Adakah Hak Warganegara Bagi Anak Sama Antara Lelaki dan Wanita di Malaysia?

Salah
Adakah Hak Warganegara Bagi Anak Sama Antara Lelaki dan Wanita di Malaysia?

Pada 9 September 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan kewarganegaraan secara kuasa undang-undang diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/06/2022 - Disunting : 16/06/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Hak Warganegara Bagi Anak Sama Antara Lelaki dan Wanita di Malaysia?

Wanita sejak dahulu lagi sering menghadapi diskriminasi dalam pelbagai bentuk berbanding kaum lelaki. Di Malaysia, terdapat banyak gerakan dan persatuan yang memperjuangkan hak wanita untuk mendapatkan hak sama rata dalam pelbagai konteks. Seringkali, perjuangan hak sama rata wanita dikritik atas alasan wanita di Malaysia dikatakan menikmati hak yang sama dengan lelaki, malah lebih lagi. Tetapi benarkah dakwaan yang dikatakan? Hantaran kali ini akan meneliti hak warganegara yang diberikan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara.

Menurut Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan, sebarang bentuk diskriminasi terhadap mana-mana jantina adalah dilarang dalam mana-mana undang-undang Malaysia. Walau bagaimanapun, Jadual Kedua yang dibaca bersama Perkara 14(1)(b) jelas bercanggah dengan Perkara 8(2). Jadual Kedua mempunyai sifat mendiskriminasi apabila hanya menggunakan perkataan ‘bapa’ sebagai warganegara untuk merujuk kepada hak warganegara melalui kuasa undang-undang bagi anak yang dilahirkan di luar negara.

Sudah tentu wanita mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendaftar kewarganegaraan anak kelahiran luar negara seperti yang termaktub dalam Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, sehingga 26 Oktober 2021, hanya 21 orang kanak-kanak yang telah diberikan hak warganegara daripada 2,353 permohonan sejak tahun 2018, dengan 99% daripadanya masih belum diproses. Pada masa yang sama, tiada sebarang penerangan diberikan oleh JPN bagi permohonan yang telah ditolak. Situasi ini sepertinya tidak dihadapi oleh bapa warganegara Malaysia, yang mana permohonan bagi kewarganegaraan anak akan diluluskan dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Kredit gambar: Jabatan Pendaftaran Negara

Enam orang ibu, dengan sokongan Family Frontiers, telah mengemukakan sebuah saman terhadap kerajaan Malaysia berkenaan polisi yang terbabit. Mereka menghadapi kesukaran dalam mendapatkan hak warganegara bagi anak-anak mereka hanya kerana mereka terpaksa, kebanyakannya atas dasar kesihatan, melahirkan anak-anak di luar negara. Ia disambut baik oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang kemudiannya membenarkan kewarganegaraan secara undang-undang diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu Malaysia bersama pasangan bukan Malaysia, pada 9 September 2019. Hakim bagi perbicaraan tersebut, Datuk Akhtar Tahir, bersetuju bahawa diskriminasi terhadap wanita adalah jelas di dalam perkara ini. Beliau berkata, perenggan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama-sama Perkara 8(2), serta perkataan ‘bapa’ yang tertera di dalam Perenggan Kedua sepatutnya merujuk kepada ‘ibu’ juga.

 

Wanita Malaysia tidak mendapat hak yang sama dengan lelaki berkenaan kewarganegaraan anak

Walau bagaimanapun, pada 14 September 2019, kerajaan Malaysia telah membuat rayuan supaya keputusan ini ditarik semula oleh Mahkamah Tinggi. Perkara ini mendapat tentangan oleh orang ramai dan turut diberi perhatian oleh Sultan Johor Ibrahim Iskandar yang mempersoalkan jika wanita di Malaysia mempunyai taraf yang lebih rendah berbanding lelaki. Bekas timbalan menteri Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh, turut merasakan kerajaan gagal dalam memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak di Malaysia. Berdasarkan undang-undang yang termaktub serta pengalaman dikongsi oleh para ibu berkaitan kes ini, jelas bahawa wanita di Malaysia tidak mempunyai hak sama rata dengan lelaki dalam hal berkaitan hak warganegara anak.

Rentetan daripada isu di atas, kami di Malaysia Bersuara telah mengemukakan petisyen untuk meminta kerajaan memberikan hak warganegara secara kuasa undang-undang kepada kanak-kanak kelahiran ibu warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara. Malaysia Bersuara berharap dengan sokongan orang ramai, petisyen tersebut dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi dan direalisasikan.


Rujukan:

1. Malaysia (2006). Perlembagaan Persekutuan: (mengandungi pindaan terkini - Akta 1260/2006)
2. https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf
3. https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-mothers-citizenship-children-born-abroad-2518226
4. https://www.therakyatpost.com/news/malaysia/2021/09/09/kl-high-court-rules-malaysian-mothers-can-now-confer-citizenship-to-children-born-abroad/
5. https://www.therakyatpost.com/news/2021/09/15/malaysian-womens-rights-betrayed-by-governments-appeal-against-child-citizenship-suit/
6. https://says.com/my/news/johor-sultan-stands-up-for-the-right-of-mums-to-pass-citizenship-to-children-born-overseas
7. https://www.facebook.com/hannahyeoh/posts/387179772775036

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago