Benarkah Wanita Boleh Menopause Awal Jika Akil Baligh Awal?

Benar
Benarkah Wanita Boleh Menopause Awal Jika Akil Baligh Awal?

Wanita yang tidak lagi kedatangan haid telah mengalami putus haid atau menopause

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/03/2023 - Disunting : 14/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Wanita Boleh Menopause Awal Jika Akil Baligh Awal?

Seorang pengguna Twitter, Sofea Rozaidi, membuat kenyataan bahawa wanita yang akil baligh pada umur 11 tahun atau lebih awal akan mengalami putus haid, atau menopause, sebelum berusia 40 tahun. Pada masa yang sama, dia berkata perkara itu akan mengelakkan wanita daripada penyakit seperti kanser payudara. 

Putus haid

Seorang wanita telah putus haid sekiranya dia tidak lagi mengalami kedatangan haid, biasanya selepas satu tahun. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba, beransur-ansur atau tidak tetap. Wanita yang telah putus haid tidak lagi menghasilkan telur ovum dan tidak boleh mengandung. Ia kebiasaannya terjadi dalam kalangan wanita berumur 45 hingga 55 tahun, dengan purata pada umur 50 tahun.

Terdapat tanda-tanda pada seorang wanita yang mengalami putus haid seperti gejala vasomotor (lebih dikenali sebagai hot flushes) yang menyebabkan kepanasan dan kemerahan di bahagian muka dan dada, berpeluh, sukar tidur dan denyutan jantung laju. Selain itu, individu juga mengalami gejala saluran kencing yang merangkumi kekeringan di faraj serta kencing tidak terkawal dengan kekerapan tinggi. Wanita yang telah mengalami putus haid juga mempunyai kurang daya ingatan, emosi yang berubah-ubah serta kurang daya seks. 

Gambaran seorang yang mengalami gejala vasomotor. Kredit gambar: Karolina Grabowska/ Pexels

Di samping itu, wanita lebih berisiko terhadap beberapa penyakit setelah putus haid. Osteoporosis, iaitu tulang menjadi nipis dan rapuh, adalah salah satu risiko dihadapi wanita apabila putus haid, yang turut menyumbang kepada kepatahan tulang. Wanita putus haid juga lebih terdedah kepada penyakit jantung. Hal ini adalah kerana badan menghasilkan makin kurang estrogen yang menyumbang kepada risiko salur nadi menjadi sempit.

 

Putus haid awal

Putus haid awal boleh dikategorikan kepada dua iaitu premature menopause apabila wanita putus haid sebelum umur 40 tahun dan early menopause apabila putus haid sebelum umur 45 tahun. Putus haid awal boleh terjadi secara semula jadi atau disebabkan oleh pengaruh luar. Namun begitu, 90% wanita yang mengalami putus haid awal tidak diketahui sebabnya.

Bagi wanita yang dikenal pasti punca putus haid awal, ia boleh terjadi apabila wanita mengalami kegagalan ovari pramatang atau premature ovarian failure secara semula jadi. Perkara ini menyebabkan ovari tidak lagi menghasilkan hormon-hormon pada kadar tertentu, terutamanya bagi hormon estrogen. Kegagalan ovari pramatang boleh disebabkan oleh penyakit autoimun dan keabnormalan kromosom. Wanita yang mempunyai leluhur dengan keadaan ini lebih berisiko mengalaminya. 

Gambar rajah sistem reproduktif wanita. Kredit: macrovector/ Freepik

Kegagalan ovari pramatang juga boleh disebabkan oleh rawatan kanser seperti radioterapi dan kemoterapi. Menurut National Health Services, kanak-kanak perempuan yang belum akil baligh lebih kuat menahan rawatan berbanding wanita berumur. Risiko kepada kegagalan ovari pramatang lebih tinggi apabila radioterapi dilakukan di bahagian otak atau pelvis. 

Di samping itu, putus haid awal juga terjadi apabila kedua-dua ovari dibuang secara pembedahan akibat masalah lain seperti endometriosis dan ketumbuhan atau untuk mengurangkan risiko kanser ovari dan kanser payudara. Putus haid awal terjadi kerana ketiadaan ovari menyebabkan pelbagai hormon gagal dihasilkan.

 

Pengaruh umur kedatangan haid kali pertama terhadap umur putus haid

Pada tahun 2017, sekumpulan penyelidik telah membuat kajian mengenai hubung kait antara waktu akil baligh dan putus haid awal. Kajian tersebut menggunakan data daripada 51,450 wanita yang telah putus haid di United Kingdom, Scandinavia, Australia dan Jepun. 

Kajian mendapati lebih kurang 10% wanita mengalami putus haid awal. Keputusan kajian juga menyimpulkan bahawa akil baligh pada umur 11 tahun atau lebih muda menyebabkan risiko premature menopause dan early menopause. Risiko ini dua kali ganda lebih tinggi bagi wanita yang tidak pernah melahirkan anak berbanding dengan wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya dua orang anak. 

Ketua penyelidik, Professor Gita Mishra dari The University of Queensland, berkata wanita yang akil baligh sebelum 11 tahun mempunyai 80% kebarangkalian mengalami putus haid awal. Menurutnya, perkara ini adalah penting kerana wanita yang telah putus haid mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat sakit lain seperti sakit jantung, diabetes jenis 2 dan osteoporosis. 

 

Rawatan Hormon Gantian (HRT)

Salah satu kaedah untuk mengurangkan simptom-simptom putus haid adalah melalui rawatan hormon gantian atau hormone replacement therapy (HRT). HRT dilakukan dengan pengambilan ubatan yang mengandungi hormon estrogen sahaja atau estrogen dan progestin. Ubatan ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti pil, suntikan, tampalan dan krim.

Antara kaedah rawatan hormon gantian (Kredit gambar, dari kiri: Cottonbro Studio/ Pexels, Mufid Majnun/ Unsplash, Reproductive Health Supplies Coalition/ Unsplash)

Sofea berkata di dalam ciapannya bahawa putus haid awal dapat mengelakkan wanita daripada penyakit seperti kanser payudara. Walau bagaimanapun, wanita sebenarnya berisiko mengalami kanser payudara apabila terdedah kepada hormon-hormon wanita, sama ada yang dihasilkan secara semula jadi atau diterima melalui HRT. 

HRT menggunakan hormon estrogen dan progestin meningkatkan risiko wanita mendapat kanser payudara dalam jangka masa panjang. Namun begitu, perkara yang sama tidak boleh dikatakan berkenaan HRT menggunakan hormon estrogen sahaja, yang kebiasaannya diberikan kepada wanita selepas menjalankan histerektomi.

 

Wanita yang akil baligh pada umur 11 tahun atau lebih awal berisiko mengalami putus haid awal

Kajian membuktikan bahawa wanita yang akil baligh seawal umur 11 tahun mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat putus haid awal. Malah, risiko ini lebih tinggi dalam kalangan wanita yang tidak mempunyai anak kandungan. 

Putus haid awal tidak patut diambil mudah kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit lain termasuk penyakit kronik. Wanita yang telah putus haid boleh mengambil HRT untuk mengurangkan gejala putus haid, di samping menjalankan gaya hidup lebih sihat termasuk makan makanan berkhasiat, bersenam, dan tidak merokok.


Rujukan:

1. http://www.myhealth.gov.my/putus-haid/
2. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/18074100/
3. https://www.bhf.org.uk/informationsupport/support/women-with-a-heart-condition/menopause-and-heart-disease
4. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/premature-and-early-menopause
5. https://www.nhsinform.scot/healthy-living/womens-health/later-years-around-50-years-and-over/menopause-and-post-menopause-health/early-and-premature-menopause
6. https://www.nhs.uk/conditions/early-menopause
7. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/oophorectomy/about/pac-20385030
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5850221/
9. https://www.uq.edu.au/news/article/2017/01/women-early-periods-increased-risk-of-early-or-premature-menopause
10. https://www.webmd.com/menopause/guide/breast-cancer-menopause

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago