Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Susu Badan?

Benar
Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Susu Badan?

Mikroplastik telah ditemui di dalam sumber makanan dan di dalam tubuh badan manusia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/10/2022 - Disunting : 27/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Susu Badan?

Merujuk kepada sebuah artikel semak fakta yang telah dikeluarkan oleh Malaysia Bersuara sebelum ini, mikroplastik sememangnya boleh memasuki tubuh badan manusia. Kajian-kajian sebelum ini telah menemukan mikroplastik di dalam paru-paru, darah serta uri manusia. Turut menjadi tanda tanya jika mikroplastik juga boleh memasuki susu badan.

 

Penghasilan susu badan manusia

Susu badan manusia dihasilkan oleh alveoli, kelompok kantung di dalam payudara, apabila kelenjar pituitari dalam otak membebaskan dua hormon prolaktin dan oksitosin. Prolaktin membantu alveoli untuk mengambil nutrien daripada darah ibu sebelum ditukarkan menjadi susu badan. Susu kemudiannya akan dihantar dari alveoli ke puting melalui duktus atau saluran susu dengan bantuan oksitosin

 

Kajian terhadap mikroplastik di dalam susu badan

Sebuah kajian telah dijalankan di Itali ke atas sampel susu badan yang didapati daripada 34 orang wanita Rom yang baru seminggu melahirkan anak. Kajian mendapati 26 daripada 34, atau 76%, sampel susu badan mengandungi mikroplastik. Mikroplastik yang ditemui bersaiz antara 2 hingga 12 mikrometer, berbentuk bulat atau tidak sekata, dan mempunyai pelbagai warna. Malah, sehingga 13 jenis mikroplastik ditemui di dalam sampel, dengan majoriti daripadanya daripada jenis polyethylene (PE, 38%), polyvinyl chloride (PVC, 21%), and polypropylene (PP, 17%). 

Pengkaji turut melihat kepada penggunaan bahan mengandungi plastik dan pemakanan ikan atau haiwan cengkerang oleh peserta kajian, namun tidak menemui sebarang hubung kait antaranya dengan kewujudan mikroplastik di dalam susu badan. Dapat dilihat di dalam rajah di bawah bahawa kesemua peserta yang tidak mengambil makanan dari bekas plastik masih mempunyai mikroplastik di dalam susu badan mereka. Hal ini bermaksud seseorang itu tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada mikroplastik.

Sumber: Jurnal artikel ‘Raman Microspectroscopy Detection and Characterisation of Microplastics in Human Breastmilk’

Pengkaji Dr Valentina Notarstefano berkata kajian tersebut penting untuk meningkatkan kesedaran awam dan mendesak supaya undang-undang untuk mengurangkan pencemaran diluluskan. Walaupun susu badan didapati mempunyai mikroplastik, Valentina menegaskan bahawa kelebihan memberikan susu badan kepada anak lebih tinggi berbanding keburukan akibat kewujudan mikroplastik

Sebaliknya, bayi yang diberi minum susu menggunakan botol lebih terdedah kepada mikroplastik. Sebuah kajian di Ireland mendapati pemberian botol susu boleh menyebabkan bayi menelan sehingga 1.6 juta mikroplastik setiap hari bagi tempoh 12 bulan. Hal ini adalah kerana botol susu melepaskan antara 1.3 hingga 16.2 juta mikroplastik bagi setiap liter susu akibat kaedah pensterilan dan pendedahan kepada suhu tinggi.

 

Mikroplastik boleh wujud di dalam susu badan

Kajian telah membuktikan bahawa mikroplastik boleh masuk ke dalam susu badan, tidak kira tahap pendedahan ibu terhadap plastik. Walaupun bagaimanapun, Profesor Dick Vethaak dari Vrije Universiteit Amsterdam berkata lebih banyak kajian dengan lebih sampel dan menggunakan kaedah lain perlu dijalankan. Bagi sampel susu badan tanpa mikroplastik pula, penyelidik berkata mereka tidak mampu mengesan partikel yang lebih kecil daripada 2 mikron.


Rujukan:

1. https://www.sutterhealth.org/health/newborns/breast-milk-production
2. https://hellodoktor.com/keibubapaan/bayi/penyusuan/bagaimana-susu-ibu-terhasil/
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9269371/
4. https://www.theguardian.com/environment/2022/oct/07/microplastics-human-breast-milk-first-time
5. https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=125582
6. https://www.firstpost.com/explainers/explained-how-traces-of-microplastics-were-found-in-breast-milk-11420881.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago