Benarkah Warganegara Malaysia Wajib Menguasai Bahasa Melayu Menurut Undang-undang?

Salah
Benarkah Warganegara Malaysia Wajib Menguasai Bahasa Melayu Menurut Undang-undang?

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata warganegara Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/12/2023 - Disunting : 07/12/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Benarkah Warganegara Malaysia Wajib Menguasai Bahasa Melayu Menurut Undang-undang?

Baru-baru ini, tular tentang satu kejadian di mana seorang warganegara Malaysia dipersoalkan oleh pegawai di pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), UTC Johor berkenaan permohonan pembaharuan pasportnya kerana tidak boleh berbahasa Melayu. 

Susulan dengan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan tersebut mungkin diambil kerana timbul syak wasangka mengenai status warganegara individu terbabit. Dalam masa yang sama, Saifuddin turut berkata warganegara Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu. Mari kita semak jika perkara ini benar menurut undang-undang.

 

Perlembagaan Persekutuan

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sememangnya termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Walaupun ia merupakan bahasa kebangsaan, namun ia tidak bermakna bahasa lain tidak boleh digunakan selain bagi tujuan rasmi, iaitu perkara berkaitan kerajaan, atau dipelajari oleh sesiapa. 

Malah, perlembagaan tidak menafikan hak Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa lain. Dalam pada masa yang sama, bahasa Inggeris masih boleh digunakan di dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta bagi perkara rasmi lain.

 

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67

Di samping itu, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menerangkan bahawa bahasa kebangsaan perlu digunakan bagi urusan rasmi. Perkara ini bermaksud penggunaan Bahasa Melayu secara umumnya diwajibkan dalam perkhidmatan awam. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengeluarkan pekeliling pemerkasaan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.

Bilangan 7 di dalam pekeliling ini menerangkan bahawa pegawai awam perlu menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi, sama ada secara lisan ataupun tidak. Malah, pada Mac 2022, kerajaan telah menetapkan supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan rasmi walaupun pada peringkat antarabangsa atau pada majlis yang dihadiri masyarakat luar negara.

 

Akta Pendidikan 1996

Kepentingan bahasa Melayu turut termaktub di dalam sistem pendidikan negara. Merujuk kepada Akta Pendidikan 1996, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu harus digunakan sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan di bawah Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun, sekolah jenis kebangsaan atau sebarang institusi pendidikan lain, seperti di bawah Seksyen 28, boleh dikecualikan daripada syarat ini oleh Menteri.

Walau bagaimanapun, institusi pendidikan yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama masih perlu menjadikan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib. Perkara ini turut terpakai bagi institusi pengajian tinggi swasta jika diarahkan oleh Menteri.

Menurut Datuk Mohamad Alamin sewaktu bertugas sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II pada 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu mewajibkan sekolah berdaftar di bawahnya, termasuk sekolah antarabangsa, untuk memasukkan bahasa kebangsaan ke dalam silibus pendidikannya. 

KPM juga pernah memaklumkan bahawa mengikut peraturan, sekolah antarabangsa boleh menggunakan kurikulum British, Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan International Baccalaureate, tetapi masih diwajibkan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu kepada pelajar tempatan. Pelajar tempatan juga wajib diajarkan subjek Sejarah, dan Pendidikan Islam untuk pelajar yang beragama Islam. 

 

Penggunaan Bahasa Melayu bagi urusan rasmi

Bagi maksud permohonan atau pembaharuan pasport, rujukan di laman web JIM mendapati bahawa tiada dinyatakan syarat perlu fasih berbahasa Melayu untuk melakukan sedemikian. Namun begitu, bagi individu yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan sama ada secara permohonan atau naturalisasi, salah satu syarat yang ditetapkan adalah mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai. 

 

Tiada undang-undang yang mewajibkan rakyat Malaysia menguasai Bahasa Melayu

Carian kami tidak menemui sebarang syarat-syarat atau undang-undang yang mewajibkan rakyat Malaysia untuk menguasai bahasa Melayu. Namun begitu, memandangkan ia wajib diajarkan di peringkat sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai pengetahuan asas tentang bahasa kebangsaan. Malah, bahasa kebangsaan secara umumnya digunakan bagi urusan rasmi di pejabat-pejabat kerajaan memandangkan terdapat keperluan penjawat awam memperkasakan bahasa Melayu.

Melalui kajian tentang warganegara oleh KDN, Saifuddin berkata bahawa terdapat sesetengah negara seperti Singapura dan United Kingdom yang meletakkan syarat kewarganegaraan memahami bahasa kebangsaan .


Rujukan:

1. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/12/04/menteri-pertahan-imigresen-tak-perbaharui-pasport-individu-tidak-fasih-bm/
2. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara152-Ma.Html
3. https://statics.scnu.edu.cn/pics/southeastasia/2020/0623/1592899077137008.pdf
4. https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/PO/Pentadbiran-dan-Pengurusan-Pejabat/10/#zoom=true
5. https://www.ums.edu.my/ppuu/images/AKTA_PENDIDIKAN_1996_AKTA_550.pdf
6. https://www.sinarharian.com.my/article/166277/berita/nasional/sekolah-antarabangsa-seliaan-kpm-mengajar-bahasa-melayu
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/629764/sekolah-antarabangsa-jadi-pilihan
8. https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/pasport/pasport-malaysia-antarabangsa/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago