Adakah Keadaan Banjir di Malaysia Dijangka Lebih Teruk?

Benar
Adakah Keadaan Banjir di Malaysia Dijangka Lebih Teruk?

Kejadian banjir di Malaysia makin kerap terjadi pada masa yang tidak dijangka

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/09/2022 - Disunting : 30/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Keadaan Banjir di Malaysia Dijangka Lebih Teruk?

Adakah Keadaan Banjir di Malaysia Dijangka Lebih Teruk?

Sudah pasti umum sedia tahu bahawa Malaysia telah dilanda dengan ‘banjir seratus tahun’ pada Disember 2021 sehingga mengakibatkan 50 lebih orang terkorban serta kerugian RM6.5 bilion. Persoalannya, adakah banjir di Malaysia semakin teruk pada tahun ini? 

Kredit gambar: Fernando Fong/ TRP

Kejadian banjir di Malaysia 2022

Pada 25 September baru-baru ini, banjir kilat telah melanda tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Pontian dan Batu Pahat. Akibat daripada itu, sebanyak enam Pusat Penempatan Sementara (PPS) telah dibuka yang menempatkan lebih 200 mangsa banjir setakat ini. Malah, Johor Bahru dilaporkan telah dilanda banjir kilat sekitar bulan Ogos tahun ini. 

Di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia pula, Terengganu dan Kelantan telah dilanda banjir pada hujung Februari tahun ini yang berlanjutan sehingga awal Mac. Banjir tersebut telah menyebabkan anggaran lebih 26,000 mangsa dipindahkan ke PPS dan kerugian sebanyak RM150.6 juta

Ibu kota Kuala Lumpur sering menghadapi banjir kilat akibat hujan lebat yang turun tanpa henti. Banjir kilat telah melanda Kuala Lumpur pada Mac, April, Mei dan Jun tahun ini. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti 35 kawasan titik panas banjir kilat di Kuala Lumpur dan kini sedang menjalankan Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur. Antara tindakan di bawah pelan tersebut adalah memastikan saluran longkang tidak tersumbat, meletakkan guni-guni pasir di tepi sungai dan mengenal pasti laluan lencongan sementara.

 

Ramalan banjir November 2022

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara diramalkan akan mengalami hujan lebat berterusan akibat fenomena La Nina mulai pertengahan November. Hujan lebat tersebut dijangka akan menyebabkan banjir besar melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur pada hujung bulan November. Tambahan pula, Monsun Timur Laut akan aktif pada tempoh itu dan meningkatkan risiko hujan lebat berterusan dan peratusan banjir berskala besar.

Kredit gambar: MetMalaysia

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Wildan Azhari berkata Kelantan mungkin boleh dilanda banjir bila-bila masa sahaja. Hal ini adalah kerana trend hujan di Kelantan dilihat tidak menentu sejak Ogos lepas. Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK), Tengku Seri Bijaya Raja pula berkata negeri harus bersedia jika terjadi banjir luar biasa dan telah membincangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menghadapinya.

Kredit gambar: Bomba Malaysia

Sehubungan dengan itu, kerajaan telah mengadakan sebuah Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Nasional untuk bersiap-siaga dengan kecemasan banjir ketika musim Monsun Timur Laut. Kerajaan telah menyediakan 6,010 PPS yang akan diaktifkan ketika banjir dan boleh menempatkan lebih 1.6 juta penduduk yang terkesan dengan banjir. Di Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebanyak 96 PPS disediakan dengan jumlah kapasiti 22,000 mangsa banjir. 

 

Banjir di Malaysia dijangka semakin teruk

Menurut pakar klimatologi, Prof. Dr. Fredolin Tangang banjir di Malaysia kini semakin kerap berbanding 20 tahun lepas. Di Kuala Lumpur, banjir lebih kerap terjadi disebabkan oleh kejadian ribut petir dan hujan lebat yang meningkat sebanyak 35% dalam masa 30 tahun. Dr Helen Nair dari Majlis Akademi Sains Malaysia (ASM) berkata banjir dalam negara menjadi semakin teruk akibat pembalakan dan pembangunan yang tidak dikawal. Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) juga telah menghasilkan sebuah laporan penilaian iklim yang menganggarkan bencana alam lebih dahsyat akan lebih kerap berlaku akibat perubahan iklim.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Menteri Alam Sekitar dan Air berkata kementeriannya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kuala Lumpur sedang menjalankan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bunus yang telah siap 60%. Ia bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir buruk di Kuala Lumpur terutama di sekitar kawasan Jalan Tun Razak, Institut Jantung Negara, Jalan Gurney, Jalan Sultan Yahya Petra dan Kg Bharu. 


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-perubahan-iklim-menyebabkan-cuaca-tidak-menentu-di-malaysia/
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/banjir-johor-6-pps-dibuka-128-mangsa-dipindahkan-382726
3. https://www.sinarharian.com.my/article/223036/edisi/johor/mangsa-banjir-kilat-di-johor-meningkat-222-orang
4. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/03/815869/banjir-kelantan-terengganu-26128-mangsa-banjir-masih-di-pps
5. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Newsletter%202022/DOSM%20BPP%201_2022%20SERIES%2040-BM_compressed.pdf
6. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/967349/31-lokasi-hotspot-banjir-di-kl
7. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/09/05/metmalaysia-ramal-banjir-besar-penghujung-november-2022/
8. https://www.kosmo.com.my/2022/09/05/bila-bila-masa-boleh-banjir/
9. https://www.malaysiakini.com/news/637448
10. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/999064/kerajaan-siap-sedia-hadapi-monsun-timur-laut
11. https://www.therakyatpost.com/news/malaysia/2022/09/28/96-relief-sites-are-ready-for-floods-in-kuala-lumpur-and-putrajaya-says-rina-harun/
12. https://majoriti.com.my/berita/2022/03/03/isu-kekerapan-banjir-kerajaan-digesa-lebih-tegas
13. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bersediakah-metmalaysia-hadapi-kesan-perubahan-iklim-320810

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago