Adakah Banjir Pada Bulan November di Malaysia Perkara Biasa?

Benar
Adakah Banjir Pada Bulan November di Malaysia Perkara Biasa?

Beberapa tempat di Selangor telah mula dilanda banjir pada 17 November 2022

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 17/11/2022 - Disunting : 17/11/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Banjir Pada Bulan November di Malaysia Perkara Biasa?

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), pada awal September 2022, meramalkan bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir pada pertengahan November. Menurut Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, taburan hujan akan meningkat disebabkan oleh La Nina yang dijangka berterusan sehingga awal tahun depan. Walau bagaimanapun, sekitar akhir September 2022, METMalaysia kemudiannya mengatakan bahawa terlalu awal untuk meramal cuaca yang boleh mengakibatkan banjir besar.

Terkini, METMalaysia telah mengeluarkan sebuah amaran ribut petir di Semenanjung Malaysia pada 16 November 2022. Sehubungan dengan itu, beberapa tempat di Selangor seperti di Klang, Shah Alam dan Bangi, telah mula dilanda banjir pada tengah malam itu.

 

Fenomena Monsun Timur Laut dan banjir pada November

Malaysia mempunyai dua monsun, iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari Mei hingga September, dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac. Monsun Timur Laut, juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, berlaku apabila angin merentasi Laut China Selatan dan mengakibatkan hujan lebat di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia, pantai barat Sarawak dan pantai timur Sabah. 

Banjir di Malaysia lebih kerap berlaku sekitar bulan November hingga Januari semasa waktu puncak Monsun Timur Laut. Utara Semenanjung Malaysia telah dilanda sebuah banjir besar pada tahun 2010. Banjir tersebut yang berlaku pada awal November 2010 telah menenggelamkan sebahagian besar negeri Perlis dan Kedah. Daerah Kubang Pasu di Kedah paling teruk terjejas kerana banjir dan lebih kurang 50,000 orang penduduk Kedah terpaksa dipindahkan ke beratus pusat pemindahan banjir

Kredit gambar: Kelab Info Malaysia/ Facebook

Pada tahun 2020, banjir telah melanda sebahagian besar Semenanjung Malaysia termasuk Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka, Pahang, dan Johor sekitar akhir November. Sebelum itu, Jabatan Meteorologi Kelantan telah membuat ramalan bahawa Kelantan akan dilanda banjir pada 14 hingga 16 November akibat hujan lebat monsun dan kejadian air pasang besar. Rabiah Al Adawiyah Zakaria, Pengarah jabatan itu berkata fenomena Perigee dan bulan baru yang berlaku pada masa yang hampir sama boleh menyebabkan air pasang lebih tinggi.

Kredit gambar: Kedah Version/ Facebook

Menurut Laporan Banjir Tahunan 2020, bencana banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak berlaku kerana hujan lebat pada November hingga Disember 2020. Di samping itu, banjir di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat berkeamatan tinggi serta jumlah kawasan pesat membangun yang tinggi. 

Tahun lepas pula, Semenanjung Malaysia dilanda banjir yang disifatkan sebagai ‘banjir seratus tahun’ pada bulan Disember. Sebelum itu, METMalaysia meramalkan banjir akan melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November 2021, manakala banjir di Johor, Sabah dan Sarawak bermula bulan Disember

Kredit gambar: Fernando Fong/ TRP

 

Banjir pada bulan November merupakan perkara biasa di Malaysia

Memandangkan Musim Tengkujuh bermula ketika itu, Malaysia telah beberapa kali diramalkan akan atau telah dilanda banjir pada bulan November dengan tarikh yang berbeza. Bagi tahun ini, banjir dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak antara November dan Januari 2023. Muhammad Helmi berkata kemungkinan banjir besar berlaku pada awal November adalah kurang jika ingin mengadakan Pilihan Raya Umum. Namun begitu, banjir besar mungkin akan bermula sekitar pertengahan hingga penghujung November.

Haliza Abdul Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 dijalankan selepas tamatnya Musim Tengkujuh, iaitu pada Februari 2023, kerana banjir tahun ini dijangka lebih buruk berbanding pada tahun 2021. Malah, fenomena La Nina yang berlaku serentak akan menyebabkan taburan hujan melebihi paras normal. Menurut METMalaysia, terdapat 60% kebarangkalian hujan lebat berterusan sehingga Disember 2022, tetapi Jabatan Meteorologi Dunia (WMO) meletakkan peratusan yang lebih tinggi. 


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2022/09/09/metmalaysia-ramal-banjir-besar-pada-hujung-november/
2. https://www.buletintv3.my/nasional/terlalu-awal-ramal-banjir-besar-metmalaysia/
3. https://www.therakyatpost.com/news/2022/11/17/reports-of-floods-in-selangor-metmalaysia-forecasts-storm-until-morning/
4. https://dailyrakyat.com/kenali-angin-monsun-timur-laut/15643
5. http://h2o.water.gov.my/man_hp1/LBT2020.pdf
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penduduk-kedah-takut-banjir-besar-2010-berulang-156053
7. https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/28/perkembangan-banjir-di-terengganu-kelantan-perak/
8. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/11/753437/banjir-di-kelantan-dijangka-berlaku-14-sehingga-16-november
9. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/765464/banjir-dijangka-berlaku-antara-november-hingga-januari
10. https://www.malaysiakini.com/news/637946

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago