Bolehkah Pembesar Suara Luar di Masjid Digunakan Untuk Pelbagai Perkara?

Salah
Bolehkah Pembesar Suara Luar di Masjid Digunakan Untuk Pelbagai Perkara?

Penggunaan pembesar suara luar di masjid sering digunakan untuk tujuan lain selain daripada laungan azan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/08/2022 - Disunting : 12/08/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Bolehkah Pembesar Suara Luar di Masjid Digunakan Untuk Pelbagai Perkara?

Satu ciapan Twitter berkenaan penggunaan pembesar suara di surau telah tersebar baru-baru ini. Pengadu berkata surau di taman perumahannya menggunakan pembesar suara bukan sahaja untuk tujuan azan, tetapi turut digunakan ketika waktu solat, zikir dan ceramah. Dia merasakan perkara ini merupakan satu gangguan bunyi bagi masyarakat yang duduk di sekitar kawasan berkenaan. Ramai individu setuju dengan pengadu dan meminta pengadu untuk membuat laporan rasmi. Malah, beberapa hari lepas, seorang lelaki telah ditahan kerana mengamuk di sebuah surau yang menggunakan pembesar suara ketika kuliah Subuh.

 

Penggunaan pembesar suara 

Soalan berkenaan pembesar suara di surau atau masjid telah banyak dibincangkan sebelum ini. Ustaz Azhar Idrus di dalam ceramahnya, berkata penggunaan pembesar suara bertujuan untuk menyebarkan syiar Islam, yakni melalui azan, adalah diwajibkan. Malah, penggunaan tahap suara lebih kuat adalah lebih disyariatkan mengikut Islam. Penggunaan pembesar suara untuk tujuan lain seperti membaca al-Quran juga dibenarkan, dengan syarat ia tidak mengganggu orang ramai yang hidup di sekeliling. Maka, sekiranya sebarang aduan diterima, tahap pembesar suara perlulah direndahkan. 

Telah tertulis di dalam al-Quran supaya umat Islam bersederhana dalam membaca doa dan bersembahyang supaya tidak mengganggu jiran-jiran di sekeliling. Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah al-Isra’ ayat 110, “Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.” Oleh itu, AJK masjid perlu meninjau keadaan penduduk sekeliling sekiranya ingin menggunakan pembesar suara bagi tujuan selain azan.

Masjid Rasulullah SAW yang digelar al-Nabawi. Kredit gambar: Sulthan Auliya/ Unsplash

Mufti Perlis, Prof. Dato’ Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin (Dr Maza) berkata larangan suara yang kuat ketika membaca al-Quran telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW sendiri. Di dalam riwayat Abu Daud, Abu Sa’id al-Khudri berkata:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat”

Ternyata bahawa Rasullullah SAW melarang bacaan al-Quran di dalam masjid dengan suara kuat yang mengganggu orang lain menjalankan ibadah, apatah lagi penggunaan pembesar suara dengan tahap suara lebih tinggi. Berdasarkan hadis di atas juga, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h, seorang ulama tersohor, berkata lebih afdal jika tidak menggunakan pembesar suara ketika menunaikan solat. Hal ini adalah kerana ia boleh mengganggu orang lain di luar masjid atau surau yang mungkin memerlukan rehat, mempunyai anak kecil dan sebagainya.

 

Larangan penggunaan pembesar suara untuk tujuan lain

Pada 16 Oktober 2017, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah mengeluarkan titah bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja. Selain daripada tujuan azan, pembesar suara luar pula hanya boleh digunakan untuk bacaan al-Quran seketika sebelum azan dilaungkan. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kemudiannya telah mengeluarkan arahan berkenaan pada 23 Oktober 2017. Berkenaan lelaki yang ditahan di awal hantaran ini, JAIS akan melakukan siasatan lanjutan terhadap surau mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No 9 Tahun 1995 kerana disyaki telah melanggar titah Tuanku atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam Selangor

Kredit gambar: Engin Akyurt/ Unsplash

Larangan penggunaan alatan seperti pembesar suara untuk hal selain laungan azan bukanlah perkara yang baru. Memetik kenyataan seorang ulama silam, Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi: 

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”.

Jelas bahawa ulama zaman dahulu turut melarang bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid kerana ia merupakan sesuatu perkara yang boleh mengganggu orang ramai.

 

Pembesar suara luar hanya untuk tujuan azan

Mengikut undang-undang yang ditetapkan, penggunaan pembesar suara luar di masjid atau surau untuk tujuan lain selain azan adalah tidak dibenarkan. Pembesar suara sepatutnya digunakan untuk tujuan azan selaras dengan ketika zaman awal Islam, yang mana Bilal bin Rabah melaungkan azan untuk memanggil orang ramai ke masjid ketika waktu solat. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa Islam menuntut untuk umatnya menunaikan ibadah tanpa mengganggu penduduk di sekitar demi menjaga keharmonian masyarakat. 

 


Rujukan:

1. https://www.buzzkini.com/trending/2022/08/10/ganggu-tarik-mikrofon-penceramah-semasa-kuliah-subuh-lelaki-di-ampang-ditahan/
2. https://www.youtube.com/watch?v=YUA1xW_YtgY
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3192-al-kafi-1147-menggunakan-pembesar-suara-untuk-tujuan-selain-azan
4. https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/463-hukum-bacaan-kuat-selain-azan-yang-mengganggu-orang-lain
5. https://www.utusan.com.my/berita/2022/08/masjid-surau-dilarang-guna-pembesar-suara-luar-ketika-sesi-ceramah-kuliah/
6. https://www.buzzkini.com/news/2022/08/11/tular-lelaki-mengamuk-dakwa-kuliah-subuh-bising-jais-jelaskan-penggunaan-pembesar-suara-di-luar-dilarang-sejak-2017/
7. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3550-al-kafi-1319-benarkah-lafaz-azan-diketahui-melalui-mimpi-sahabat-nabi-saw
8. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3192-al-kafi-1147-menggunakan-pembesar-suara-untuk-tujuan-selain-azan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 4 months ago