Adakah Kerajaan Yang Diterajui PAS Akan Menjadi Seperti Kerajaan Taliban?

Salah
Adakah Kerajaan Yang Diterajui PAS Akan Menjadi Seperti Kerajaan Taliban?

Ahli DAP Nga Kor Ming beberapa kali melabel PAS seperti kerajaan Taliban

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 05/12/2022 - Disunting : 05/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Kerajaan Yang Diterajui PAS Akan Menjadi Seperti Kerajaan Taliban?

Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan, telah beberapa kali melabel kerajaan di bawah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai kerajaan Taliban. Terbaru, sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15, di mana Nga mengaitkan PAS dengan Taliban supaya pengundi tidak memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN). Sebelum ini, Nga turut berkata demikian pada tahun 2019 ketika PAS dan UMNO ingin bergabung. 

Dakwaan ini dibuat berdasarkan ketegasan PAS dalam melawan judi, arak dan konsert, serta ingin mengasingkan antara lelaki dan wanita, yang dilihat bertentangan dengan kepelbagaian budaya negara dan nilai sekular. 

Taliban merupakan sebuah kumpulan fundamental Islam di Afghanistan yang telah kembali berkuasa pada Ogos 2021 setelah negara itu dijajah oleh Amerika Syarikat (AS) sejak September 2001. Ia terjadi apabila tentera-tentera pihak AS keluar dari Afghanistan menurut sebuah perjanjian aman yang ditandatangani bersama pihak Taliban pada tahun 2020. 

 

Pengiktirafan kerajaan Taliban oleh Malaysia

Sehubungan dengan itu, Menteri Luar Negeri ketika itu, Datuk Sri Saifuddin Abdullah berkata walaupun pemerintahan Taliban belum diiktiraf oleh Dewan Rakyat, Afghanistan tetap akan disokong. Katanya, keputusan untuk mengiktiraf kerajaan Taliban perlu melalui langkah berhati-hati dan lebih mudah dilakukan melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurut bekas Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, perbincangan tentang pengiktirafan Taliban sebagai kerajaan Afghanistan yang sah perlu dibuat bersama parti-parti pemerintah yang merupakan sebahagian daripada kerajaan iaitu termasuk PAS sebelum ini. Pada masa yang sama, Kamaruddin berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia boleh menghulurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan melalui Kementerian Luar Negeri selaku pemudah cara.

 

Sokongan PAS terhadap Taliban

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin berkata rakyat Afghanistan jelas menyokong gerakan Taliban sebagai kerajaan apabila mereka berjaya menguasai pemerintahan negara. Khairil Nizam turut merasakan Malaysia perlu mengikut jejak langkah China yang telah berunding dengan kerajaan Afghanistan dan supaya kerajaan Malaysia mengukuhkan hubungan dua hala dengan mereka. Salah satu sumbangan China kepada kerajaan Taliban adalah pemberian dana bagi mengukuhkan Inisiatif Lingkaran dan Laluan (BRI) di Afghanistan. 

Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak berkata PAS menggunakan Taliban untuk meningkatkan imej Islamiknya apabila memuji tindakan Taliban yang berjaya mengambil alih pemerintahan di Afghanistan. 

Walau bagaimanapun, Khairil Nizam selaku Ketua Penerangan PAS berkata tiada keperluan untuk PAS melakukan sedemikian. Sebaliknya, Khairil Nizam percaya sokongan yang diberi selari dengan Dasar Luar Negara Malaysia yang “terkenal dengan reputasi sebagai broker perdamaian negara-negara Islam dan wilayah yang dilanda konflik.”

PAS hanya menyokong Taliban selaku kerajaan yang mentadbir Afghanistan dan bukanlah menyokong sebarang bentuk keganasan yang dilakukan. Sokongan yang diberikan adalah dari segi pembangunan semula negara itu selepas merdeka daripada penjajahan AS.

 

PAS dan penduduk bukan Islam

Walaupun PAS merupakan sebuah parti politik yang khusus kepada agama Islam, ia mempunyai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), iaitu sayap PAS yang merangkumi ahli bukan Islam. Malah, PAS turut memberi bantuan dan mengadakan majlis tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Salah satu majlis yang meraikan perpaduan kaum telah dianjurkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Kawasan Sri Gading. Majlis tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan antara kaum antara penduduk setempat bersama pimpinan PAS dan telah dihadiri penduduk Cina dan India. 

Di samping itu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan di Sabah, PAS Sandakan telah memberi bantuan sumbangan kepada lebih kurang 300 buah keluarga yang merangkumi penduduk bukan-Islam. Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid berkata perjuangan PAS semestinya tidak kira bangsa mahupun agama dan sumbangan diberikan kepada rakyat yang terkesan dengan PKPB tanpa melihat pada status agama mereka.

 

Tiada bukti bahawa kerajaan diterajui PAS akan menjadi sebuah kerajaan Taliban

Walaupun kelihatan seperti Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bergembira dengan kejayaan Taliban memerintah Afghanistan, berdasarkan pemerintahan PAS di negeri-negerinya, tiada sebarang bukti kerajaan diterajui PAS akan menjadi seperti Taliban. Menurut Khairil Nizam, pentadbiran PAS di Kedah, Terengganu dan Kelantan menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang dibawa PAS adalah berdasarkan kesejahteraan rakyat tidak kira agama. Selain itu, imej Islamik yang dibawa PAS tidak menjadi penghalang kepada pembangunan dan peningkatan pelaburan luar. 


Rujukan:

1. https://www.cfr.org/backgrounder/taliban-afghanistan
2. https://www.astroawani.com/berita-politik/pemuda-pas-cadang-kerajaan-kukuhkan-hubungan-dua-hala-dengan-pemerintahan-taliban-328181
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/910843/malaysia-belum-iktiraf-kerajaan-taliban
4. https://www.utusan.com.my/nasional/2021/10/parlimen-keputusan-iktiraf-taliban-dibincang-dengan-semua-parti-pemerintah/
5. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/04/06/pas-banking-on-taliban-to-improve-islamic-image-says-bukit-amans-counterterrorism-chief/
6. https://www.sinarharian.com.my/article/196864/berita/politik/pas-tidak-perlu-guna-taliban-tingkat-imej-islam
7. https://harakahdaily.net/index.php/2021/11/05/pas-rai-masyarakat-bukan-islam-di-parit-besar/
8. https://harakahdaily.net/index.php/2020/10/26/pas-bantu-penduduk-bukan-islam-terkesan-covid-19/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago