Benarkah Zakat Fitrah Sunat Dibayar Sebelum Solat Sunat Aidilfitri Di Pagi Raya?

Benar
Benarkah Zakat Fitrah Sunat Dibayar Sebelum Solat Sunat Aidilfitri Di Pagi Raya?

Pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan bermula awal Ramadan sehingga 1 Syawal

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/04/2023 - Disunting : 19/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Zakat Fitrah Sunat Dibayar Sebelum Solat Sunat Aidilfitri Di Pagi Raya?

Bermula dari bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, rata-rata umat Islam akan mula membuat bayaran zakat fitrah. Hantaran kali ini akan menerangkan serba sedikit tentang zakat fitrah serta hukum membayar zakat fitrah mengikut waktu dalam bulan Ramadan dan Syawal.

 

Kewajiban mengeluarkan zakat fitrah

Umat Islam secara umumnya wajib membuat bayaran zakat fitrah setiap tahun Islam. Sejarah pembayaran zakat fitrah bermula sejak tahun kedua Hijrah apabila puasa di bulan Ramadan telah diwajibkan. Ia bertujuan untuk mensucikan diri sendiri di samping memberi makanan dan mencukupkan keperluan orang miskin bagi Hari Raya Aidilfitri. 

 

Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW di atas, individu wajib mengeluarkan zakat fitrah sekiranya dia beragama Islam, mampu mengeluarkan zakat fitrah dan telah masuk waktu membayar zakat. Malah, kewajiban ini bukan hanya tertakluk kepada orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak serta bayi yang baru lahir sebelum waktu berbuka puasa pada akhir Ramadan. 

Di samping itu, zakat fitrah juga wajib ke atas individu yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadan. Individu yang meninggal setelah terbenam matahari pada akhir Ramadan juga masih wajib dibayar zakat fitrah pada tahun itu bagi pihaknya.  

 

Zakat fitrah adalah ibadah badaniyyah iaitu ibadah yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu beragama Islam. Menurut Imam Syihabuddin al-Ramli (al-Ramli al-Kabir) di dalam hasyiahnya:

وَقَالَ الْبُلْقِينِيُّ لِأَنَّ الزَّكَاةَ عِبَادَةٌ بَدَنِيَّةٌ

Maksudnya: “al-Bulqini berkata, ini kerana zakat (fitrah) merupakan ibadah badaniyyah”

 

Hukum mengeluarkan zakat fitrah mengikut waktu

Mungkin ramai individu yang biasa membuat bayaran zakat fitrah apabila telah masuk bulan Ramadan. Namun begitu, hukum pembayaran zakat fitrah sebenarnya berubah mengikut waktu di dalam bulan Ramadan dan Syawal.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat lima waktu dan hukum berbeza berkaitan pembayaran zakat fitrah

 

Waktu harus

Apabila telah masuk awal Ramadan, hukum membayar zakat fitrah menjadi harus sehingga hujung bulan Ramadan. Perkara ini adalah berdasarkan kitab oleh Ibn Hajar yang menetapkan harus bagi pengeluar zakat, kecuali pemerintah, mempercepatkan bayaran zakat fitrah walaupun seawal malam pertama bulan Ramadan. 

 

Waktu wajib

Pembayaran zakat fitrah menjadi wajib bermula terbenamnya matahari pada akhir Ramadan berdasarkan nukilan oleh Sheikh ‘Abdullah Bafadhal:

وَتجب زَكَاة الْفطر بِشُرُوط إِدْرَاك غرُوب الشَّمْس لَيْلَة الْعِيد

Maksudnya: “Zakat fitrah diwajibkan dengan syarat melalui tenggelam matahari pada malam hari raya.” 

 

Waktu sunat

Bermulanya pagi Hari Raya Aidilfitri dan sebelum solat sunat hari raya, hukum pembayaran zakat fitrah adalah afdal atau sunat. Hal ini adalah kerana Rasulullah SAW telah mengeluarkan zakat sebelum mengerjakan solat sunat aidilfitri seperti di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya).” (Riwayat Bukhari)

 

Waktu makruh

Sekiranya pembayaran zakat fitrah ditangguh sehingga selepas solat sunat hari raya, hukumnya menjadi makruh memandangkan sunat mengeluarkan zakat sebelum solat sunat hari raya. Ibn Hajar al-Haitami berkata memandangkan zakat fitrah sunat dibayar sebelum solat sunat hari raya, maka sunat juga supaya tidak membayar zakat selepas solat sunat hari raya kerana ia menjadi makruh apabila dilewatkan.

 

Waktu haram

Jika zakat fitrah tidak dibayar hingga terbenam matahari pada 1 Syawal, hukumnya menjadi haram. Sheikh Zakaria al-Ansari menyatakan di dalam karangannya:

Maksudnya: “Haram melewatkan zakat selepas hari raya (aidilfitri) tanpa sebarang keuzuran seperti kehilangan hartanya atau hilang penerima zakat kerana zakat bertujuan untuk memenuhi tuntutan mereka. Wajib bagi orang yang melewatkan zakat itu menggantikannya serta-merta.”

Oleh itu, hukum pembayaran zakat fitrah yang sengaja dilewatkan adalah haram dan wajib digantikan zakat tersebut serta merta. Namun begitu, individu yang tidak berkemampuan dikecualikan sama sekali dan tidak perlu menggantikan zakat fitrah tersebut apabila telah mampu kelak. 

 

Tempat pembayaran zakat fitrah

Tidak seperti zakat pendapatan yang dibayar di negeri bekerja, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan zakat fitrah sebenarnya wajib dibayar di tempat seseorang individu itu berada apabila masuknya waktu wajib membayar zakat fitrah, iaitu bermula malam hari raya. 

Akan tetapi, perkara ini juga cenderung kepada pendapat ihtiyat, iaitu mengawalkan pembayaran zakat fitrah sehari dua. Oleh itu, jika ketika itu individu masih belum pulang ke kampung, elok jika pembayaran zakat fitrah dilakukan di tempat bekerja. Hal ini adalah kerana kepulangan ke kampung masih dalam bentuk dzan yang mempunyai kemungkinan tidak akan terjadi. 

 

Zakat fitrah sunat dibayar bermula pagi Hari Raya Aidilfitri dan sebelum solat sunat hari raya

Terdapat lima hukum membayar zakat fitrah mengikut waktu pengeluaran zakat fitrah dilakukan. Pembayaran zakat fitrah harus dilakukan seawal mulanya bulan Ramadan dan hukumnya wajib setelah terbenamnya matahari di hari terakhir Ramadan.

Walaupun begitu, lebih afdal jika zakat fitrah dibayar sebelum solat sunat hari raya pada 1 Syawal. Sebaliknya, jika pembayaran zakat fitrah dilewatkan sehingga selepas solat sunat hari raya, hukumnya menjadi makruh dan akan bertukar menjadi haram jika tidak diselesaikan sehingga habis 1 Syawal. 


Rujukan:

1. https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-fitrah/
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/5244-irsyad-al-fatwa-khas-ramadan-siri-ke-206-waktu-waktu-untuk-membayar-zakat-fitrah
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1977-35

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago