Benarkah Wanita Tidur Lebih Lama Berbanding Lelaki?

Benar
Benarkah Wanita Tidur Lebih Lama Berbanding Lelaki?

Orang dewasa memerlukan waktu tidur antara 7 hingga 9 jam setiap malam

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/04/2024 - Disunting : 01/04/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Wanita Tidur Lebih Lama Berbanding Lelaki?

Secara umumnya, orang dewasa memerlukan tidur antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam. Namun begitu, bagi sesetengah individu seperti mereka yang sedang pulih daripada masalah tidak cukup tidur dan orang sakit, tidur lebih daripada masa yang disarankan mungkin dapat membantu mereka.

Tempoh waktu tidur sehari juga bergantung kepada umur seseorang seperti berikut:

  • Bayi baru lahir kurang 4 bulan mempunyai waktu tidur yang amat berbeza
  • Bayi 4 bulan hingga 1 tahun: 12-16 jam
  • Kanak-kanak 1 hingga 2 tahun: 11-14 jam
  • Kanak-kanak 3 hingga 5 tahun: 10-13 jam
  • Kanak-kanak 6 hingga 12 tahun: 9-12 jam
  • Remaja 13 hingga 18 tahun: 8-10 jam

Namun begitu, terdapat beberapa dakwaan bahawa golongan wanita sebenarnya perlu tidur yang lebih lama, iaitu 9 hingga 10 jam, berbanding lelaki.

 

Tinjauan ke atas tempoh tidur lelaki dan wanita

Satu tinjauan telah dijalankan ke atas lebih 56,000 penduduk Amerika Syarikat antara 18 hingga 64 tahun bagi mengkaji perbezaan waktu tidur antara jantina. Ia juga mengkaji perkara yang dipercayai dapat menyebabkan perbezaan tersebut termasuk tanggungjawab kekeluargaan, pekerjaan dan tidur yang tidak terganggu disebabkan menjaga anak.

Dapatan menunjukkan bahawa secara puratanya wanita tidur selama 508 minit, iaitu 11 minit lebih lama berbanding lelaki (tempoh tidur 496 minit). Malah, wanita tidur lebih lama berbanding lelaki pada setiap peringkat perjalanan hidup.

Tinjaun juga mendapati bahawa para ibu (3%) lebih terganggu tidurnya untuk menjaga anak berbanding lelaki (1%). Selain itu, wanita lebih kerap tidur siang berbanding lelaki, dan lelaki lebih cenderung tidur antara tengah malam dan 4 pagi. 

Di samping itu, bagi kumpulan lelaki dan wanita yang muda, bujang dan tidak mempunyai anak, dapatan menunjukkan jurang jantina hanya dua minit berbanding purata 11 minit.

Para pengkaji turut meneliti jika individu yang mempunyai lebih tanggungjawab sama ada terhadap pasangan atau anak-anak mempunyai tempoh tidur yang berkurangan. Mereka mendapati lelaki dengan pasangan dan anak kecil tidur 13 minit kurang berbanding mereka yang muda, bujang dan tiada anak. Sebaliknya, tempoh tidur wanita yang mempunyai tanggungjawab yang sama hanya berkurangan sebanyak lima minit berbanding mereka yang bujang. 

Kredit gambar: William Fortunato/ Pexels

Selain itu, satu lagi kajian mendapati bahawa wanita mengalami ritma sirkadian dan melatonin yang lebih panjang berbanding lelaki, yang membuatkan mereka memerlukan masa tidur yang lebih lama. Melatonin adalah hormon dihasilkan pada waktu malam yang membantu waktu tidur, yang bermakna ritma melatonin lebih panjang menyebabkan waktu tidur lebih lama.

Perkara ini memberi kesan lebih teruk terhadap prestasi kognitif pada waktu malam bagi wanita berbanding lelaki. Ia juga dikaitkan dengan gangguan terhadap mood wanita dan merupakan dapatan yang penting dari segi prestasi kognitif wanita dalam melakukan kerja pada waktu malam.

 

Wanita lebih mudah mengalami masalah tidur

Menurut pakar perubatan tidur di Piedmont Healthcare, Dr Nagamalar Raju, wanita mempunyai masalah tidur yang lebih meluas berbanding lelaki. Berbanding lelaki, wanita mempunyai 40% kebarangkalian mengalami masalah sukar tidur atau insomnia. 

Malah, mereka lebih kerap mengalami simptom sindrom kaki gelisah atau ‘resting leg syndrome’ (RLS) ketika haid, mengandung dan dalam tempoh menyusukan anak.

Disebabkan oleh perubahan hormon dan fisiologi, wanita berumur mempunyai risiko lebih tinggi berhadapan dengan masalah tidur. Melebihi usia 50 tahun, wanita mempunyai risiko tinggi menghadapi apnea tidur, iaitu kerap berhenti bernafas ketika tidur. Satu per empat wanita berusia 65 ke atas berdepan risiko apnea tidur.

Kredit gambar: Cottonbro Studio/ Pexels

 

Kesan tidur yang tidak mencukupi

Walaupun orang dewasa disarankan agar tidur sekurang-kurangnya tujuh jam satu malam, masih ramai yang tidak mendapat tidur mencukupi. Perkara ini sebenarnya bukan sahaja tidak elok untuk kesihatan, tetapi ia dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, obesiti dan kemurungan.

Dalam satu kajian oleh Duke University Medical Center, tidur yang tidak berkualiti (diukur dari segi waktu tidur, kekerapan terjaga pada waktu malam dan masa yang diperlukan untuk seseorang tidur) dikaitkan dengan tekanan fisiologi yang lebih tinggi. Ia juga didapati menyebabkan aras penanda biologi tinggi yang dikaitkan dengan risiko penyakit jantung dan diabetes jenis 2. Kedua-dua kadar ini lebih tinggi dalam wanita berbanding lelaki.

Para penyelidik berkata dapatan itu merupakan bukti pertama yang menunjukkan kesan tidur terhadap kesihatan berdasarkan jantina.  Kajian itu menganggarkan bahawa tidur tidak berkualiti memberi kesan terhadap kesihatan yang lebih teruk bagi wanita berbanding lelaki.

Selain daripada masalah kesihatan, kurang tidur juga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya dan melakukan kesilapan semasa bekerja yang menyebabkan jumlah kecederaan dan kecacatan yang tinggi dalam setahun.

 

Wanita Tidur Lebih Lama Sedikit Berbanding Lelaki

Tiada kajian spesifik yang mengkaji waktu tidur yang diperlukan oleh wanita. Namun berdasarkan tinjauan, wanita secara umumnya tidur lebih lama sedikit berbanding lelaki, iaitu antara dua hingga 11 minit.

Dalam masa sama, wanita dilihat mempunyai risiko masalah tidur yang lebih tinggi berbanding lelaki, seterusnya berhadapan risiko masalah kesihatan lain. Malah, wanita juga mempunyai ritma sirkadian lebih panjang, yang mungkin mewujudkan keperluan waktu tidur lebih lama.


Rujukan:

1. https://www.nhlbi.nih.gov/health/sleep/how-much-sleep
2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4164903/
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4868418/
4. https://www.piedmont.org/living-real-change/do-women-need-more-sleep-than-men
5. https://www.sleepfoundation.org/insomnia/insomnia-women
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5028797/
7. https://www.cdc.gov/sleep/index.html
8. https://corporate.dukehealth.org/news/poor-sleep-more-dangerous-women

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 month ago