Benarkah Wanita Boleh Memiliki Kromosom Y & Kadar Hormon Testosteron Yang Tinggi?

Benar
Benarkah Wanita Boleh Memiliki Kromosom Y & Kadar Hormon Testosteron Yang Tinggi?

Tular dakwaan tentang seorang atlet wanita di Olimpik Paris 2024 yang mempunyai kromosom Y

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/08/2024 - Disunting : 08/08/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Wanita Boleh Memiliki Kromosom Y & Kadar Hormon Testosteron Yang Tinggi?

Tercetus kontroversi di sekitar temasya sukan Olimpik Paris 2024 apabila tular dakwaan seorang peserta sukan tinju wanita sebenarnya merupakan seorang lelaki.

Atlet dari Algeria bernama Imane Khelif dikecam sesetengah pihak yang mendakwa dia sebagai seorang ‘lelaki secara biologi’ kerana menyebabkan lawannya pada perlawanan pertama, menarik diri setelah ditumbuk. 

Namun begitu, banyak pihak yang tampil menjelaskan bahawa Khelif sememangnya seorang wanita tulen, tetapi mungkin mempunyai paras hormon testosteron yang lebih tinggi berbanding wanita biasa.

Baca Artikel Berkaitan: Olimpik Paris 2024: Peninju Itali, Angela Carini Tuntut Keadilan Dakwa Ditumbuk Wanita ‘Jadian’

Persoalannya, adakah seseorang yang kelihatan maskulin boleh menjadi seorang wanita yang mengalami gangguan pada paras hormonnya?

 

Jantina bukan hanya lelaki (XY) dan wanita (XX)

Masyarakat umumnya memegang kepada konsep dua jantina iaitu lelaki dan wanita berdasarkan kepada alat kelamin atau ciri-ciri fizikal. Di samping itu, wujud juga jantina yang dikenali sebagai khunsa atau intersex

Secara biologi, pengkhususan jantina bukanlah terletak semata-mata pada alat kelamin seseorang. Ia merangkumi perkara yang lebih spesifik atau mendalam seperti kromosom dan kadar hormon.

Secara ringkasnya, seorang lelaki akan mempunyai kromosom X dan Y (XY), manakala wanita mempunyai sepasang kromosom X (XX). Namun begitu, bagi individu khunsa, mereka boleh memiliki lebih banyak kromosom jantina seperti XXX dan XXY, atau kurang seperti XO (hanya kromosom X).

Bagi khunsa, mereka kebiasaannya akan dikenal pasti sebagai lelaki atau perempuan berdasarkan kepada organ kelamin secara fizikalnya. Sebagai contoh, seseorang yang dikenal pasti sebagai lelaki atau ‘assigned male at birth’ (AMAB) mungkin mempunyai zakar, namun dalam masa sama turut mempunyai anatomi reproduksi dan kadar hormon seperti wanita.

Dari segi perubatan, individu dengan jantina khunsa atau mengalami Masalah Perkembangan Seksual (DSD) mempunyai kromosom seks, sistem reproduktif atau perkembangan seksual sekunder yang tidak normal

 

Perempuan juga boleh mempunyai kromosom Y

Berdasarkan perkongsian profesor fisiologi, Dr Rafidah Hanim Mokhtar, orang ramai mendakwa Khelif mempunyai set kromosom XY menerusi ujian kelayakan jantina oleh International Boxing Association (IBA) pada tahun 2023. Kononnya wujud kromosom seks Y inilah yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyokong dakwaan mereka bahawa Khelif merupakan seorang lelaki.

Menurut Dr Rafidah, terdapat pandangan pakar yang menyatakan bahawa Khelif mungkin dapat dikategorikan sebagai DSD 46 XY dengan kekurangan hormon 5-alpha-reductase (ARD). Individu di bawah kategori XY DSD 5-ARD ini boleh dilahirkan dengan alat kelamin wanita atau ‘ambiguous’ dan dibesarkan sebagai wanita.

Namun apabila menginjak usia baligh, kadar androgen menjadi tinggi sekaligus meningkatkan hormon seks testosteron, iaitu keadaan hyperandrogenism. Apabila hormon testosteron tinggi melebihi biasa, tubuh badan fizikal wanita seperti otot dan tulang akan menyerupai lelaki.


Dalam masa sama, timbul juga dakwaan bahawa Khelif mengalami sindrom Swyer, di mana individu mempunyai alat kelamin wanita yang berfungsi, tetapi mempunyai set kromosom XY yang sering kali dikaitkan dengan lelaki.

 

Hyperandrogenism tingkatkan hormon testosteron dalam wanita

Keadaan hyperandrogenism terjadi apabila kadar hormon seks testosteron dalam tubuh badan seorang wanita terlalu tinggi. Ini juga boleh terjadi akibat wujudnya kromosom jantina Y. 

Sebenarnya, keadaan ini bukan hanya terjadi pada mereka dengan DSD, tetapi turut dialami oleh para wanita dengan masalah kesihatan hormon seperti polycystic ovary syndrome (PCOS). 

Kedua-dua wanita dan lelaki menghasilkan hormon androgen. Namun lelaki atau AMAB menghasilkan sekitar 12 kali ganda lebih banyak androgen berbanding wanita atau AFAB secara umumnya. Testosteron merupakan hormon androgen yang paling biasa.

Sekitar 5% hingga 10% wanita pada usia reproduktif mengalami hyperandrogenism. Dalam masa sama, lelaki juga boleh mengalami keadaan ini. Bagi kedua-dua lelaki dan wanita, hyperandrogenism boleh menyebabkan masalah ketidaksuburan.

Sebab paling biasa bagi hyperandrogenism dalam wanita pada awal baligh dan dewasa ialah PCOS. Sekitar 80% hingga 90% wanita dengan hyperandrogenism mempunyai masalah PCOS.

Oleh itu, jelas bahawa wanita juga boleh mempunyai hormon testosteron yang tinggi disebabkan oleh masalah kesihatan hormon.

 

Khelif pernah digugurkan oleh IBA

Dalam kes Khelif, beberapa pihak telah memetik bahawa dia telah digugurkan daripada pertandingan tinju antarabangsa sebelum ini di bawah International Boxing Association (IBA). Ramai yang mempersoalkan, jika atlet itu digugurkan sebelum ini, mengapa dia dibenarkan bertanding di dalam Olimpik Paris 2024. Namun orang ramai gagal menyatakan bahawa IBA tidak lagi diiktiraf oleh Olimpik. 

Malah, apabila IBA menggugurkan Khelif dari IBA Women’s World Boxing Championship New Delhi 2023, dia ketika itu bakal bertanding dalam perlawanan terakhirnya bagi mendapatkan pingat emas. Seorang lagi atlet tinju turut digugurkan selepas memenangi pingat gangsa di acara sama. Perkara ini juga menimbulkan tanda tanya mengapa ujian tersebut dilakukan pada saat akhir apabila kedua-dua atlet tersebut sudah berada pada peringkat akhir perlawanan tinju.

Menurut IBA, kedua-dua atlet itu tidak menjalani ujian kadar testosteron, tetapi ujian berasingan yang diiktiraf. Pengkhususan ujian tersebut walau bagaimanapun kekal sulit. IBA menjelaskan bahawa hasil ujian mendapati mereka mempunyai kelebihan daya saing berbanding peserta wanita lain. 

Beberapa penyokong Khelif turut berkongsikan gambar yang menunjukkan wanita itu ketika masih kecil dan kelihatan seperti kanak-kanak perempuan biasa. Mereka turut menolak dakwaan Khelif merupakan seorang transgender memandangkan perkara itu diharamkan di Algeria.

Ini bukanlah pertama kali isu wanita ‘berperwatakan lelaki’ timbul di Olimpik. Sebelum ini, kecoh tentang pelari Caster Semenya dari Afrika Selatan yang turut mempunyai kadar hormon testosteron tinggi. Dia telah mengambil ubat-ubatan bagi mengurangkan kadar testosteron agar tidak dihalang daripada menyertai pertandingan antarabangsa.

Malah, ratu tenis dunia, Serena Williams juga pernah menerima tuduhan dilahirkan sebagai seorang lelaki sebelum ini. Dia turut menjadi antara atlet tenis yang paling banyak dilakukan ujian pengesanan dadah ke atasnya.

 

Wanita boleh mempunyai kromosom XY dan kadar hormon testosteron tinggi

Walaupun secara umumnya wanita mempunyai set kromosom XX, namun terdapat juga mereka yang mempunyai kromosom Y, tetapi masih mempunyai alat kelamin wanita. Mereka dikategorikan sebagai wanita sejak lahir (AFAB) dan dibesarkan sebagai wanita.

Malah, kadar testosteron di dalam wanita juga boleh meningkat akibat masalah kesihatan hormon. Keadaan ini tidaklah terlalu jarang berlaku memandangkan sekitar lima hingga 10 daripada 100 wanita pada usia reproduktif boleh mengalami masalah hyperandrogenism.


Rujukan:

1. https://www.plannedparenthood.org/learn/gender-identity/sex-gender-identity/whats-intersex
2. https://www.researchgate.net/publication/381423782_Disorder_of_Sex_Development_DSB_Berstatus_Khuntha_di_Malaysia_Penyakit_atau_Kecacatan_Disorder_of_Sex_Development_DSB_with_Khuntha_Status_in_Malaysia_Disease_or_Disability
3. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/swyer-syndrome
4. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/24639-hyperandrogenism
5. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8316-polycystic-ovary-syndrome-pcos
6. https://www.iba.sport/news/statement-made-by-the-international-boxing-association-regarding-athletes-disqualifications-in-world-boxing-championships-2023/
7. https://edition.cnn.com/2023/11/06/sport/caster-semenya-totestosterone-limits-world-athletics-spt-intl/index.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago