Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa?

Salah
Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa?

Kebanyakan wanita pernah atau kerap mengalami sakit senggugut apabila didatangi haid

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/05/2024 - Disunting : 13/05/2024

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Senggugut Atau ‘Period Pain’ Yang Teruk Ketika Haid Merupakan Perkara Biasa?

Para wanita melalui kitaran haid setiap bulan yang menyebabkan perubahan pada rahim dan ovari bagi tujuan pembiakan (reproductive). Secara umumnya, wanita akan mengalami haid setiap bulan dengan tempoh kitaran purata 28 hari.

Bagi kebanyakan wanita, masalah senggugut tidak mengganggu kehidupan harian mereka kerana hanya merasa sedikit kesakitan. Namun sesetengah wanita mengalami senggugut yang teruk sehingga mengganggu kehidupan harian, malah ada yang sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

 

Ramai wanita alami masalah senggugut

Senggugut merupakan satu masalah yang biasa dialami oleh wanita ketika haid dan tidak mendatangkan bahaya. Berdasarkan satu tinjauan, 84% wanita melaporkan pernah mengalami senggugut dengan 43% berasa sakit setiap kali haid.

Juga dikenali sebagai dismenorea dalam dunia perubatan, senggugut berlaku kerana wanita mempunyai bahan kimia semula jadi yang lebih tinggi berbanding biasa. Kimia prostaglandin yang dihasilkan oleh endometrium apabila dirangsang oleh hormon progestron menyebabkan rahim, usus dan pembuluh darah mengecut. Senggugut juga mungkin disebabkan oleh bahan kimia vasopressin.

Antara simptom senggugut adalah:

  • Kekejangan pada bahagian pelvis
  • Sakit perut, belakang dan kaki
  • Sakit yang mencengkam (gripping pain)
  • Sakit berpanjangan
  • Sakit kepala
  • Mual
  • Masalah penghadaman seperti cirit-birit atau sembelit
  • Sindrom prahaid seperti perut kembung
  • Sakit pada hari pertama hingga ketiga haid

Kebiasaannya wanita yang mengalami senggugut akan merasa sakit yang lebih kuat pada hari pertama haid. Malah, mungkin juga terdapat ketulan pada darah haid. Akan tetapi, jika senggugut terlalu sakit sehingga menganggu seseorang untuk melakukan sebarang kerja, ia haruslah diperiksa dengan segera. 

Kredit gambar: Sora Shimazaki/ Pexels

 

Sesetengah wanita tidak boleh berfungsi disebabkan sakit senggugut

Dalam satu tinjauan lain, didapati hampir separuh peserta mengalami senggugut selama dua hari ketika haid. Lebih 60% daripada mereka juga mengalami senggugut sakit dengan skala kesakitan 7-10.

Dari segi kehidupan seharian, senggugut menyebabkan kebanyakan wanita terpaksa membatalkan kelas atau temujanji dan berhenti bersukan. Malah, hampir separuh peserta tinjauan menyatakan bahawa senggugut menyebabkan mereka terpaksa mengatur semula rancangan yang dilakukan. 

Perkara ini membuktikan bahawa senggugut mengganggu fungsi harian wanita dan memberi impak negatif terhadap kehidupan akademi, profesional dan sosial mereka. Oleh itu, diagnosis dismenorea penting  agar wanita dapat mengenal pasti sebarang masalah lain yang dihadapi mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Senggugut Boleh Mengurangkan Produktiviti Kerja Seseorang?

 

Senggugut sebabkan wanita mudah berasa sakit

Kajian oleh Oxford University mendapati senggugut menyebabkan perubahan ke atas aktiviti bahagian otak yang bertanggungjawab dalam tindak balas kesakitan. Wanita yang mengalami senggugut lebih mudah berasa sakit. Malah, perubahan ini dilihat berkekalan walaupun sewaktu mereka tidak mengalami senggugut dan sama seperti apa yang dialami oleh pesakit masalah kronik.

Di samping itu, kajian turut mendapati senggugut menyebabkan pengurangan dalam kadar kortisol iaitu hormon yang dikaitkan dengan tindak balas tekanan.

Seperti sakit kronik, senggugut juga didapati memberi kesan ke atas pelbagai sistem tubuh badan antaranya:

  • Lebih sensitif terhadap kesakitan
  • Pundi kencing, usus dan rahim yang lebih sensitif
  • Perubahan ke atas struktur, fungsi dan respon tekanan otak

Namun begitu, masih belum jelas jika perubahan ini disebabkan oleh sakit yang berulang dan berpanjangan, atau ia merupakan penyebab senggugut teruk, atau kedua-duanya sekali.

Kredit gambar: Olly/ Pexels

 

Senggugut boleh jadi petunjuk masalah kesihatan lain

Terdapat dua kategori dismenorea iaitu primer dan sekunder. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, 60% wanita mengalami masalah dismenorea primer dengan satu per 10 wanita sakit teruk sehingga mengganggu kehidupan seharian.

Wanita dengan dismenorea primer tidak mengalami masalah kesihatan lain yang menyebabkan senggugut. Ia biasa dialami oleh remaja dalam tempoh masa dua hingga tiga tahun setelah didatangi haid buat pertama kali.

Sebaliknya, dismenorea sekunder yang lebih sakit disebabkan oleh masalah kesihatan seperti:

  • Endometriosis
  • Fibroid pada uterus
  • Adenomiosis
  • Penyakit radang pelvis
  • Alat pencegah kehamilan IUD yang tercabut/ longgar 

Selain itu, wanita juga boleh mengalami sakit seperti senggugut disebabkan oleh jangkitan kuman pada rahim, kehamilan, komplikasi kelahiran atau masalah kesihatan lain. Malah, senggugut teruk yang baru dialami oleh wanita boleh menjadi petunjuk bagi masalah serius seperti barah.

Terdapat pesakit yang perlu segera menjalani pembedahan apabila masalah yang menyebabkan senggugut kronik dikenal pasti. (Sumber gambar: Olga Kononenko/ Unsplash)

 

Senggugut yang kronik bukan perkara normal dan harus diperiksa

Walaupun senggugut dialami oleh kebanyakan wanita ketika haid, namun kesakitan pada tahap tinggi bukanlah perkara yang biasa. Ia boleh terjadi disebabkan oleh masalah kesihatan lain yang dialami wanita. 

Pensyarah perubatan di Oxford University, Dr Katy Vincent berkata wanita yang mengalami senggugut teruk menunjukkan banyak ciri-ciri sakit kronik walaupun kesakitan hanya dirasai beberapa hari dalam sebulan. Dia juga berkata sakit senggugut sering dipandang ringan atas tanggapan bahawa ia suatu masalah yang normal.

Oleh itu, wanita yang mengalami masalah senggugut teruk dinasihati agar segera melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang masalah kesihatan lain.

Pesakit senggugut akan diberi ubat tahan sakit seperti paracetamol dan ibuprofen oleh doktor, serta boleh melakukan perkara-perkara berikut:

  • Kerap bersenam kerana ia akan merembeskan kimia endorfin yang mengurangkan sakit
  • Letakkan pad haba atau botol berisi air panas di perut dan belakang untuk mengendurkan (relax) otot
  • Mengambil pil pencegah kehamilan yang mengurangkan prostaglandin dan kesakitan
  • Memakai alat IUD yang melepaskan progestogen ke dalam rahim untuk mengurangkan haid dan kesakitan

Kredit Gambar: Jeshoots Com/ Pexels


Rujukan:

1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3392715/
2. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8525260/
3. https://oxfordbrc.nihr.ac.uk/painful-periods-research/
4. https://www.medicalresearchfoundation.org.uk/news/understanding-the-long-term-effects-of-period-pain
5. http://www.myhealth.gov.my/senggugut
7. https://www.medicalnewstoday.com/articles/unbearable-period-pain
8.

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago