Benarkah Umat Islam Tidak Digalakkan Menyimpan Barang Yang Tidak Digunakan?

Benar
Benarkah Umat Islam Tidak Digalakkan Menyimpan Barang Yang Tidak Digunakan?

Setiap harta dan barang yang dimiliki oleh seorang muslim akan dihisab di akhirat kelak

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/07/2023 - Disunting : 10/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Umat Islam Tidak Digalakkan Menyimpan Barang Yang Tidak Digunakan?

Seorang pengguna Twitter mendakwa barang milik sendiri yang tidak dipakai akan dihisab di akhirat kelak. Terdapat ramai pengguna lain yang turut bersetuju dengan dakwaan tersebut. Ada juga yang berkata perkara ini adalah kerana barang yang tidak digunakan merupakan satu bentuk pembaziran dan bertentangan dengan ajaran Islam.

 

Persoalannya, adakah perkara ini benar dan bermakna umat Islam tidak digalakkan menyimpan barang yang tidak digunakan?

 

Harta Dihisab Di Akhirat

Menurut Pendakwah Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Asyraf, semua harta kepunyaan seseorang akan dihisab di akhirat. Bukan sahaja harta kekayaan, malah barangan lain turut akan dihisab seperti tudung, cincin, bekas makanan dan pinggan mangkuk.

Antara perkara yang akan ditanya di akhirat berkenaan harta adalah, ke mana barang itu telah dibawa dan digunakan serta tujuan barang tersebut. Asyraf berkata ia merupakan timbangan di akhirat ketika mana setiap perkara akan ditanya oleh Allah SWT.

Pengarah Sekretariat Majlis Ulama Isma, Ustaz Syamil Esa berkata perkara yang dihisab dan disoal di akhirat termasuk ilmu pengetahuan. Katanya, membeli barang baru dan menyimpan barang tertentu adalah halal di sisi syariat. Namun begitu, perbelanjaan harta benda perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab di dunia selaku seorang muslim. 

Di samping itu, duit yang digunakan untuk suatu pembelian juga akan dihisab, sama ada untuk perkara tidak bermanfaat atau atas sedekah yang dilakukan.

Hadis oleh Abu Barzah Al-Aslamiy RA berkata Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia ditanya tentang umurnya, untuk apa ia habiskan, tentang ilmunya, iaitu apa yang telah ia perbuat dan tentang hartanya, dari mana ia dapatkannya dan ke mana ia belanjakannya serta mengenai anggota badannya yang telah digunakan.” 

Hadis Riwayat Muaz bin Jabal, 4/298

 

Beri Harta Yang Tidak Digunakan Kepada Orang Lain

Menurut Habib Ali Zainal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid, harta sebenar seseorang individu adalah harta yang diberikan kepada orang lain. Apabila seseorang telah meninggal, hartanya akan secara langsung dipindahkan kepada ahli waris dan tidak lagi menjadi miliknya.

Rasulullah SAW telah berkata kepada para sahabat, bahawa harta milik individu adalah harta yang diinfakkan, manakala harta yang disimpan adalah milik ahli waris. 

Habib Ali turut menceritakan satu kisah ketika Rasulullah SAW segera pulang ke rumahnya setelah bersolat tanpa berzikir terlebih dahulu seperti yang biasa dilakukannya. Apabila ditanya oleh para sahabat, baginda berkata bahawa dia teringat tentang wang yang belum diberikannya kepada orang tertentu. Baginda segera melakukannya kerana risau ajal akan menemuinya terlebih dahulu sebelum sempat memberikan wang kepada orang yang berhak.

 Satu ayat Quran turut menceritakan seksaan yang akan dialami di akhirat jika seseorang tidak membelanjakan hartanya di jalan yang benar, tetapi menyimpan untuk diri sendiri.

 “…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan ALLAH, maka berikanlah khabar gembira kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih, (ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan di dalam neraka Jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi mereka, rusuk dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.” 

Surah at-Taubah, ayat 34-35

Selain itu, satu hadis memperincikan bahawa lebih baik untuk memberi barang yang tidak digunakan kepada orang yang lebih memerlukan. 

“Sesiapa yang memakai pakaian yang baru, hendaklah dia mengucapkan: Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan aku sesuatu yang dapat menutup auratku dengannya dan telah memperindahkan diriku di dalam kehidupan ini. Kemudian dia pergi kepada pakaian yang telah ditanggalkannya itu (pakaian lama) lalu dia menyedekahkannya, maka dia berada di bawah lindungan Allah, pemeliharaanNya dan ditutup (keaibannya) semasa hidup dan selepas meninggal dunia.” 

Hadis Riwayat Umar Al-Khattab, 3/134

 

Barang Tidak Digunakan Tidak Elok Disimpan

Berdasarkan penerangan tentang hisab ke atas harta di atas, jelas bahawa barang yang tidak digunakan tidak elok disimpan. Sebaliknya, lebih baik jika barang tersebut diberi kepada orang yang memerlukan sekaligus memberikan ganjaran bersedekah. 

Bersedekah bermaksud membelanjakan harta di jalan Allah S.W.T. Salah satu ayat Quran yang menceritakan kebaikan bersedekah adalah seperti di dalam Surah Al-Baqarah. 

“Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.”

Surah Al-Baqarah (261)

Allah S.W.T juga berfirman bahawa bersedekah tidak akan merugikan seseorang, sebaliknya akan mendatangkan lebih rezeki.

“Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

Surah Saba’ (39)


Rujukan:

1. https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/aqidah/jangan-simpan-benda-tak-pakai-koleksi-barang-dan-harta-juga-akan-dihisab/
2. https://isma.org.my/soal-jawab-muis-setiap-barang-pakaian-pinggan-mangkuk-dan-sebagainya-akan-dihisab-kelak/
3. https://tzkrh.com/201925067/
4. Youtube Cocombee
5. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2484-al-kafi-768-sedekah-barangan-lama-tidak-terpakai

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago