Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia?

Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia?

Masih timbul kekeliruan mengenai penggunaan istilah ‘Bahasa Melayu’ atau ‘Bahasa Malaysia’

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/12/2023 - Disunting : 12/12/2023

Petition to

Bahasa Melayu Atau Bahasa Malaysia?

Perdebatan mengenai penggunaan istilah ‘Bahasa Melayu’ dan ‘Bahasa Malaysia’ telah sekian lama berlaku dalam kalangan masyarakat. Setelah satu kejadian tular berkenaan seorang rakyat Malaysia yang mengaku tidak boleh berbahasa Melayu, begitu juga perbincangan mengenai pemilihan istilah tersebut. Artikel kali ini akan menerangkan serba sedikit mengenai kedua-dua istilah tersebut serta sejarah dan kritikan ke atas penukarannya.

 

Bahasa kebangsaan Malaysia

Rata-rata setiap negara mempunyai bahasa kebangsaannya yang tersendiri. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahasa kebangsaan merujuk kepada bahasa yang diterima dan digunakan secara meluas oleh penduduk setempat dan boleh merangkumi beberapa bahasa atau loghat. 

Seperti yang semua sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan mengenai bahasa kebangsaan. Berdasarkan Perkara 152(1), bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. 

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah menyatakan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) kerana turut digunakan di beberapa negara jiran. Ismail Sabri berkata, bahasa Melayu merupakan induknya, dengan cabang-cabang seperti Melayu-Malaysia, Melayu-Indonesia, Melayu-Brunei, Melayu-Singapura dan Melayu-Selatan Thailand.

 

Kemunculan istilah Bahasa Malaysia

Penggunaan istilah bahasa Malaysia yang menggantikan bahasa Melayu boleh dikaitkan dengan penubuhan Malaysia. Ia mula digunakan secara meluas selepas peristiwa 13 Mei 1969 dalam liputan akhbar ketika itu. Kemudian, pada tahun 1986, istilah ‘Bahasa Malaysia’ ditukar semula kepada ‘Bahasa Melayu’.

Namun begitu, kabinet telah mengarahkan penggunaan istilah ‘Bahasa Malaysia’ bagi menggantikan ‘Bahasa Melayu’ pada 4 Jun 2007. Arahan ini dikenakan terhadap kementerian dan pusat pengajian tinggi supaya menggunakan istilah baharu ‘Bahasa Malaysia’ dalam sebarang surat-menyurat, notis dan dokumen. Arahan itu dikatakan bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia ketika itu, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan penggunaan istilah ‘Bahasa Malaysia’ adalah muktamad.

Malah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Timbalan Menteri ketika itu berkata tujuan penukaran istilah itu adalah demi menunjukkan bahasa itu milik semua kaum di Malaysia. 

 

Tidak bersetuju dengan istilah Bahasa Malaysia

Walaupun kerajaan ketika itu telah mengarahkan penggunaan istilah ‘Bahasa Malaysia’, banyak pihak tidak bersetuju dengan keputusan itu. Pada tahun 2015, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Profesor Abdul Latiff Abu Bakar, mencadangkan supaya kerajaan menukar semula istilah tersebut kepada ‘Bahasa Melayu’. Katanya, kedudukan bahasa Melayu seolah-olah tidak didaulatkan di negara.

Pada tahun yang sama, permohonan supaya istilah ‘Bahasa Melayu’ tidak digantikan dinyatakan dalam Warkah Rayuan kepada Perdana Menteri Malaysia yang ditulis oleh Profesor Emeritus Abdullah Hassan dan Datuk Zainal Abidin Borhan, mewakili 34 persatuan berkaitan pendidikan dan bahasa. Hujah yang digunakan adalah kerana Bahasa Melayu menghimpunkan maklumat sejarah, budaya dan sastera selama lebih 2,000 tahun, manakala Bahasa Malaysia baru diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1969. 

DBP pernah menjawab persoalan ini melalui hantaran di akaun Facebook. Menurutnya, istilah yang betul ialah bahasa Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. DBP berkata penggunaan istilah bagi tujuan ilmu sepatutnya menggunakan ‘bahasa Melayu’ kerana ia disandarkan kepada peradaban Melayu.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, seorang tokoh bahasa berkata tidak wujud istilah ‘Bahasa Malaysia’ dari sudut pandang seorang ahli bahasa. Sebaliknya, ‘Bahasa Malaysia’ digunakan sebagai istilah politik untuk mencapai perpaduan. Katanya lagi, bahasa Melayu boleh dikategorikan kepada dua, iaitu bahasa yang digunakan secara meluas di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, serta sebagai bahasa kebangsaan di negara-negara Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Di Indonesia, istilah tersebut ditukarkan kepada ‘Bahasa Indonesia’ juga atas dasar perpaduan.

Di samping itu, Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata konsep Bahasa Melayu adalah luas. Ia mempunyai dialek yang pelbagai yang berbeza bagi setiap negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Thailand, dan Malaysia sendiri. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa ‘Bahasa Malaysia’ merujuk kepada salah satu dialek Bahasa Melayu.

Seorang pakar bahasa Melayu, Professor Emeritus Datuk Asmah Omar, menegaskan bahawa istilah ‘Bahasa Melayu’ tidak seharusnya diubah menjadi ‘Bahasa Malaysia’ . Katanya, suatu bahasa itu penting kerana ia menceritakan sejarah, latar belakang etnik dan ‘lama-waktu’ (time-depth) penggunaannya. Penggantian istilah bagi suatu bahasa boleh menyebabkan sejarah tenggelam seperti yang berlaku pada nama ‘Tasik Melayu’ yang digantikan dengan ‘Selat Melaka’.

 

Mana satu lebih tepat?

Menurut jawapan yang diberikan oleh DBP, istilah rasmi yang harus digunakan adalah ‘Bahasa Melayu’ memandangkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak diubah untuk memasukkan istilah ‘Bahasa Malaysia’. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, rujukan kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia boleh menggunakan kedua-dua istilah tersebut.

Sebagai tambahan, apabila kami membuat carian mengenai kursus Bahasa Malaysia, hanya kursus Bahasa Melayu yang dipaparkan seperti melalui laman web DBP. Kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi juga disebut sebagai Bahasa Melayu berbanding Bahasa Malaysia. Malah, carian di media sosial dan temu bual mendapati buku teks di sekolah turut menggunakan istilah Bahasa Melayu.

Baca Juga: Benarkah Warganegara Malaysia Wajib Menguasai Bahasa Melayu Menurut Undang-undang?


Rujukan:

1. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara152-Ma.Html
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bukan-bahasa-malaysia-tapi-bahasa-melayu-sebagai-bahasa-pengantar-asean-pm-362536
3. https://journal.unisza.edu.my/apj/index.php/apj/article/download/152/150/
4. https://www.malaysiakini.com/news/68136
5. https://relevan.com.my/2022/09/19/mana-satu-yang-tepat-bahasa-melayu-atau-bahasa-malaysia/#google_vignette
6. https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/04/942682/pada-asasnya-bahasa-indonesia-adalah-bahasa-melayu
7. https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/05/958132/sejarah-bahasa-melayu-akan-lenyap-jika-diganti-nama-lain
8. http://prpmv1.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kabinet&d=10

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago