Adakah Membuang Kucing Satu Kesalahan Undang-Undang Di Malaysia?

Benar
Adakah Membuang Kucing Satu Kesalahan Undang-Undang Di Malaysia?

Sesetengah individu bertindak membuang haiwan berkenaan atas alasan sudah mempunyai terlalu banyak kucing atau hanya kerana ia bukan miliknya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/01/2024 - Disunting : 19/01/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Membuang Kucing Satu Kesalahan Undang-Undang Di Malaysia?

Di Malaysia, kucing tidak bertuan dapat dilihat berkeliaran merata-rata di kebanyakan tempat termasuk di tepi jalan dan di pasar. Bagi mereka yang beragama Islam, sudah tentu kucing menjadi pilihan kerana sifatnya yang suci menurut agama. 

Namun begitu, dalam memelihara kucing, terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dan membiarkan kucing menghasilkan banyak zuriat sehingga tidak tertanggung.

Kucing yang terlalu banyak tersebut kemudiannya dibuang oleh tuannya, kebiasaannya di pasar malam atau kedai makan kerana berpendapat kucing akan mudah mendapatkan makanan. Ada juga individu yang membuang kucing yang tidak dibelanya, tetapi mula singgah ke rumah mereka dan menetap di situ.

Bagi seorang ailurofil atau pencinta kucing, pasti tidak tergamak melihat haiwan yang tidak bersalah itu dibuang sewenang-wenangnya. Persoalannya, adakah tindakan sedemikian menjadi kesalahan mengikut undang-undang di Malaysia?

 

Undang-undang membuang haiwan

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar), Datuk Dr Muhammad Safaruddin Md Dawam, tindakan membuang atau meninggalkan kucing, walaupun dengan alasan haiwan berkenaan bukan milik mereka, adalah satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Akta sama menekankan bahawa haiwan bukan sahaja tanggungjawab tuannya, tetapi juga sesiapa yang menduduki di mana-mana premis.

Sumber: Akta Kebajikan Haiwan 2015

Di bawah tersebut, Seksyen 29(1)(p) menjelaskan bahawa meninggalkan haiwan di suatu tempat yang sehingga menyebabkan trauma, kesakitan atau penderitaan atas sebab penempatan semula, kebuluran, dahaga, kecederaan atau penyakit, adalah satu kesalahan.

Seksyen 29(1)(r) pula menetapkan pemilik sama ada sengaja ataupun tidak, telah melakukan kesalahan jika membiarkan haiwan yang berpenyakit, tidak berupaya atau cedera, mati di mana-mana.

Kesalahan yang disabit di bawah seksyen berkenaan boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Hukum membuang kucing menurut Islam

Pada Disember 2023, Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Kedah dan pendakwah Datuk Syeikh Faisol Haji Omar telah menjelaskan hukum membuang kucing menurut Islam. Dia menjelaskan bahawa hukum membuang kucing adalah harus sekiranya tidak membahayakan dan memusnahkan haiwan tersebut.

Walau bagaimanapun, jika kucing dibuang di kawasan yang berbahaya seperti berhampiran semak-samun yang mungkin menempatkan haiwan berbisa, hukum tersebut menjadi haram.

Faisol berkata hukum membuang kucing adalah harus kerana umat Islam tidak diwajibkan memelihara kucing yang datang ke rumah. Tambahnya, lebih elok kucing dibuang berbanding diseksa. Ia adalah berdasarkan kepada sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda iaitu:

“دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ”

Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makanan, bahkan tidak membiarkannya memakan serangga-serangga tanah.”

Riwayat al-Bukhari (3318), dan Muslim (2242)

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Kucing Haiwan yang Suci Menurut Islam?

Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan bahawa kucing yang datang ke rumah tidak wajib dibela. Malah menurutnya, jika ada kucing jiran selalu membuang najis di kawasan kediaman kita, ia boleh dibuang di tempat yang bersesuaian.

Namun begitu, Ustaz Azhar mencadangkan supaya memaklumkan perkara tersebut kepada pemilik haiwan terlebih dahulu supaya dia akan membersihkan najis itu dan membayar sebarang ganti rugi.

Dalam masa yang sama, dia menerangkan bahawa menurut para ulama, dua syarat perlu dipatuhi jika membuang kucing, iaitu meletakkan di kawasan yang tidak berbahaya dan senang mendapatkan makanan.

Di samping itu, Ustaz Azhar mengingatkan, jika ingin membuang anak kucing, ia perlu dibuang bersama ibunya sekali kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Membuang kucing bertentangan dengan undang-undang

Walaupun Islam membenarkan pembuangan kucing dengan cara yang tidak memudaratkan mereka, namun tindakan ini sebenarnya merupakan satu kesalahan berdasarkan kepada undang-undang negara kita. 

Stray Cat Foundation, satu badan bukan kerajaan yang berkhidmat dalam menyelamatkan kucing, berkata kucing yang dibuang di pasar sebenarnya berdepan risiko tinggi dijangkiti penyakit, dilanggar, diracun, diseksa atau mati kebuluran. Menurutnya, kucing menjadi mangsa pembuangan apabila terlalu banyak zuriat dihasilkan akibat tidak memandulkan haiwan itu. 


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/03/322234/buang-kucing-boleh-dipenjara
2. https://awa.dvs.gov.my/Akta/88364954-Akta.pdf
3. TikTok @cikngahlan
4. https://zulkiflialbakri.com/803-pelihara-hamster/
5. TikTok @ustaz.azhar.idrus
6. https://www.kosmo.com.my/2022/01/11/boleh-buang-kucing-jiran-buang-najis-merata/
7. YouTube Ustaz Azhar Idrus Official
8. https://www.kosmo.com.my/2023/07/19/buang-kucing-di-pasar-ibarat-hantar-mereka-ke-neraka/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago