Adakah Malaysia Bakal Menghalalkan Marijuana Untuk Kegunaan Rekreasi?

Salah
Adakah Malaysia Bakal Menghalalkan Marijuana Untuk Kegunaan Rekreasi?

Kerajaan Malaysia sedang melihat kepada penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/08/2022 - Disunting : 26/08/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Malaysia Bakal Menghalalkan Marijuana Untuk Kegunaan Rekreasi?

Pada 22 Ogos hingga 25 Ogos baru ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengadakan lawatan kerja bilateral kesihatan ke Bangkok, Thailand. Salah satu objektif lawatan tersebut adalah untuk melihat potensi kegunaan marijuana bagi tujuan perubatan. Persoalan yang sering bermain di fikiran ramai rakyat Malaysia adalah sama ada marijuana bakal dihalalkan untuk tujuan rekreasi atau hanya untuk perubatan sahaja.

Kami telah mengeluarkan sebuah artikel yang menjelaskan bahawa penggunaan marijuana perubatan di Malaysia sebenarnya dibenarkan dengan penguatkuasaan yang ketat. Perkara ini telah dinyatakan sendiri oleh Khairy. Namun begitu, buat masa ini tiada sebarang produk perubatan berasaskan marijuana yang berdaftar di Malaysia, menjadikan kebenaran penggunaannya sia-sia. 

 

Marijuana di Thailand

Thailand telah menyahjenayahkan penggunaan marijuana pada 9 Jun tahun ini, menjadikannya negara pertama di Asia Tenggara yang melakukan demikian. Walaupun ia tidak bermakna marijuana boleh digunakan untuk tujuan rekreasi dengan sewenangnya, kerajaan Thailand telah mengedarkan 1 juta anak pokok marijuana kepada rakyatnya untuk diusahakan. Ketika lawatannya ke Thailand, Khairy telah melawat Pejabat Farmaseutikal Kerajaan (GPO) bagi menghadiri taklimat berkenaan dasar marijuana. Lawatan itu turut merangkumi kunjungan ke Siam Cannabis Land, iaitu sebuah ladang penanaman pohon ganja untuk melihat proses penanaman dan penyelidikan marijuana

Kredit gambar: Ismail Amsyar/ Twitter

Di kunjungan itu, mereka didedahkan dengan teknik-teknik penanaman pohon ganja, jenis pohon ganja yang berlainan seperti pohon berasaskan cannabidiol (CBD) dan tetrahydrocannabinol (THC), serta pelbagai produk kesihatan berasaskan marijuana yang boleh dihasilkan. Khairy menyatakan bahawa lawatan yang dilakukan adalah bagi memahami bukti klinikal dan rangka kerja awal selia berkenaan penggunaan marijuana perubatan. Berikutan itu, Malaysia akan mula merangka dasar marijuana dan garis panduan amalan klinikal jika terbukti bahawa marijuana selamat digunakan untuk perubatan.

Kredit gambar: Ismail Amsyar/ Twitter

Penggunaan marijuana bagi tujuan rekreasi tidak akan dibenarkan di Malaysia

Walaupun Malaysia sedang melihat pada penggunaan marijuana bagi tujuan perubatan, Khairy menegaskan bahawa penggunaannya bagi tujuan rekreasi tidak dipertimbangkan. Menurut Khairy, Kementerian Kesihatan Malaysia akan menyediakan sebuah rangka kerja bagi pendaftaran ubat-ubatan yang mengandungi CBD, salah satu kompaun kimia di dalam pohon marijuana. Buat masa ini, di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan lebih daripada 50g ganja boleh dikenakan tindakan penjara, manakala lebih daripada 200g boleh berhadapan dengan hukuman mati.


Rujukan:

1. https://www.npr.org/2022/06/09/1103878929/thailand-decriminalizes-marijuana
2. https://www.sinarharian.com.my/article/217710/berita/nasional/kj-adakan-lawatan-kerja-ke-thailand-teroka-potensi-kanabis
3. https://twitter.com/IsmailAmsyar/status/1562325104457003010
4. https://codeblue.galencentre.org/2022/08/24/khairy-recreational-cannabis-use-wont-be-legalised/
5. https://www.pdp.gov.my/jpdpv2/akta_akta/akta-dadah-berbahaya-1952/?lang=en

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago