Benarkah Umat Islam Disarankan Berzikir Ketika Ke Pasar Kerana Ia Tempat Paling Dibenci Allah SWT?

Benar
Benarkah Umat Islam Disarankan Berzikir Ketika Ke Pasar Kerana Ia Tempat Paling Dibenci Allah SWT?

Pasar merupakan tempat paling dibenci Allah SWT kerana banyak berlakunya perkara-perkara ditegah syarak

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/01/2024 - Disunting : 12/01/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Umat Islam Disarankan Berzikir Ketika Ke Pasar Kerana Ia Tempat Paling Dibenci Allah SWT?

Dalam kita melakukan setiap perkara, selalunya pasti akan dimulakan dengan membaca doa. Terdapat doa yang umum mahupun spesifik bagi satu-satu perkara. Terdapat individu yang telah berkongsikan doa yang perlu dibaca sebelum pergi ke pasar. 

Malah, dikatakan bahawa pasar merupakan tempat yang paling dibenci oleh Allah SWT. Hantaran kali ini akan meneliti lebih mendalam mengenai perkara ini.

 

Tempat paling disukai dan dibenci Allah SWT

Berdasarkan kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah, Allah SWT paling menyukai masjid, manakala pasar adalah tempat paling dibenciNya. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” 

Riwayat Muslim (671)

 

Di dalam kitab Imam al-Nawawi, diterangkan bahawa masjid merupakan tempat paling disukai Allah SWT kerana ia adalah tempat beribadah di mana dilakukan ketaatan dan ketakwaan. Ia tempat melakukan ibadah seperti solat fardhu berjemaah, solat-solat sunat, i’tikaf, sedekah, pembacaan Al-Quran, dan zikrullah. Imam Al-Nawawi berkata:

وَالمَسَاجِدُ مَحَل نُزُول الرَّحْمَة

Maksudnya: “Masjid-masjid adalah tempat turunnya rahmat.”

 

Sebaliknya, pasar menjadi tempat paling dibenci kerana ia merupakan tempat berlakunya penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya. Di dalam hadis Riwayat Muslim, daripada Salman RA berkata:

“Jika engkau mampu janganlah menjadi orang yang pertama masuk dan orang yang terakhir keluar daripadanya (pasar). Kerana pasar merupakan medan peperangan syaitan dan di sanalah ia mengibarkan benderanya.”

Ustazah Nor Faezah Hassan dari Jabatan Mufti Negeri Perlis menjelaskan hadis ini bahawa pasar menjadi medan pertempuran syaitan kerana ia sinonim dengan perkara-perkara ditegah syarak. Malah ia dikatakan tempat bendera syaitan dikibarkan kerana tentera syaitan berkumpul untuk menyebabkan perselisihan di antara manusia dan menjerumuskan kepada perkara-perkara yang buruk.

Menurut Imam Ibn Batthal, berbeza dengan masjid yang sering disebutkan nama Allah SWT, pasar adalah tempat yang bising, lalai dan di mana penjual sibuk mendapatkan wang jualan. 

Selain itu, Imam al-Qurtubhi menyatakan bahawa hadis di atas merupakan salah satu dalil yang menjadikan hukum makruh memasuki pasar, lebih-lebih lagi dengan adanya pergaulan antara lelaki dan wanita. Berdasarkan kepada Tafsir al-Qurthubi, ulama menyatakan bahawa hukum memasuki pasar menjadi makruh apabila terdapat banyak kemungkaran di pasar dan boleh menyebabkan umat Islam berpaling daripada mengingati Allah SWT.

Tambahan pula, Imam al-Mawardi mencela perbuatan orang yang sentiasa ke pasar dan banyak menghabiskan masa dengan perkara lain sehingga meninggalkan ibadah suruhan Allah SWT.

 

Berzikir ketika ke pasar

Dalam masa yang sama, adalah satu amalan terbaik jika seseorang mengingati Allah SWT ketika di pasar. Imam Ibn Bathhal RA berkata:

وَأمَّا إِذَا ذُكِرَ اللهُ فِى السُّوقِ فَهُو مِنْ أَفْضَلِ الأعْمَال

Maksudnya: “Adapun apabila dibacakan zikrullah di dalam pasar maka ia merupakan antara amalan yang paling afdhal.”

Kenyataan beliau tersebut dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Umar RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang masuk ke dalam pasar lalu dia membaca:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكُ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ حَىٌّ لاَ يَمُوتُ بِيَدِهِ الْخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ 

Maka Allah menetapkan satu juta kebaikan buatnya dan menghapuskan satu juta kejahatannya serta mengangkat kedudukannya sebanyak satu juta darjat.”

Riwayat Al-Tirmizi (3428)

 

Pusat membeli belah sama seperti pasar

Dalam berbincang mengenai berzikir di pasar, timbul persoalan jika pusat membeli belah juga sama seperti pasar.

Menurut Ibn Manzhur, definisi pasar dari sudut bahasa Arab adalah tempat berlakunya jual beli. Kitab Al-Mu’jam al-Wasith juga menyebutkan bahawa, ‘’Pasar adalah tempat yang didatangkan kepadanya barangan dan dagangan untuk tujuan jual beli.’’

Memandangkan aktiviti jual beli turut berlaku di sana, termasuk penjualan makanan, pakaian dan perabot, oleh itu boleh dikatakan pusat membeli belah sama seperti pasar. Oleh itu, elok juga untuk berzikir dan membaca doa ketika memasuki pusat membeli belah. 

 

Lebih baik praktikkan berzikir ketika ke pasar dan pusat membeli belah

Berdasarkan riwayat hadis, benarlah bahawa pasar merupakan tempat paling dibenci Allah SWT dan umat Islam digalakkan berzikir ketika ke sana. Ia bukan sahaja tertakluk bagi pasar, tetapi lain-lain tempat jual beli seperti pusat membeli-belah.

Zikir di pasar turut disebut dalam satu riwayat oleh Abu ‘Ubaidah bin Abdullah bin Mas’ud yang berkata: “Ketika hati seseorang terus berzikir kepada Allah maka ia seperti berada dalam solat. Jika dia berada di pasar lalu dia menggerakkan kedua bibirnya untuk berzikir, maka itu lebih baik.”

Menurut Ustazah Faezah, riwayat Imam Ahmad menjelaskan bahawa Allah SWT akan membangunkan sebuah rumah di syurga bagi orang yang berzikir ke pasar.

Katanya lagi, walaupun berzikir ketika ke pasar satu amalan yang kecil, namun fadilatnya besar di sisi Allah SWT. Dia juga menasihati pengunjung supaya tidak terlalu lama di dalam pasar dan segera keluar darinya apabila telah selesai segera urusan.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perlis


Rujukan:

1. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3634-irsyad-al-hadith-siri-ke-406-tempat-yang-paling-disukai-dan-dibenci-oleh-allah
2. YouTube Studio Isnad Perlis
3. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3747-al-kafi-1401-adakah-memasuki-pusat-membeli-belah-sama-seperti-masuk-pasar
4. https://zulkiflialbakri.com/794-zikir-tetapi-hati-lalai

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 months ago