Adakah Internship Atau Latihan Industri Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Bagus Di Malaysia?

Salah
Adakah Internship Atau Latihan Industri Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Bagus Di Malaysia?

Rata-rata pelajar universiti di Malaysia wajib menjalani latihan industri sebagai sebahagian daripada keperluan kursus

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/06/2023 - Disunting : 30/06/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Internship Atau Latihan Industri Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Bagus Di Malaysia?

Sebelum ini, perbincangan tentang keperluan internship atau latihan industri telah banyak diketengahkan oleh para pelajar. Ramai pelajar yang mempersoalkan tentang bayaran elaun kepada pelajar intern yang tidak mencukupi atau tiada sama sekali. 

Terdapat juga individu yang berkata latihan industri dapat membuka peluang kepada pelajar untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Oleh itu, hantaran kali ini akan melihat kepada kebaikan latihan industri dan sama ada ia akan membuka ruang kepada peluang pekerjaan.

 

Peratus pelajar menjalani latihan industri di Malaysia

Secara umumnya, kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendapati makin ramai pelajar sarjana muda melakukan latihan industri dalam semua bidang pengajian, walaupun bukan semua pelajar wajib menjalani latihan industri. 

Peratus pelajar sarjana muda yang melakukan latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Namun, bagi pelajar yang tidak wajib menjalani latihan industri, terdapat lebih ramai pelajar wanita, pelajar dengan CGPA tinggi, serta pelajar Kejuruteraan, Pembuatan, Pembinaan, Agrikultur dan Veterinar yang memilih untuk melakukan latihan tersebut. 

 

Kebaikan latihan amali

Latihan amali secara umumnya memberi banyak kebaikan kepada pelajar yang menjalaninya. Menurut Post University, antara kebaikannya adalah pelajar dapat meningkatkan kemahiran, membuat hubungan profesional, mendapat tawaran kerja secara langsung dan berpotensi untuk mendapat gaji tinggi.

Sebuah kajian di Pakistan mendapati latihan amali yang dijalani oleh pelajar kursus perniagaan meningkatkan pertumbuhan profesional dan kemahiran mereka.

Berdasarkan Internship & Co-op Survey Report 2021 oleh National Association of Colleges and Employers (NACE), makin ramai pelajar internship yang terus mendapat tawaran pekerjaan daripada tempat mereka menjalani latihan industri. Kesemua majikan yang terlibat dengan tinjaun tersebut memberikan peluang pekerjaan kepada hampir 80% pelajar latihan industri. 

NACE menganggarkan peningkatan kadar tawaran ini berlaku disebabkan oleh pandemik yang menyebabkan aktiviti pengambilan pekerja secara tradisional berkurangan. Oleh itu, majikan menekankan program latihan industri untuk mendapatkan pekerja baru. 

 

Kajian latihan industri dan kebolehpasaran di Malaysia

KRI telah melakukan sebuah kajian ke atas latihan industri dan kebolehpasaran pelajar sarjana muda. Kajian tersebut dilakukan menggunakan data Graduate Tracer Study oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) bagi tahun 2010 hingga 2020.

Kesan latihan amali terhadap kebolehpasaran pelajar adalah berbeza. Sebelum ini, pelajar yang menyertai latihan industri tidak mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan, tetapi perkara tersebut mulai berubah pada tahun 2019.

Peratus pelajar sarjana muda yang mendapat pekerjaan berdasarkan status latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Walaupun begitu, pelajar yang menjalani latihan industri tidak mendapat pekerjaan sepenuh masa tetap berbanding pelajar tanpa pengalaman latihan industri. Malah, peluang pekerjaan sepenuh masa semakin berkurangan bagi kedua-dua status pelajar.  

Peratus pelajar sarjana muda yang mendapat kerja tetap berdasarkan status latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Bagi pelajar yang mendapat pekerjaan sepenuh masa atau tetap, mereka yang mempunyai pengalaman latihan industri lebih berpeluang mendapat pekerjaan berkemahiran tinggi. Menurut KRI, pelajar yang menjalani latihan industri dengan baik dapat meningkatkan kemahiran yang membantu mereka dalam mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Peratus pelajar sarjana muda dalam pekerjaan sepenuh masa berkemahiran tinggi berdasarkan status latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Walau bagaimanapun, pengalaman menjalani latihan industri tidak menjamin pendapatan tinggi lebih RM2,000 dalam pekerjaan sepenuh masa berkemahiran tinggi. Dalam perkara ini, jurang di antara kedua-dua status latihan industri semakin rapat tetapi mula meluas kembali pada tahun 2019.

Peratus pelajar sarjana muda dengan gaji lebih RM2,000 dalam pekerjaan sepenuh masa berkemahiran tinggi berdasarkan status latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Di samping itu, pelajar yang menjalani latihan industri bertepatan dengan bidang pengajian lebih berpeluang mendapat kerja yang bersesuaian dengan bidang mereka. Pelajar yang melakukan latihan industri lebih lama atau di syarikat multinasional (MNC) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lebih berpeluang mendapat kerja sepenuh masa berkemahiran tinggi serta gaji lebih RM2,000. 

 

Pelajar internship yang dibayar elaun lebih berpeluang dalam pekerjaan

Laporan oleh KRI mendapati kini lebih ramai pelajar latihan industri yang diberikan elaun. Namun begitu, pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, melakukan latihan industri dalam badan kerajaan, serta menjalani latihan industri di Perlis, Sabah dan Kelantan, kurang kemungkinan mendapat bayaran elaun. 

Pelajar yang diberi bayaran elaun ketika tempoh latihan industri mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapat pekerjaan sepenuh masa tetap, pekerjaan berkemahiran tinggi serta pendapatan lebih RM2,000. 

Peratus pelajar sarjana muda dengan gaji lebih RM2,000 berdasarkan status bayaran latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

Peratus pelajar sarjana muda dalam pekerjaan berkemahiran tinggi berdasarkan status bayaran latihan industri, 2010-2019. Sumber: KRI

 

Latihan industri di Malaysia tidak menjamin peluang pekerjaan yang lebih bagus

Kesimpulannya, tiada jaminan yang pelajar latihan industri akan mendapat peluang pekerjaan yang lebih bagus berbanding pelajar yang tidak menjalani latihan tersebut. Malah, lebih ramai pelajar tanpa pengalaman menjalani latihan industri mendapat gaji lebih RM2,000 dalam pekerjaan sepenuh masa berkemahiran tinggi. 

Namun begitu, pelajar mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan berkemahiran tinggi jika menjalani latihan industri. Kajian juga mendapati pelajar yang diberi elaun latihan industri lebih berpeluang untuk mendapat pekerjaan berkemahiran tinggi serta pendapatan lebih RM2,000 berbanding yang tidak diberi sebarang bayaran.

KRI menyatakan pembekal latihan industri perlu membayar elaun minimum kepada pelajar internship untuk mengurangkan kesesakan kewangan yang dilalui ketika tempoh latihan industri. 

Walaupun latihan amali diwajibkan bagi kebanyakan kursus, tahukah anda bahawa pelajar internship tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 seperti mana pekerja lain?

BACA JUGA: Benarkah Pelajar Internship Tidak Dilindungi di Bawah Akta Kerja 1955?


Rujukan:

1. https://post.edu/blog/benefits-of-internships/
2. https://fbj.springeropen.com/articles/10.1186/s43093-019-0007-3
3. https://www.naceweb.org/talent-acquisition/internships/intern-conversion-rate-climbs-fueled-by-jump-in-offer-rate/
4. https://www.krinstitute.org/Working_Paper-@-The_Internship_Experience_and_its_Returns-;_Effects_on_Young_Bachelors%E2%80%99_Employability.aspx

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago