Benarkah Wanita Islam Diharamkan Mengikat Peranakan Tanpa Sebab Kesihatan?

Benar
Benarkah Wanita Islam Diharamkan Mengikat Peranakan Tanpa Sebab Kesihatan?

Mengikat peranakan merupakan salah satu kaedah merancang keluarga yang boleh dilakukan oleh wanita

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/12/2023 - Disunting : 01/12/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Wanita Islam Diharamkan Mengikat Peranakan Tanpa Sebab Kesihatan?

Dalam merancang kehamilan, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan oleh wanita seperti mengambil pil perancang atau suntikan, dan memakai implanon. Kaedah lain yang bersifat kekal adalah dengan cara mengikat peranakan yang kebiasaannya dilakukan atas sebab kesihatan. Persoalannya, adakah kaedah ini boleh dilakukan sewenang-wenangnya menurut Islam?

 

Bilateral Tubal Ligation (BTL)

Kaedah mengikat peranakan atau tubal ligation adalah prosedur pembedahan yang sangat efektif dalam mengekang kehamilan. Ia boleh dijalankan sama ada dengan cara memotong, menghalang atau menutup laluan tiub Fallopio yang menyambungkan ovari dengan rahim untuk menghalang persenyawaan. 

BTL dipilih berbanding kaedah lain kerana ia lebih efektif dan memudahkan kerana merupakan kaedah kekal. Tidak seperti kaedah perancangan keluarga lain, BTL merupakan kaedah bukan hormon yang tidak mempengaruhi hormon badan seperti menyebabkan masalah haid atau menyebabkan putus haid. Malah, kajian mendapati BTL dapat mengurangkan risiko kanser ovari sekitar 40%.

Ada juga wanita yang memilih untuk melakukan BTL kerana dia atau pasangan mempunyai masalah genetik yang boleh diturunkan kepada anak yang dikandung. 

Cara-cara tiub Fallopio diikat. Sumber: Cleveland Clinic

Walaupun BTL merupakan kaedah kekal yang berkesan, namun terdapat 1% kebarangkalian, atau 1 daripada 100 wanita yang masih boleh mengandung dalam tahun pertama setelah ia dijalankan. Menurut Mayo Clinic, kaedah mengikat peranakan yang dijalankan pada umur muda meningkatkan risiko ia gagal.

 

Hukum melakukan perancangan keluarga

Memandangkan mengikat peranakan merupakan salah satu kaedah perancangan keluarga, penting untuk memahami hukum melakukannya terlebih dahulu. Terdapat dua pendapat mengenai kaedah perancangan keluarga, iaitu yang membenarkan dan mengharamkannya. 

Hujah pengharamannya dilakukan berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلاَ تَقْتُلُواْ أَوْلاَدَكُم مِّنْ إمْلاَقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

Surah al-An’am (6:151)

Malah, ada yang menyamakan perbuatan itu dengan amalan golongan jahiliyah yang membunuh anak-anak kerana takut akan kemiskinan. Terdapat juga hujah bahawa pasangan perlu bersangka baik kepada Allah SWT dan tidak seharusnya merasakan takut akan tiadanya rezeki. Firman Allah SWT:

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ  

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu, dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu) sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Surah al-Baqarah (2:216)

 

Sebahagian ulama membenarkan perancangan keluarga (tanzim al-usrah) yang boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tanzim al-nasal (perancangan anak) dan tahdid al-nasal (membataskan anak).

Perancangan anak bermakna menggunakan kaedah untuk menjarakkan anak seperti mengambil pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur dan memakai kondom. Ia bersifat sementera dan diharuskan dengan syarat dipersetujui kedua-dua suami isteri, tidak mendatangkan mudarat dan menerima jika kehamilan tetap terjadi. 

Antara kaedah perancangan keluarga yang boleh digunakan.
Kredit gambar: Reproductive Health Supplies Coalition/ Unsplash

Perancangan anak turut dijalankan pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan satu dalil daripada Jabir RA.

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.”

Riwayat Imam al-Bukhari (no. 5209)

Sebaliknya, membataskan anak menggunakan kaedah yang bersifat kekal iaitu pemandulan serta penguguran kandungan adalah dilarang. Ia diharamkan oleh banyak fatwa kerana mengubah ciptaan Allah SWT, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan. Harus diingat bahawa syarak Islam adalah menggalakkan umatnya untuk melahirkan anak-anak. Daripada Abu Sa`id bin Hilal, Rasulullah SAW bersabda:

تَنَاكَحُوا، تَكْثُرُوا، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَ

Maksudnya: “Bernikahlah kalian, dan peramaikan bilangan kalian, kerana aku akan berbangga dengan kalian atas ramainya umatku nanti di Hari Kiamat.”

Riwayat Abdurrazzaq (10391)

Salah satu fatwa dikeluarkan oleh ulama Mesir Sheikh `Atiyyah Saqr yang mengharamkan kaedah ini kerana ia menghentikan proses semulajadi persenyawaan dan bertentangan dengan kebijaksanaan Ilahi yang menciptakan dua jantina.

 

Situasi kesihatan wanita yang mengharuskan pembatasan anak

Walaupun secara amnya kaedah pembatasan anak seperti BTL diharamkan, namun ia tertakluk kepada kesihatan dan nyawa seorang wanita. Jika seorang wanita berisiko kematian atau mengalami masalah kesihatan kritikal akibat mengandung atau bersalin, maka diharuskan kaedah mencegah kehamilan kekal. 

Dalam satu hantaran Facebook oleh Dr Zubaidi Ahmad, dinyatakan bahawa perlu mendapat pandangan seorang doktor beragama Islam yang berpengalaman sebelum melakukan pencegahan kehamilan secara kekal. Jawapan itu diberikan kepada satu soalan tentang mengalami masalah uri terlekat serta melahirkan anak secara pembedahan caesar sebanyak tiga kali.

Dr. Anizah Ali yang bertugas di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) menerangkangkan kaedah BTL dapat menjaga ibu yang berisiko nyawa terancam jika hamil seperti dalam kes telah menjalani pembedahan caesar tiga kali, darah tinggi teruk yang tak terkawal dan penyakit jantung tertentu. Perkara ini secara tidak langsung dapat melindungi ibu dan membolehkan dia menjaga anak-anak sedia ada.

Namun begitu, Dr Anizah juga mengingatkan bahawa kaedah BTL boleh menyebabkan penyesalan jika dijalankan tanpa perbincangan yang teliti dengan pasangan dan pakar kesihatan. Kebiasaannya kaedah ini dijalankan hanya apabila tiada alternatif lain bagi seorang wanita. 

 

Pendapat berkaitan situasi lain

Sudah jelas bahawa kaedah pembatasan anak kekal seperti BTL haram kecuali jika wujud keperluan akibat masalah kesihatan. Namun begitu, mungkin wujud persoalan berkenaan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengan kehamilan. Soalan-soalan tersebut telah dijawab di dalam buku Islamic Edicts on Family Planning

Kaedah BTL tidak dibenarkan atas alasan ekonomi atau sosial seperti mempunyai ramai anak atau wanita telah berumur. Perkara ini adalah kerana kedua-dua ini bukan kriteria yang lengkap dan logik bagi pencegahan kehamilan kekal. Pengguguran juga diharamkan bagi keadaan ini.

Akan tetapi, pencegahan kehamilan kekal dibenarkan bagi masalah kesihatan lain yang timbul seperti kecacatan fizikal anak, dan masalah fizikal atau mental keturunan, terutamanya yang telah terjadi dalam kehamilan lepas. 

 

Kaedah perancangan keluarga secara kekal tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya

Secara umumnya, mengikat peranakan diharamkan dalam Islam tanpa sebab-sebab tertentu kerana ia bersifat kekal. Walaupun terdapat kaedah untuk mengembalikan peranakan kepada asal, namun hanya 50% hingga 80% wanita yang berjaya mengandung selepas ia dilakukan. Perkara ini bermakna wujudnya kebarangkalian pencegahan kehamilan tersebut menjadi kekal.

Di samping itu, sesetengah ulama berpendapat bahawa kaedah seperti BTL dibenarkan bagi wanita yang berisiko melahirkan anak tidak sempurna atau mempunyai masalah kesihatan. Namun begitu, segala keputusan perlu mendapatkan penjelasan daripada pakar perubatan dan persetujuan kedua-dua suami isteri.


Rujukan:

1. https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/4933-tubal-ligation
2. https://www.hopkinsmedicine.org/health/treatment-tests-and-therapies/tubal-ligation
3. https://www.mayoclinic.org/tests-procedures/tubal-ligation/about/pac-20388360
4. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1847-irsyad-al-fatwa-ke-146-hukum-merancang-keluarga-kerana-berpendapatan-rendah
5. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1784-hukum-perancagan-keluarga
6. https://fiqh.islamonline.net/en/is-sterilization-permissible
7. https://www.facebook.com/DrZubaidiHjAhmad/posts/hukum-mengikat-peranakan-adalah-haramassalamualaikum-doktor-maaf-terpaksa-pm-ker/720327241320687/
8. https://www.facebook.com/watch/?v=901338293409433
9. https://www.al-islam.org/islamic-edicts-family-planning

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago