Benarkah Pelajar Internship Tidak Dilindungi di Bawah Akta Kerja 1955?

Benar
Benarkah Pelajar Internship Tidak Dilindungi di Bawah Akta Kerja 1955?

Pelajar internship atau praktikal sering merungut tidak mendapat elaun yang setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/08/2022 - Disunting : 08/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Pelajar Internship Tidak Dilindungi di Bawah Akta Kerja 1955?

Semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia perlu mengikuti kursus internship atau latihan praktikal sebelum menamatkan pelajaran mereka. Latihan praktikal kebiasaannya akan berjalan tidak kurang daripada 3 hingga 6 bulan mengikut tempoh yang ditetapkan oleh silabus kursus. Seorang pengguna Twitter telah membuat kenyataan bahawa pelajar latihan praktikal tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Kerja 1955 seperti mana diterima oleh pekerja lain. 

Akta Kerja 1955

Akta Kerja 1955 telah menggariskan definisi “pekerja” menurut Jadual Pertama Subseksyen 2(1). Secara dasarnya, “pekerja” adalah seseorang yang telah menandatangani kontrak perkhidmatan dengan majikan. Perkara ini bermaksud pelajar latihan praktikal yang kebiasaannya tidak terikat dengan sebarang kontrak perkhidmatan tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Tempat di mana pelajar menjalani latihan praktikal juga tidak dikenali sebagai ‘majikan’, tetapi sebagai ‘pembekal tempat latihan’.

Selain itu, majikan boleh menawarkan apprenticeship contract atau kontrak perantisan yang bermakna majikan bersetuju untuk melatih seorang perantis bekerja di bawah servisnya. Walau bagaimanapun, untuk kontrak ini tertakluk di bawah Akta Kerja 1955, kontrak tersebut perlu melebihi tempoh 2 tahun. Maka, ia tidak terpakai bagi pelajar praktikal yang selalunya hanya menjalani latihan industri antara 3 hingga 6 bulan. 

 

Tidak mendapat perlindungan akta

Apabila seseorang itu tidak dilindungi oleh Akta Pekerja 1955, ini bermakna dia tidak akan mendapat gaji minimum yang telah ditetapkan oleh Perintah Gaji Minimum 2022 sebanyak RM1,500 sebulan. Bermula 1 September 2019, kerajaan telah bersetuju untuk membayar pelajar latihan praktikal di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebanyak RM5 sejam. Pada kadar ini, seorang pelajar latihan praktikal kerajaan akan menerima elaun sehingga RM900 sebulan bagi tempoh maksimum 90 hari, berbanding RM300 sebulan sebelum ini. Namun begitu, kadar elaun minimum ini tidak boleh diguna pakai bagi syarikat swasta. Bagi kedua-dua sektor kerajaan dan swasta, pelajar tidak akan dibayar elaun overtime (OT) atau lebih masa. 

Pelajar latihan praktikal juga tidak mendapat perlindungan lain di bawah Akta Kerja 1995, seperti berkenaan cuti rehat dan tempoh masa bekerja maksimum. Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pelajar praktikal tidak diberikan cuti rehat seperti pekerja lain. Mereka boleh memohon kebenaran daripada syarikat untuk mengambil cuti, tetapi mereka tidak akan dibayar sebarang elaun bagi hari cuti tersebut atau perlu menggantikan cuti. Pada masa yang sama, memandangkan seorang pelajar praktikal bukan seorang ‘pekerja’, mereka tidak perlu memberikan notis satu bulan sekiranya ingin berhenti menjalani latihan praktikal. 

 

Pelajar latihan praktikal tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955

Secara umumnya, tiada sebarang peruntukan berkenaan latihan praktikal di dalam Akta Kerja 1955. Hal ini jelas bahawa seorang pelajar latihan praktikal tidak akan mendapat perlindungan yang sewajarnya seperti seorang pekerja. Pembayaran elaun, tempoh waktu bekerja maksimum dan hal-hal lain mengenai latihan praktikal adalah tertakluk kepada budi bicara dan sifat kemanusiaan pembekal tempat latihan. 

Walaupun ketiadaan kontrak perkhidmatan antara pelajar dan pembekal tempat latihan, IPT boleh menyediakan sebuah garis panduan atau perjanjian latihan praktikal untuk membantu pelajar dalam pengalaman latihan praktikal mereka. Akaun Facebook Employment – Malaysia mencadangkan supaya pelajar mendapatkan perlindungan insurans sepanjang menjalani latihan praktikal. Pelajar juga boleh membuat aduan kepada IPT atau Pejabat Tenaga Kerja sekiranya dia disuruh melakukan tugas-tugas di luar bidang kursus atau merasa dia menjalankan tugas seperti pekerja syarikat berbanding sebagai pelajar praktikal.

Pada masa yang sama, ramai juga yang menganggap pelajar yang menjalani latihan industri mempunyai peluang lebih cerah untuk mendapat pekerjaan yang lebih bagus. Klik pautan di bawah untuk semak sama ada tanggapan ini benar.

BACA JUGA: Adakah Internship Atau Latihan Industri Memberi Peluang Pekerjaan Yang Lebih Bagus Di Malaysia?


Rujukan:

1. http://www.mp.gov.my/acts/EA1955.pdf
2. https://www.facebook.com/EmploymentMalaysia/posts/latihan-industri-pelajar-praktikal-bukan-pekerja-kerana-boleh-dipanggil-kembali-/1146630178721761/
3. https://althr.my/resources/interns-malaysia-minimum-wage-illegal
4. https://www.jtkswk.gov.my/images/2022/Pengumuman/Warta_PGM_2022.pdf
5. https://docs.jpa.gov.my/docs/se/2019/faq_se06092019.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago