Adakah Majikan Boleh Membatalkan Tawaran Kerja Setelah Kontrak Ditandatangani?

Benar
Adakah Majikan Boleh Membatalkan Tawaran Kerja Setelah Kontrak Ditandatangani?

Kontrak kerja diberikan oleh syarikat kepada calon pekerja yang akan menandatanganinya jika menerima tawaran tersebut

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/07/2024 - Disunting : 19/07/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Majikan Boleh Membatalkan Tawaran Kerja Setelah Kontrak Ditandatangani?

Seorang pengguna di laman X telah mempersoalkan sama ada tindakan majikan membatalkan tawaran kerja yang telah diterima oleh seseorang individu merupakan satu kesalahan undang-undang. 

Ramai orang telah memberi maklum balas bahawa perkara itu tidak dibenarkan dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas majikan. Namun ada juga yang berkata tawaran tersebut boleh dibatalkan sekiranya calon pekerja belum lapor diri dan masuk bekerja. Oleh itu, mana satu yang benar?

 

Mungkin wujud klausa dalam kontrak kerja yang membolehkan ia dibatalkan

Kontrak kerja merupakan satu perjanjian antara syarikat dan calon pekerja yang menggariskan terma dan syarat pekerjaan. Sesetengah kontrak kerja mungkin mengandungi klausa yang menyatakan pekerja atau majikan boleh ‘menamatkan’ kontrak tersebut, sekaligus bermakna tawaran tersebut boleh ditarik balik. 

Menurut Ask Legal, ia kebiasaannya terletak di bawah klausa ‘pampasan’ dengan majikan harus membayar jumlah tertentu kepada calon pekerja yang ditarik tawarannya yang telah dipersetujui. Kegagalan syarikat membayar pampasan bermakna individu tersebut boleh mengambil tindakan.

Namun, tidak semua kontrak kerja mengandungi klausa tersebut. Oleh itu, adakah tawaran kerja boleh ditarik balik oleh majikan?

Tambahnya lagi, terdapat prinsip undang-undang yang digelar sebagai doktrin kekecewaan (doctrine of frustration) yang mungkin diguna pakai oleh majikan bagi menamatkan kontrak pekerjaan. Menerusi prinsip ini, tawaran pekerjaan boleh ditarik balik akibat peristiwa yang tidak dijangka dan di luar kawalan seperti syarikat ditutup dan berlakunya penyusunan semula jawatan.

Dalam kes Davis Contractors Ltd V Fareham UDC, Lord Radcliffe menyatakan, “Kekecewaan berlaku apabila perjanjian kontrak tidak boleh dilaksanakan kerana keadaan menjadikannya berlainan dari apa yang diaku janji di bawah kontrak”.

Malah, Seksyen 57(2) Akta Kontrak 1950 memperuntukkan bahawa kontrak yang telah dijanjikan tetapi mustahil dilakukan disebabkan suatu kejadian yang tidak dapat dicegah oleh pembuat janji adalah menjadi tidak sah.

 

Bolehkah saman bakal majikan yang membatalkan kontrak sebelum mula bekerja?

Jadi bolehkah majikan disaman jika membatalkan kontrak kerja yang telah diterima seseorang? Dalam kes Mohammad Ulfa Usamah v Allegis Group Malaysia Sdn Bhd di Mahkamah Industri, Ulfa telah mendakwa pemecatan tidak adil (unfair dismissal) terhadap syarikat kerana membatalkan kontrak kerja sebelum dia mula bekerja.

Dakwaan ini walau bagaimanapun ditolak kerana bakal pekerja tidak dianggap sebagai pekerja (workmen) sebelum mula bekerja. Ini adalah berdasarkan kepada Akta Perhubungan Perusahaan 1967

Namun ini tidak bermakna tiada tindakan boleh diambil sama sekali ke atas syarikat. Calon pekerja masih boleh mengemukakan saman di mahkamah sivil atas alasan melanggar perjanjian untuk mendapatkan ganti rugi. Akan tetapi, individu berkenaan perlu membuktikan beberapa perkara iaitu:

  1. Wujudnya kontrak antara calon dan syarikat yang telah diterima.
  2. Syarikat melanggar kontrak dengan menarik balik tawaran kerja tersebut.
  3. Calon pekerja mengalami kerugian secara langsung disebabkan oleh pelanggaran kontrak tersebut (contohnya: kehilangan pendapatan akibat meletak jawatan dari pekerjaan sebelumnya)

Dalam masa sama, individu tersebut perlu menanggung kos yang akan ditanggung untuk membawa tuntutan tersebut ke mahkamah sivil. Walaupun disaman dan perlu membayar sejumlah ganti rugi, syarikat tidak bertanggungjawab untuk mengembalikan tawaran kerja yang telah ditarik balik.

Di samping itu, Seksyen 57(3) Akta Kontrak 1950 menjelaskan bahawa pampasan hendaklah diberikan kepada calon pekerja jika mengalami sebarang kerugian akibat pembatalan kontrak kerja tersebut.

 

Bagaimana pula jika calon pekerja yang membatalkan kontrak kerja?

Namun begitu, bagaimana pula jika bakal pekerja sendiri yang menolak tawaran pekerjaan yang telah diterima dari majikan dan ditandatanganinya? 

Menurut Ask Legal, apabila seseorang menerima tawaran pekerjaan, satu perjanjian telah terbentuk. Maka, jika individu terbabit membatalkan tawaran itu setelah menerimanya, majikan boleh membawa perkara itu kepada pihak mahkamah.

Jika mahkamah menetapkan bahawa calon pekerja telah melanggar perjanjian, dia boleh disaman oleh syarikat. Jumlah saman tersebut akan ditetapkan oleh mahkamah dan sekiranya tiada bukti yang pembatalan perjanjian tersebut menyebabkan kerugian pada syarikat, dia mungkin hanya akan dituntut ganti rugi nominal yang sedikit.

Ask Legal juga berkata calon pekerja jarang disaman kerana tindakan undang-undang akan memakan kos yang tinggi berbanding ganti rugi yang mungkin boleh diterima syarikat.

 

Bolehkah pekerja tarik balik perletakan jawatan?

Apabila menerima tawaran kerja baharu, sudah tentu seseorang akan menghantar notis perletakan jawatan kepada majikan asal. Jadi jika bakal majikan baharu membatalkan tawaran pekerjaan yang telah diterima, bolehkah pekerja membatalkan notis perletakan jawatannya?

Merujuk kepada laman web Jom Tanya Peguam, pekerja tidak mempunyai hak untuk menarik balik notis perletakan jawatan yang diberikan kepada majikan. Kes mahkamah Riordan v. The War Office [1959] menjelaskan bahawa lantikan kerja ke atas pekerja yang telah menyerahkan notis tersebut dianggap tamat dan tidak boleh ditarik semula.

Perkara ini tidak tertakluk hanya ke atas notis perletakan jawatan yang diterima secara formal ataupun tidak oleh majikan. Dalam kes di Mahkamah Perusahaan, Chong Kok Kean v Citibank Berhad [2019], dinyatakan bahawa notis perletakan jawatan dianggap telah berkuatkuasa walaupun tidak diterima secara formal oleh majikan.

Walau bagaimanapun, perkara tersebut juga tertakluk ke atas budi bicara majikan. Jika majikan bersetuju sepenuhnya, maka notis perletakan jawatan yang diterima boleh dibatalkan. Namun majikan mempunyai hak untuk memutuskan untuk mengekalkan pekerja di bawah kontrak asal atau memberi kontrak lantikan baharu yang mungkin akan wujudnya perbezaan dari segi bayaran gaji, KPI dan sebagainya.

 

Bakal majikan dan calon pekerja boleh batalkan kontrak kerja selagi pekerjaan belum bermula

Ternyata bahawa kedua-dua pihak boleh membatalkan kontrak kerja walaupun calon pekerja masih belum melapor diri. Namun, saman ganti rugi boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang membatalkan suatu perjanjian atau kontrak kerja jika perkara tersebut menyebabkan kerugian.

Dalam masa sama, syarikat kebiasaannya meletakkan tempoh percubaan (probation period) ke atas pekerja baharu. Tempoh ini bukan sahaja bagi membenarkan syarikat menilai tahap prestasi pekerja, tetapi pekerja juga boleh menilai syarikat dan diri sendiri jika sesuai melakukan suatu pekerjaan. 

Ketika tempoh percubaan, sesetengah kontrak meletakkan hanya satu hari, seminggu atau dua minggu pemberian notis jika mana-mana pihak ingin membatalkan perjanjian tersebut. Oleh itu, tidak salah bagi pekerja baharu menolak kontrak ketika tempoh percubaan bagi menerima tawaran kerja lain.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Majikan Boleh Menghalang Pekerja Daripada Masuk Ke Industri Sama Selepas Meletak Jawatan?


Rujukan:

1. https://asklegal.my/p/ini-sebabnya-kenapa-syarikat-masih-boleh-batalkan-kontrak-pekerjaan
2. https://www.slideshare.net/slideshow/nota-kontrak-pelepasan-melalui-doktrin-kekecewaan/195506695
3. https://www.rcrc-resilience-southeastasia.org/wp-content/uploads/2017/12/Contracts-Act-1950.pdf
4. https://thesun.my/home-news/legally-speaking-when-an-offer-of-employment-is-withdrawn-IA9525039
5. https://whatlawlah.wordpress.com/2021/06/08/taking-back-a-job-offer-is-it-unfair-dismissal/
6. https://asklegal.my/p/company-letter-offer-reject-malaysia
7. https://jomtanyapeguam.com/dah-hantar-surat-letak-jawatan-tiba-tiba-nak-tarik-balik-boleh-tak/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago