Benarkah Wanita Lebih Hebat Multitasking Berbanding Lelaki?

Salah
Benarkah Wanita Lebih Hebat Multitasking Berbanding Lelaki?

Wanita sering dikatakan bagus melakukan beberapa tugasan dalam satu masa yang sama

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/01/2023 - Disunting : 20/01/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Wanita Lebih Hebat Multitasking Berbanding Lelaki?

Wujud stereotaip bahawa wanita lebih bagus dalam multitasking, atau melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa, berbanding lelaki. Pada masa yang sama, lelaki dikatakan lebih bagus melakukan satu-satu tugasan berbanding wanita. Suraya, blogger RinggitOhRinggit.com, berkongsi dalam satu ciapan Twitter bahawa sebenarnya kepercayaan ini adalah mitos semata-mata. Mari kita lihat lebih lanjut berkenaan perkara ini. 

Kajian ke atas multitasking

Sebuah kajian telah mengkaji perbezaan antara jantina dalam melakukan sequential multitasking (bertukar-tukar antara beberapa perkara) dan concurrent multitasking (melakukan dua tugasan dalam satu masa). Hasil daripadanya mendapati bahawa multitasking menyebabkan kos yang tinggi ke atas prestasi (performance costs) seseorang tidak kira jantina. Ia membuktikan otak wanita tidak lebih cekap berbanding otak lelaki apabila melakukan multitasking.

Sebuah kajian lain mendapati bahawa kos ke atas prestasi bagi lelaki adalah lebih rendah daripada wanita apabila melakukan concurrent multitasking. Manakala bagi sequential multitasking, tiada perbezaan ditemui bagi kedua jantina. Di samping itu, lelaki didapati lebih berpengalaman dalam multitasking perkara yang merangkumi permainan video, manakala wanita lebih berpengalaman dalam perkara yang merangkumi muzik, mesej dalam talian dan melayari laman web. Dapatan kajian mencadangkan lelaki mempunyai lebih kelebihan dalam concurrent multitasking, namun begitu ia mungkin disebabkan oleh kemampuan kognitif individu dan bukannya jantina semata-mata

 

Multitasking sebenarnya lebih banyak keburukan

Mungkin kita merasakan bahawa kita dapat menyiapkan banyak tugasan apabila kita melakukan beberapa perkara dalam satu masa. Walau bagaimanapun, kajian mendapati bahawa otak manusia sebenarnya tidak cekap dalam melakukan multitask. Multitasking boleh membantutkan produktiviti kerana ia memerlukan seseorang untuk bertukar fokus dari satu perkara ke perkara yang lain. Pertukaran ini boleh menyebabkan seseorang senang terganggu dan menyebabkan kebuntuan.

Di samping itu, multitask juga menyebabkan kos ke atas prestasi sewaktu pertukaran berlaku. Walaupun kelihatan kecil dan mengambil hanya kurang sesaat, tetapi ia akan berkumpul menjadi nilai yang besar apabila seseorang sering bertukar-tukar tugasan. Ternyata bahawa multitask mengambil masa yang lebih lama dan boleh menyebabkan lebih banyak kesalahan. Malah, kebuntuan minda dalam masa yang singkat boleh menyebabkan seseorang kehilangan 40% masa produktif.

 

Faktor yang mempengaruhi multitasking

Berbanding jantina, multitasking sebenarnya dipengaruhi oleh faktor-faktor lain. Salah satunya adalah sama ada kedua-dua (atau lebih) perkara yang dilakukan pada masa yang sama menggunakan proses otak yang sama atau berlainan. Jika proses otak yang berlainan digunakan dalam satu masa, individu akan menjadi lebih bagus dalam multitasking, seperti menyanyi (proses auditori) dan berbasikal (proses motor) dalam masa yang sama.

Selain itu, multitask turut dipengaruhi oleh pengalaman seseorang dalam melakukan sesuatu tugasan. Hal ini adalah kerana jika seseorang itu berpengalaman, perkara itu akan dilakukannya secara ‘automatik’. Otak akan mempunyai kapasiti berlebihan untuk memikiran perkara lain apabila melakukan perkara yang sudah berpengalaman. 

 

Wanita tidak lebih hebat multitasking

Kajian jelas menunjukkan bahawa wanita tidak lebih hebat dalam multitask berbanding lelaki. Pada masa yang sama, lelaki mungkin lebih beruntung berbanding wanita dalam melakukan concurrent multitask. Menurut seorang profesor neurosains di Massachusetts Institute of Technology, Earl K. Miller, stereotaip ini hanyalah mitos yang wujud kerana tanggapan terhadap wanita yang perlu melakukan beberapa perkara dalam satu masa. Hakikatnya, fokus pada satu-satu perkara adalah lebih efektif berbanding multitasking.


Rujukan:

1. https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0140371
2. https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0220150
3. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32933422
4. https://www.verywellmind.com/multitasking-2795003
5. https://www.apa.org/topics/research/multitasking
6. https://www.uu.nl/en/organisation/faculty-of-social-and-behavioural-sciences/are-women-better-at-multitasking-than-men
7. https://www.nbcnews.com/health/health-news/when-it-comes-multitasking-women-are-no-better-men-n1042306

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago