Ini Kesan Kejatuhan Nilai Ringgit Terhadap Ekonomi Negara

Ini Kesan Kejatuhan Nilai Ringgit Terhadap Ekonomi Negara

Kemerosotan kadar pertukaran mata wang tempatan berbanding Dolar Amerika Syarikat memberi impak terhadap ekonomi negara

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/03/2024 - Disunting : 01/03/2024

Petition to

Ini Kesan Kejatuhan Nilai Ringgit Terhadap Ekonomi Negara

Pada 22 Februari 2024, mata wang tempatan telah mencecah kadar pertukaran terendah berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) sejak Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 iaitu RM4.7925 per setiap USD.

Namun selepas seminggu, kadar pertukaran mata wang ringgit berbanding USD menunjukkan peningkatan, dengan anggaran mencecah RM4.20 hingga RM4.40 per USD. Perkara ini adalah bergantung kepada keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) untuk menurunkan kadar faedahnya.

Baca Juga: Ringgit Malaysia Dijangka Cecah 4.20 Hingga 4.40?

 

Keburukan kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia

Berikutan kejatuhan mata wang negara, orang ramai mula mempersoalkan kesan buruknya terhadap ekonomi tempatan.

Pelaburan asing merosot

Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata keadaan ini akan mempengaruhi keyakinan pelabur, sekaligus memberi kesan terhadap aliran keluar masuk wang.

Dalam meminta jawapan kepada faktor kejatuhan nilai ringgit daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri, Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil turut menyatakan bahawa keadaan itu menjadi punca tahap pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia merosot. Katanya, ia menunjukkan pengurangan sebanyak 47% iaitu daripada RM74.5 billion kepada RM39.5 billion sepanjang setahun di bawah pentadbiran kerajaan.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, data terkini menunjukkan bahawa nisbah milikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) telah merosot ke paras 33.8% dan 9.3% masing-masing setakat Januari, berbanding 36.6% dan 10.2% pada Julai 2023 .

Namun dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim berkata negara menunjukkan rekod pelaburan baharu, dengan kadar inflasi dan pengangguran yang berkurangan.

“Kalau keyakinan (pelabur) itu kurang kerana ringgit, ia tidak akan ada pelaburan tertinggi ini dalam sejarah,” kata beliau.

 

Peningkatan kos import barangan

Di samping itu, Pensyarah Kanan Perbankan Islam dan Kewangan di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kenaikan dalam kos import barangan. Perkara ini sekaligus akan menyebabkan peniaga meningkatkan harga barangan untuk menampung kos kenaikan harga import.

Katanya, rakyat yang terpaksa berbelanja lebih akan mengurangkan simpanan di institusi perbankan negara. Seterusnya, sektor perbankan akan turut terkesan akibat daripada “jumlah deposit yang semakin menurun menyebabkan secara tidak langsung aset bagi perbankan juga akan menurun”.

Selain itu, peningkatan harga bagi barangan import turut berkemungkinan menyebabkan inflasi.

 

Nilai barangan eksport berkurangan

Tambah Mohd Faisol, nilai barangan yang dieksport ke luar negara juga berkurang berikutan kadar mata wang negara yang menyusut berbanding USD. Malah, syarikat dan peniaga juga perlu menanggung kos mengeksport yang semakin meningkat. 

 

Kos sara hidup meningkat

Kenaikan kos import pasti akan meningkatkan harga barangan, sekaligus akan memberi impak perbelanjaan penduduk tempatan. Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan bahawa kejatuhan nilai mata wang akan meningkatkan kos sara hidup rakyat terutamanya bagi harga barangan makan import. 

Katanya juga, perkara ini lebih merisaukan memandangkan nilai ringgit menghadapi penurunan yang paling banyak berbanding negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

 

Pengurangan kuasa beli di luar negara

Selain daripada memberi impak terhadap rakyat di dalam negara, kemerosotan nilai ringgit turut menyebabkan kuasa beli rakyat atau melancong di luar negara berkurang. Mereka harus mengeluarkan perbelanjaan yang lebih ekoran penukaran kadar mata wang rendah hanya akan memberikan wang asing yang sedikit.

Perkara ini juga melibatkan mahasiswa yang menyambung pelajaran di luar negara. Jumlah wang pinjaman, bantuan atau biasiswa yang diterima akan mengecil serta menyebabkan mereka terbeban dengan yuran pengajian dan kos sara hidup.

 

Kesan baik kejatuhan nilai ringgit

Walaupun banyak impak negatif yang boleh terjadi daripada kejatuhan kadar pertukaran mata wang tempatan terhadap USD, terdapat juga beberapa kesan baiknya.

Mohd Faisol berkata keadaan ini boleh meningkatkan jumlah eksport negara kerana permintaan tinggi berikutan harga barangan lebih murah berbanding negara-negara lain. Ia akan memberi manfaat kepada syarikat dan peniaga yang mengeksport barangan mereka ke luar negara.

Selain itu, dia juga berkata Malaysia juga akan menjadi antara destinasi utama pelancong dengan kadar mata wangnya yang murah, di samping terdapat pelbagai destinasi menarik untuk dikunjungi.

 

Harga ubat-ubatan tidak terkesan

Dalam pada itu, walaupun harga barangan import dilihat boleh meningkat akibat nilai mata wang yang merudum, perkara ini tidak memberi impak terhadap harga ubat-ubatan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad, ini adalah kerana kerajaan sebelum ini telah membuat pembelian awal beberapa jenis ubat-ubatan. Katanya, pembelian tersebut dibuat menggunakan kaedah ‘hedging’, iaitu kaedah kewangan bagi mengelak daripada impak mata wang yang sentiasa berubah. Menerusi kaedah tersebut, kerajaan telah membeli ubat-ubatan lebih awal dengan harga yang ditetapkan (lock).

Baca Juga: Ini Faktor Yang Menyebabkan Nilai Mata Wang Ringgit Menyusut Berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD)


Rujukan:

1. https://www.sinarharian.com.my/article/220334/berita/nasional/kejatuhan-ringgit-beri-kesan-kepada-import-eksport
2. https://www.sinarharian.com.my/article/650645/berita/nasional/pm-jemaah-menteri-perlu-beri-jawapan-kejatuhan-nilai-ringgit
3. https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2024/02/1214827/ringgit-susut-ke-paras-terendah-26-tahun-berbanding-dolar
4. https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2024/ekonomi/Bab-3.pdf
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1215792/anwar-jelaskan-prestasi-ringgit-tak-boleh-samakan-dengan-keadaan#google_vignette
6. https://www.hmetro.com.my/bisnes/2023/06/980452/implikasi-negatif-kepada-ekonomi
7. https://malaysiagazette.com/2024/03/01/nilai-ringgit-jatuh-beri-kesan-kos-sara-hidup-rakyat-penganalisis-ekonomi/
8. https://www.kosmo.com.my/2024/02/24/nilai-ringgit-jatuh-beri-kesan-minimum-pembelian-ubatan-luar-negara/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 months ago