syafie pula mengharamkan buaya kerana ia merupakan haiwan yang dianggap jijik untuk dimakan dan memudaratkan seperti yang dinyatakan oleh al-Rafi’i.

Walaupun terdapat haiwan seperti jerung yang turut memburu dengan taringnya tetapi dihalalkan, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah perbezaan antara jerung dan buaya. Jerung merupakan haiwan spesies ikan yang cuma boleh hidup di dalam laut, manakala buaya pula boleh hidup di darat.

Sebaliknya, pendapat mazhab Maliki menyatakan bahawa daging buaya halal dimakan. Menurut pendapat ini, buaya merupakan sejenis haiwan laut yang dihalalkan dagingnya seperti firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ 

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”

Surah al-Ma’idah: 96

Di samping itu, Syeikh ibn al-‘Uthaimin menjawab hujah berkenaan pengharaman buaya kerana ia memburu dengan taringnya. Menurutnya, walaupun buaya menggunakan taringnya untuk memburu, tetapi ia bukan sejenis haiwan bersifat buas. Hukum haiwan di laut juga mempunyai hukum tersendiri, seperti jerung yang bertaring tetapi halal dimakan.

Tambahan pula, terdapat pendapat yang melihat buaya sebagai sejenis haiwan dua alam, iaitu boleh hidup di atas darat dan di dalam air, sama seperti penyu. Mazhab Syafie mengharamkan haiwan dua alam seperti berikut:

“Dan diharamkan oleh Mazhab Imam Syafie haiwan (البرمائي) iaitu haiwan yang boleh hidup di dalam air dan darat”.

Mausuah Fiqhiyyah: 5/130

 

Hukum makan telur haiwan

Mungkin ramai yang tidak tahu, tetapi secara umumnya, hukum memakan semua telur haiwan adalah halal mengikut mazhab Syafie, kecuali sesetengah telur yang memudaratkan. Perkara ini termasuk telur daripada haiwan yang haram dimakan seperti buaya dan penyu.

Telur yang jelas diharamkan adalah seperti telur ular yang memudaratkan. Antara perbahasan yang digunakan oleh fuqaha Mazhab al-Syafie adalah:

سَائِرُ الْبُيُوضِ طَاهِرَةٌ وَلَوْ مِنْ غَيْرِ مَأْكُولٍ وَإِنْ اسْتَحَالَتْ دَمًا بِحَيْثُ لَوْ حُضِنَتْ لَفَرَّخَتْ، وَلَكِنْ يَحْرُمُ أَكْلُ مَا يَضُرُّ كَبَيْضِ الْحَيَّاتِ

Maksudnya: Kesemua telur suci meskipun daripada [haiwan yang] tidak dimakan [dagingnya], walaupun telah berubah [menjadi] darah di mana jika diperam, akan menetas. Namun diharamkan memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular.

Lihat kitab Qalyubi wa Umairah: 1/82

Selain telur ular, Imam al-Suyuthi juga ada menyatakan bahawa telur serangga haram dimakan.

لَيْسَ لنا بَيْضٌ يُحَرِّم أَكْلَهُ وَاِسْتَثْنَى بَعْضَهُمْ بَيَّضَ الحَيَّاتِ وَالحَشَرَاتِ وَ لَا شَكَّ فِيهُ

Maksudnya: Tiada telur yang diharamkan bagi kita memakannya. Sesetengah [daripada] mereka (ulama Mazhab al-Syafie) mengecualikan telur ular dan serangga. Tiada syak padanya (pengecualian ini). 

Lihat al-Asybah wa al-Nazoir: 1/695

Tambahan pula, haiwan yang dilarang dibunuh di dalam hadis seperti semut dan lebah, diharamkan untuk memakan telurnya. Hal ini adalah kerana jika telur tersebut halal dimakan, ia sekaligus bermaksud haiwan tersebut tidak dilarang dibunuh.

Selain itu, telur yang telah rosak dan tidak boleh lagi berkembang untuk menetas turut diharamkan kerana ia dianggap sebagai najis. Perkara ini juga benar bagi telur haiwan yang didapati daripada bangkai haiwan berkenaan.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata selain daripada telur yang diharamkan, semua telur haiwan dianggap suci dan dihalalkan untuk dimakan. Ia termasuk telur daripada haiwan yang diharamkan dagingnya seperti burung hida’ah (sejenis burung helang), burung gagak, burung helang, burung hantu, buaya dan penyu.

 

Umat Islam dihalalkan memakan telur buaya dan telur haiwan lain

Secara umumnya, halal bagi umat Islam memakan semua telur haiwan kecuali yang dilarang seperti telur ular, semut dan lebah. Penghalalan ini juga termasuk bagi telur haiwan yang diharamkan dagingnya untuk dimakan seperti buaya dan penyu. 

Namun begitu, penting juga untuk individu menghormati undang-undang sesuatu negara yang tidak mengizinkan telur haiwan terancam seperti penyu dimakan. Di Sabah, memiliki telur penyu hijau tanpa izin menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, iaitu pemilikan haiwan terpelihara dan produknya. 


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/07/11/haram-atau-halal-ini-hukum-makan-telur-buaya-yang-patut-korang-tahu/
2. https://maktabahalbakri.com/1123-memakan-daging-buaya/
3. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/779-al-kafi-635-makan-daging-buaya-bagi-tujuan-perubatan
4. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2688-al-kafi-853-hukum-memakan-makanan-laut-dan-penyu
5. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3475-al-kafi-1286-hukum-memakan-telur-ular
6. https://storage.unitedwebnetwork.com/files/478/d3d3f154b7348f16a06318e3301419ee.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago