Adakah Tiada Lagi Hukuman Mati Setelah Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori?

Salah
Adakah Tiada Lagi Hukuman Mati Setelah Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori?

Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 3 April 2023

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/04/2023 - Disunting : 06/04/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Tiada Lagi Hukuman Mati Setelah Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori?

Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada persidangan dewan 3 April 2023. Ia telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh dan dibahas 10 Ahli Parlimen sebelum mencapai persetujuan bersuara Ahli Parlimen. Persoalannya, setelah hukuman mati mandatori dimansuhkan, adakah terdapat hukuman lain yang setimpal terhadap banduan bagi menggantikan hukuman mati?

 

Pemansuhan hukuman mati mandatori

Hukuman mati mandatori, iaitu hukuman mati yang wajib dilaksanakan, telah setuju untuk dimansuhkan pada 10 Jun 2022 setelah moratorium ke atas hukuman mati bermula sejak tahun 2018. Sejak itu, kerajaan telah meneliti hukuman gantian bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara.

Kini, dengan kelulusan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, pindaan dilakukan ke atas Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah. RUU itu bukan sahaja bertindak dalam pemansuhan hukuman mati mandatori, tetapi juga mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan. 

 

Kesalahan yang berkait dengan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023

Menurut mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, terdapat 11 jenis kesalahan di bawah pemansuhan hukuman mati mandatori seperti berikut:

  • Melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja atau Yang di-Pertua Negeri (TYT)
  • Melakukan perbuatan pengganas 
  • Mengarahkan aktiviti pengganas
  • Menyediakan harta untuk pengganas yang mengakibatkan kematian
  • Berkhidmat untuk pengganas 
  • Menerima suapan bagi memudahkan pengganas
  • Menerima suapan bagi memudahkan jenayah terancang yang mengakibatkan kematian
  • Membunuh
  • Mengambil tebusan
  • Melepaskan tembakan senjata api
  • Rakan jenayah kes senjata api

Di samping itu, ia turut merangkumi kesalahan mengedar dadah yang tertakluk di bawah Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

 

Kesan RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023

Apabila hukuman mati mandatori dimansuhkan, tidaklah bermaksud hukuman mati tidak akan dijalankan sama sekali. Ramkarpal Singh mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhi hukuman mati dan dapat menentukan hukuman lain yang setimpal. Samantha Chong, seorang peguam dan aktivis, berkata walaupun dengan kelulusan RUU ini, hukuman mati masih dikekalkan terutamanya untuk jenayah-jenayah berat tertentu. 

Dengan pemansuhan hukuman mati mandatori, hakim mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati ke atas banduan. Menurut Chong, perkara ini adalah penting khususnya dalam kes-kes yang memerlukan hakim menimbang latar belakang sesuatu jenayah yang rumit seperti seorang wanita yang membunuh suaminya kerana telah didera. 

 

Gantian hukuman terhadap hukuman mati mandatori

Dengan ketiadaan hukuman mati mandatori, ia akan digantikan dengan hukuman lain yang setimpal. Ramkarpal berkata bahawa kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan dilihat sebagai hukuman yang lebih berat. 

Sebelum ini, hukuman mati mandatori dicadangkan supaya digantikan dengan hukuman penjara sepanjang hayat. Namun terbaharu, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said kini berkata ia digantikan dengan penjara tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun, dengan tambahan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali. 

Hukuman penjara sepanjang hayat turut dimansuhkan di bawah rang undang-undang tersebut. Malah, hukuman mati turut dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, selain daripada tiga kesalahan. Kesalahan-kesalahan tersebut adalah berperang dengan YDPA, Raja atau TYT (Seksyen 121 Kanun Keseksaan), kesalahan terhadap tubuh YDPA, Raja atau TYT (121A Kanun Keseksaan) dan kesalahan mengedar dadah (Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952).

 

Kesan terhadap pesalah yang menunggu giliran hukuman mati

Menurut Ramkarpal, setakat 4 April 2023, terdapat seramai 1,318 banduan sedang menunggu giliran hukuman mati, termasuk 842 orang yang tidak boleh lagi membuat rayuan mahkamah untuk dibebaskan daripada hukuman tersebut. Majoriti mereka dikenakan hukuman mati atas kesalahan berkaitan pengedaran dadah. Daripada jumlah ini, seramai 500 orang adalah bukan warganegara Malaysia. 

Setelah akta dijalankan, banduan-banduan ini akan diberikan masa 90 hari untuk memohon supaya hukuman mati dikaji semula, tetapi sabitan ke atas mereka tetap tidak berubah. Ramkarpal menegaskan bahawa mahkamah masih mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati walaupun setelah permohonan dilakukan.

 

Hukuman mati masih ada selepas pemansuhan hukuman mati mandatori 

Walaupun hukuman mati mandatori dimansuhkan, hukuman mati masih boleh dijatuhkan oleh mahkamah terhadap banduan. Di bawah RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, banduan yang tidak dikenakan hukuman mati akan dijatuhkan dengan gabungan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali yang setimpal.

Pemansuhan hukuman mati mandatori turut memansuhkan hukuman sepanjang hayat dan hukuman mati bagi beberapa kesalahan yang tidak menyebabkan kematian. Dengan penguatkuasaan undang-undang ini, mahkamah dan hakim diberi kuasa budi bicara untuk memilih tidak menjatuhkan hukuman mati setelah meneliti latar belakang sesuatu jenayah. 


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1085564/dewan-rakyat-lulus-ruu-pemansuhan-hukuman-mati-mandatori-2023
2. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-hukuman-mati-kurangkan-kadar-jenayah-di-malaysia/
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/964791/mansuh-hukuman-mati-mandatori-boleh-elak-ketidakadilan
4. https://www.bheuu.gov.my/index.php/media/keratan-akhbar/2393-11-kesalahan-terlibat-di-bawah-pemansuhan-hukuman-mati-mandatori
5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dewan-rakyat-lulus-ruu-mansuh-hukuman-mati-mandatori-413871
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mansuh-hukuman-mati-mandatori-beri-hakim-pilihan-lebih-luas-peguam-413385
7. https://www.sinarharian.com.my/article/251123/berita/nasional/tiada-lagi-penjara-seumur-hidup-ganti-hukuman-mati-mandatori
8. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf
9. https://www.adk.gov.my/akta-dadah-berbahaya-1952-akta-234/
10. https://www.theguardian.com/world/2023/apr/04/malaysia-set-to-scrap-mandatory-death-penalty-for-range-of-serious-crimes

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago