Adakah Buli Siber Boleh Dikenakan Tindakan Menurut Undang-undang Malaysia?

Benar
Adakah Buli Siber Boleh Dikenakan Tindakan Menurut Undang-undang Malaysia?

Buli siber merupakan kesalahan yang semakin berleluasa di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/01/2023 - Disunting : 09/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Buli Siber Boleh Dikenakan Tindakan Menurut Undang-undang Malaysia?

Sebelum ini, Malaysia Bersuara pernah mengeluarkan sebuah semak fakta berkenaan jumlah kes buli siber yang tinggi di Malaysia. Sehingga kini, tiada undang-undang khas bagi jenayah buli siber di Malaysia. Akan tetapi, adakah pelaku buli siber masih boleh dikenakan tindakan undang-undang?

 

Buli siber

Berdasarkan laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), buli siber adalah perbuatan yang berulangan menggunakan kemudahan komunikasi berteknologi seperti laman media sosial, permainan internet, teks dan telefon bimbit, dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang.

Walaupun buli siber tidak dilakukan secara bersemuka seperti ‘buli tradisional’, ia adalah suatu masalah kerana boleh berlaku secara berterusan, bersifat kekal dan sukar dikenal pasti. Buli siber boleh memberi kesan kepada mangsa dari segi emosi, fizikal dan mental. Seperti yang dikongsikan dalam hantaran Malaysia Bersuara sebelum ini, buli siber boleh menyebabkan mangsa membuat keputusan drastik yang mengorbankan diri sendiri. 

 

Undang-undang berkaitan buli siber di Malaysia

Sehingga kini, Malaysia masih belum mempunyai suatu undang-undang yang spesifik berkenaan buli siber. Muhammad Amin Abdullah yang merupakan seorang peguam berkata “satu tafsiran jelas berkaitan buli siber diperlukan kerana ketika ini buli siber boleh terjadi dalam pelbagai sudut.” 

Walaupun tiada undang-undang khas, kesalahan buli siber boleh diambil tindakan di bawah akta-akta yang bersesuaian seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Fitnah 1957. Pemangsa buli siber boleh dikenakan tindakan berdasarkan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. 

Di samping itu, menurut peguam Puvarasan Balaiyah, Kanun Keseksaan (Bab XXII Menakutkan Secara Jenayah, Aib dan Kegusaran) turut boleh digunakan bagi mendakwa kesalahan buli siber. Di bawah Seksyen 506, seseorang boleh dikenakan tindakan jika melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah. 

Sebagai tambahan, jika seseorang melakukan jenayah di bawah Seksyen 506 dengan menyembunyikan identiti, mereka boleh dikenakan tindakan tambahan menurut Seksyen 507. Seksyen 509 pula menggariskan bahawa pelaku boleh dikenakan tindakan jika mengeluarkan perkataan atau isyarat dengan maksud untuk mengaibkan kehormatan seseorang.

 

Buli siber adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang

Ternyata bahawa perbuatan buli siber adalah bertentangan dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan. Namun begitu, buli siber tidak mempunyai undang-undangnya sendiri yang spesifik. 

Ketua Wanita Muda Parti Bangsa Malaysia (PBM), Muniraa Abu Bakar, berkata undang-undang sedia ada tidak cukup untuk mengekang jenayah buli siber. Sebuah undang-undang khas perlu diperkenalkan untuk menegaskan bahawa buli siber tidak akan dipandang remeh dan tindakan akan dikenakan terhadap pelaku. Tambah Muniraa, kerajaan boleh merujuk kepada Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) Singapura yang menjadikan buli siber, menghendap dan gangguan dalam talian sebagai jenayah.

Menurut Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti, Cybersecurity, Lt Kol (B) Mustaffa Ahmad, Malaysia sedang dalam proses menyediakan sebuah draf undang-undang khusus bagi buli siber.


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-banyak-kes-buli-siber-berlaku-di-malaysia/
2. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2021/04/23/buli-siber/
3. https://www.sinarharian.com.my/article/218092/khas/rasuah-busters/tiada-undang-undang-spesifik-buli-siber
4. https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/akta588bm.pdf
5. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf
6. https://www.thesundaily.my/local/specific-law-on-cyberbullying-needed-FX9606654
7. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/08/821611/pbm-calls-government-enact-laws-curb-cyber-bullying
8. https://www.kkmm.gov.my/en/public/news/19761-govt-to-draft-law-specific-to-combat-cyberbullying-cybersecurity

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago