Perlukah Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s diboikot dalam usaha menentang Israel?

Salah
Perlukah Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s diboikot dalam usaha menentang Israel?

Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah mengeluarkan sebuah kenyataan berkenaan kempen boikot produk syarikat yang menyokong Israel.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/06/2022 - Disunting : 14/06/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Perlukah Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s diboikot dalam usaha menentang Israel?

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pada 19 Mei 2021, telah mengeluarkan sebuah kenyataan berkenaan kempen boikot produk syarikat yang menyokong Israel. Di dalam kenyataannya, PPIM menyasarkan empat syarikat iaitu Coca-cola, Starbucks, Puma dan Hewlett-Packard (HP). Walau bagaimanapun, kenyataan di laman Facebook Boycott, Divestment & Sanctions (BDS) Malaysia pada 15 Mei 2021, tidak menyasarkan Coca-cola dan Starbucks sebagai produk yang harus diboikot dalam memberi tekanan kepada pihak Israel.

BDS adalah sebuah gerakan dengan cawangan di beberapa negara yang memperjuangkan kemerdekaan, keadilan dan hak sama rata Palestin. BDS sendiri menegaskan bahawa Starbucks tidak seharusnya diboikot. Pada masa yang sama, BDS menyatakan McDonald’s bukan sasaran utama boikotnya. Ia hanya menyasarkan syarikat yang secara langsung jelas menyokong gerakan Israel. Oleh itu, hantaran ini akan mengenal pasti jika Coca-cola, Starbucks dan McDonald’s sememangnya menyokong gerakan Israel ataupun sebaliknya.

 

Starbucks

Starbucks merupakan salah satu syarikat kopi yang terkemuka dan mempunyai lebih daripada 300 cawangan di Malaysia. CEO Starbucks, Howard Schultz, dituduh memberikan sumbangan kewangan kepada pihak tentera Israel. Dia dikatakan telah menerima anugerah dari Israel atas tindakannya. “The Israel 50th Anniversary Tribute Award” sebenarnya telah dianugerahkan oleh Tabung Aish Ha-Torah Jerusalem pada 1998 atas peranannya dalam “mendorong kerjasama rapat antara Amerika Syarikat dan Israel”.

Şahin Sezer Dinçer/ Pixabay

Malahan, Starbucks tidak mempunyai sebarang cawangan di Israel setelah mereka menghentikan operasi sepenuhnya pada 2003 atas alasan “cabaran pengendalian”. Dalam perkongsian di laman web Starbucks berkenaan syarikat tersebut di Timur Tengah, Starbucks menegaskan ia tidak memberikan sebarang sumbangan kewangan kepada kerajaan mahupun tentera Israel, dan bahawa ia perlu melaporkan sebarang pemberian korporat. Agensi Aqsa Syarif turut menegaskan bahawa mereka tidak pernah menyasarkan Starbucks dan berpendapat tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan Starbucks dengan Israel.

 

Coca-Cola

Coca-Cola Malaysia turut terkesan dengan gerakan anti-Israel dan boikot di Malaysia. Ia merasakan usaha boikot terhadapnya terjadi disebabkan oleh maklumat yang salah dan ketidakfahaman mengenai operasi Coca-Cola. Menurutnya, proses pembuatan dan pembotolan dijalankan secara tempatan dan dilakukan oleh rakyat tempatan. Walaupun ia merupakan jenama antarabangsa, Coca-Cola Company (United Kingdom) turut mengesahkan bahawa setiap negara bertanggungjawab atas pemprosesan mereka sendiri. Oleh itu, sebarang gerakan boikot terhadap Coca-Cola hanya akan menjejaskan perniagaan Coca-Cola di peringkat tempatan.

Kredit gambar: Jeanson Wong/ Unsplash

Tambahan pula, cawangan Coca-Cola telah dibuka di Palestin dan beroperasi sejak 1998. Pemiliknya, Zahi Khouri, merupakan seorang Palestin yang menentang penjajahan Israel dan menyokong gerakan BDS. Coca-Cola Company turut diancam saman oleh Israel kerana penglibatan Zahi Khouri dan meminta Coca-Cola memutuskan hubungan dengannya. Coca-Cola Palestin, melalui National Beverage Company (NBC) merupakan majikan ketiga terbesar di Palestin yang telah secara langsung menggaji 400 orang pekerja. Kenyataan di dalam laman web rasmi Coca-Cola Company menjelaskan ia tidak menyokong atau menyumbang sebarang dana kepada pihak tentera Israel atau mana-mana negara lain.

 

McDonald’s

McDonald’s juga sering dikaitkan dengan Israel dan menjadi sasaran untuk diboikot. McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) kini dimiliki 90% oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi, dan baki 10% oleh seorang rakyat tempatan. Ia telah mengeluarkan kenyataan di laman web rasmi bahawa ia “tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara”. Di dalam kenyataannya, McDonald’s Malaysia menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan fitnah tersebut.

Gerakan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi setelah bertemu dengan pihak atasan McDonald’s Malaysia pada 2018. Ia memperakui supaya McDonald’s Malaysia tidak lagi diboikot dan supaya orang ramai tidak menularkan kenyataan lama MyCARE. Setakat ini, tiada sebarang kenyataan oleh gerakan-gerakan hak asasi manusia Malaysia yang menyasarkan McDonald’s.

Kredit gambar: Brett Jordan/ Unsplash

Di samping kenyataan di atas, Israel sendiri pernah memboikot McDonald’s di Israel. McDonald’s dituduh menentang penempatan Israel di Tebing Barat kerana enggan membuka cawangan di pusat membeli-belah Ariel pada tahun 2013. Apabila McDonald’s Israel dihubungi untuk mendapatkan kenyataan, ia hanya menjawab ringkas bahawa polisi McDonald’s adalah untuk tidak membuka cawangan melintasi sempadan Green Line, di tanah jajahan Israel. Pengerusi Jewish Home Party turut menunjukkan sokongan terhadap Burger Ranch, pesaing McDonald’s yang bersetuju membuka cawangan di Ariel.

 

Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s Malaysia tidak seharusnya diboikot

Melalui hasil carian, jelas ketiga-tiga cawangan Malaysia ini tidak memberikan sumbangan secara langsung kepada pihak Israel. Malahan, di peringkat antarabangsa sekalipun, tiada sebarang bukti bahawa ketiga-tiga syarikat ini cenderung menyokong Israel secara politik dan ekonomi. Sebarang usaha boikot yang dilakukan di Malaysia hanya akan menjejaskan sumber pendapatan cawangan tempatan dan pekerja-pekerja Malaysia yang bekerja dengan syarikat yang berkaitan.


Rujukan:

1. https://www.ppim.org.my/lumpuhkan-ekonomi-zionis-kempen-boikot-coca-cola-strabucks-puma-hp-ppim-samudera-my-18-05-2021/
2. https://www.facebook.com/BDSlist/posts/1050969674988956
3. https://www.jewishvirtuallibrary.org/howard-schultz
4. https://stories.starbucks.com/press/2014/facts-about-starbucks-in-the-middle-east/
5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/boikot-cocacola-hanya-akan-jejaskan-pekerja-tempatan-298811
6. https://www.mycare.org.my/mycare-tidak-lagi-mensasarkan-mcdonalds-malaysia-di-dalam-kempen-boikot/
7. https://www.coca-cola.co.uk/our-business/faqs/does-coca_cola-transfer-profits-or-funds-to-israel–
8. https://malaysia.news.yahoo.com/coca-cola-touts-palestinian-employment-045900579.html
9. https://www.timesofisrael.com/israeli-ngo-threatens-to-sue-coca-cola-over-palestinian-partners-bds-support/
10. https://www.coca-cola.co.uk/our-business/faqs/does-coca_cola-transfer-profits-or-funds-to-israel–
11. https://www.mcdonalds.com.my/company/news/kenyataan-rasmi-mcdonalds-malaysia-membongkar-tohmahan-tidak-berasas
12. https://www.mycare.org.my/mycare-tidak-lagi-mensasarkan-mcdonalds-malaysia-di-dalam-kempen-boikot/
13. https://www.timesofisrael.com/how-mcdonalds-took-the-same-stance-as-ben-jerrys-but-avoided-public-backlash/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago