Adakah Temilok Atau Kejumah Dihalalkan Untuk Dimakan Bagi Umat Islam?

Benar
Adakah Temilok Atau Kejumah Dihalalkan Untuk Dimakan Bagi Umat Islam?

Temilok atau kejumah merupakan sejenis haiwan yang menyerupai ulat atau cacing

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 02/08/2023 - Disunting : 02/08/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Temilok Atau Kejumah Dihalalkan Untuk Dimakan Bagi Umat Islam?

Pasti orang ramai kenal dengan ulat mulung ataupun ulat sagu sebagai makanan yang popular di Sarawak. Namun, tahukah terdapat satu lagi makanan eksotik di Sarawak yang digelar temilok atau kejumah? Ia dikatakan boleh menggantikan ulat sagu.

Temilok adalah sejenis haiwan yang menyerupai cacing dan boleh dijumpai dalam kayu bakau. Ada yang menggambarkan rasanya seperti telur separuh masak, tiram atau siput buluh/ ambal. Memandangkan ia kelihatan seperti cacing, mungkin ada persoalan jika ianya boleh dimakan ataupun sebaliknya.

 

Temilok

Walaupun kelihatan seperti cacing, temilok sebenarnya bukanlah serangga tetapi adalah sejenis haiwan moluska. Dikenali sebagai shipworm, temilok tergolong dalam keluarga Teredinidae iaitu kepah laut masin dengan badan yang lembut, panjang dan tanpa cangkerang. Ia juga merupakan sejenis kerang penebuk kayu (wood-borer shellfish).

Temilok boleh ditemui dalam kayu pokok bakau. (Kredit gambar: Karnival Cakna Rakyat DUN Bunut Payong 2022/ Facebook)

Temilok mempunyai banyak khasiat dan dapat membekalkan tenaga kepada sesiapa yang memakannya. Ia dikatakan mempunyai khasiat untuk mencegah penyakit malaria, batuk, selesema dan sakit belakang. Di Papua, ia dipercayai boleh meningkatkan penghasilan susu ibu. 

 

Hukum makan haiwan laut

Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

 Surah al-Ma’idah: 87

Ulat dan cacing haram dimakan oleh umat Islam. Namun bagaimana pula dengan temilok ini? Baca hukum makan ulat DI SINI.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri, temilok dilihat sebagai haiwan air kerana ia dijumpai dalam kayu paya bakau yang tenggelam di dalam air. Ulama fekah Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata haiwan air terbahagi kepada dua iaitu spesies ikan dan yang tidak menyerupai bentuk ikan.

Kedua-dua kategori hidupan air ini halal untuk dimakan tidak kira cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

 Surah al-Ma’idah: 96

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Riwayat Abu Daud (83)

Oleh itu, memandangkan temilok dikategorikan sebagai moluska yang merupakan haiwan air, ia halal dimakan menurut mazhab Syafie.

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-20 yang telah bersidang pada 23 Februari 2012 juga telah menjelaskan hukum memakan temilok. Menurut pendapat majoriti ulama, haiwan yang tinggal di dalam air dan tidak boleh hidup jika keluar daripada air adalah halal dimakan. Ini termasuk hidupan laut yang bukan berbentuk ikan seperti babi laut dan temilok. Dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas menyokong bahawa kesemua jenis hidupan laut sama ada masih hidup ataupun telah mati halal dimakan. Maka, mesyuarat menetapkan bahawa temilok halal dimakan memandangkan ia sejenis hidupan air dan tidak boleh hidup tanpa air.

 

Temilok halal dimakan oleh umat Islam

Walaupun kelihatan seperti cacing, namun temilok sebenarnya adalah sejenis haiwan moluska yang hidup di dalam air. Oleh itu, ia halal dimakan seperti mana-mana haiwan air lain. Ia tidak seharusnya disamakan dengan ulat mulung atau ulat sagu yang diharamkan kerana jelas merupakan sejenis spesies ulat.


Rujukan:

1. https://www.iloveborneo.my/temilok-kejumah-cacing-kayu-bakau-yang-enak-sebagai-alternatif-ulat-mulong/
2. https://maktabahalbakri.com/462-memakan-temilok-cacing-paya-bakau/
3. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10929

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago