Adakah Minum Kopi Atau Mengambil Kafein Akan Buat Wajah Nampak Lebih Tua?

Salah
Adakah Minum Kopi Atau Mengambil Kafein Akan Buat Wajah Nampak Lebih Tua?

Kafein banyak ditemui di dalam kopi dan minuman lain seperti teh dan minuman ringan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/06/2023 - Disunting : 22/06/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Minum Kopi Atau Mengambil Kafein Akan Buat Wajah Nampak Lebih Tua?

Seorang pengguna Twitter mendakwa pengambilan kafein, yang kebiasaannya terkandung di dalam kopi, boleh buat seseorang nampak lebih tua daripada usia sebenarnya. Walaupun terdapat pengguna Twitter lain yang mempercayai dakwaannya, ramai juga yang berkata keterangannya salah. 

Menurut mereka, kafein tidak menyebabkan seseorang kelihatan lebih tua, sebaliknya mereka akan dilihat lebih muda dan bertenaga. Hantaran kali ini akan menyemak sama ada pengambilan kafein akan mempercepatkan proses penuaan, atau sebaliknya.

 

Kafein

Kafein merupakan satu kompaun semula jadi yang terkandung di dalam daun dan buah sesetengah pokok. Walaupun sering dikaitkan dengan kopi, ia turut boleh ditemui dalam minuman lain seperti teh dan minuman ringan. Sesetengah kajian mengenal pasti kafein sebagai bahan anti-oksida

Kafein adalah sejenis perangsang yang meningkatkan aktiviti di dalam otak dan sistem saraf badan. Di samping itu, kafein turut meningkatkan peredaran bahan kimia seperti kortisol dan adrenalin di dalam badan. 

Jika diambil dalam dos yang kecil, kafein boleh membantu seseorang menjadi lebih segar dan fokus. Namun begitu, kafein yang diambil terlalu banyak boleh menyebabkan perasaan cemas dan kesukaran untuk tidur. 

Memandangkan kafein sejenis perangsang, seperti kebanyakan bahan lain, individu boleh menjadi ketagih dengan kafein. Perkara ini menyebabkan seseorang perlu mengambil kafein dalam dos yang lebih tinggi untuk mencapai efek yang serupa. 

Sebuah kajian pada tahun 2014 pertama kali mendapati kafein menghalang penghasilan kolagen di dalam fibroblas, iaitu sejenis sel di dalam tisu penghubung, berdasarkan dos yang tertentu. Perkara ini berlaku apabila kafein menghalang aktiviti prolidase dalam proses kitar semula prolin untuk menghasilkan kolagen.

 

Hormon kortisol

Seperti yang disebut di atas, peredaran kortisol dalam badan meningkat dengan pengambilan kafein. Kortisol merupakan sejenis hormon steroid yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal berhampiran buah pinggang. Juga dikenali sebagai ‘hormon stres’, kortisol mengawal tindak balas stres badan, mengawal kadar metabolisme serta membendung keradangan. 

Walaupun ia adalah hormon stres, kortisol penting untuk tubuh badan. Kekurangan kortisol dalam badan boleh menyebabkan respon keradangan. Menurut Jessica Hoppstädter, penyelidik dari Saarland University, Jerman, tahap serum kortisol rendah dalam individu berumur. 

Sebahagian kandungan protein GILZ yang penting dalam sistem imun badan dikawal oleh hormon kortisol. Kadar kortisol rendah akan mengurangkan penghasilan GILZ yang boleh menyebabkan keradangan. Keradangan seterusnya akan menyebabkan proses penuaan berlaku yang digelar sebagai ‘inflamm-aging’. ‘Inflamm-aging’ turut dikaitkan dengan penyakit kronik seperti penyakit Alzheimer, penyakit jantung dan diabetes. 

 

Kopi bagus untuk anti-penuaan

Kafein banyak boleh ditemui di dalam kopi. Kajian ke atas kopi mengenal pasti kesan potensi kopi ke atas anti-penuaan dan pencegahan penyakit berkaitan umur. Penyelidik mendapati kopi merupakan minuman yang bagus untuk penuaan yang sihat, terutamanya berkaitan penyakit jantung dan kerosakan kognitif ringan. 

Pengambilan kopi mengurangkan kadar mTOR yang seterusnya memperlahankan proses penuaan dan membendung penyakit berkaitan umur seperti kanser.  Pada masa yang sama, kajian lain mendapati pengambilan kopi secara konsisten menghasilkan fungsi fizikal yang lebih elok.

 

Minum kopi tidak menyebabkan wajah seseorang nampak tua

Walaupun kafein di dalam kopi dapat merangsang penghasilan hormon stres kortisol, namun hormon tersebut dalam jumlah yang berpatutan sebenarnya dapat mengelak keradangan dan memperlahankan proses penuaan. Kafein didapati boleh menghalang penghasilan kolagen dalam fibroblas tetapi dalam jumlah yang tinggi. 

Kopi merupakan minuman yang berkhasiat jika diambil secara berpatutan dan boleh mencegah penyakit berkaitan umur. Kopi juga ternyata dapat mengurangkan risiko kematian awal, sekaligus memanjangkan umur.


Rujukan:

1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4665516
2. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/caffeine
3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4206198
4. https://my.clevelandclinic.org/health/articles/22187-cortisol
5. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1111/acel.13156
6. https://www.ucsf.edu/news/2019/03/413576/skin-repair-eliminates-inflamm-aging-linked-chronic-disease
7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5611980/
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9318773/
9. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-minum-kopi-dapat-panjangkan-umur/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago